Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 10/09/2006
Isu Melayu di tangan kita sendiri – Shariff

Isu Melayu di tangan kita sendiri – Shariff

TASEK GELUGOR 9 Sept. – Pemimpin-pemimpin Melayu Pulau Pinang perlu menyelesaikan sendiri masalah kaum itu di negeri tersebut tanpa bergantung kepada orang lain untuk melakukannya.

Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar berkata, negeri itu mempunyai pemimpin Melayu di setiap peringkat pentadbiran negeri dan mereka perlu bertemu dan berbincang untuk menangani masalah berkenaan.

‘‘UMNO Bahagian Tasek Gelugor berpendapat isu Melayu adalah di tangan kita sendiri dan orang Melayu sendiri yang boleh menyelesaikannya.

‘‘Kita mesti terima dan akui kesalahan bahawa isu Melayu itu adalah isu kita,” katanya semasa berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shariff, pemimpin Melayu sepatutnya memainkan peranan membantu Melayu Pulau Pinang daripada hanya menuding jari kepada orang lain dan membangkitkan isu itu melalui akhbar.

Katanya, selama ini hubungan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang amat baik dan beliau tidak mahu disebabkan isu tersebut hubungan itu akan terjejas.

Beliau menegaskan, orang Melayu harus ingat kekuatan Pulau Pinang adalah kerana kerjasama semua parti komponen BN, oleh itu parti itu tidak boleh melakukan tindakan yang akan menyakitkan hati orang lain.

‘‘Ingat, kita minoriti di sini, tapi jadilah minoriti yang berkualiti dan tidak bergantung kepada orang lain. Dalam masa sama kita kena tegas tetapi boleh bertolak ansur,” ujarnya.

Katanya, jika orang Melayu bersikap terbuka dalam hal ini, beliau yakin mereka akan dapat bersama-sama meneruskan pemerintahan kerajaan BN di Pulau Pinang bersama orang bukan Melayu kerana negeri ini adalah untuk semua kaum.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN