Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 10/09/2006
Mawi kalahkan Siti, bolot 5 Anugerah Era

Mawi kalahkan Siti, bolot 5 Anugerah Era


HEBAT... Mawi bergambar bersama anugerah yang dimenanginya pada Anugerah Era 2006 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar ABDUL RAZAK LATIFF.



KUALA LUMPUR 9 Sept. – Raja SMS, Mawi yang mempertaruhkan tujuh pencalonan mengungguli Anugerah Era 2006 (AE06) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini malam ini.

Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) yang terkenal dengan trademark ‘world’nya itu berjaya menggondol lima kategori antaranya Artis Harapan Pilihan dan Irama Global Pilihan untuk lagu Aduh Saliha.

Malah anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu berjaya mengalahkan bekas pengetua AF3, sifu M. Nasir bagi merebut kategori Vokal Lelaki Pilihan.

Dia juga berjaya mengalahkan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Taruddin apabila lagunya, Kian mendapat sokongan hebat peminat untuk mengalahkan lagu Biarlah Rahsia bagi kategori Lagu Pop Pilihan.

Mawi juga berkongsi kemenangan bersama M. Nasir bagi kategori Video Muzik Pilihan untuk lagu Lagu Jiwa, Lagu Cinta.

Bagaimanapun bagi kategori Vokal Duo/ Berkumpulan Pilihan, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 25, yang berkolaborasi dengan M. Nasir kalah di tangan Nikki dan Zahid.

Selain pencalonan tersebut, Mawi turut menerima dua anugerah khas iaitu Anugerah Carta Era berikutan kejayaan lagu Aduh Saliha yang bertahan dalam carta Era.

Mawi yang mendapat sorakan gemuruh setiap kali namanya diumumkan, turut menerima Anugerah Artis Pilihan SMS DiGi yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, piala, telefon bimbit berteknologi EDGE bersama talian pascabayar DiGi.

Mempertandingkan 12 kategori, pemenang malam kemuncak anugerah kali keenam anjuran Radio Era itu dipilih secara mutlak oleh peminat menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan borang undian.

Sementara itu, pengantin baru, Siti Nurhaliza pula terus mengungguli gelaran Vokal Wanita Pilihan buat kali ke-empat mengalahkan Adibah Noor; Dayang Nurfaizah; Farah dan Jaclyn Victor.

AE06 turut memperlihatkan dominasi artis seberang untuk kategori Band Pilihan yang dimenangi oleh kumpulan Dewa, manakala Lagu Rock Pilihan diungguli kumpulan Pretty Ugly dengan lagu Diari Seorang Lelaki.

Kumpulan Rabbani yang mempertaruhkan lagu Nawaitu pula berjaya memenangi kategori Lagu Nasyid Pilihan.

Kategori Artis Inggeris Tempatan Pilihan pula dimenangi kumpulan Estrange yang dianggotai oleh pelajar Akademi Fantasia 4 (AF4), Rich.

Sementara filem Baik Punya Cilok yang dilakonkan oleh Afdlin Shauki, Hans Isaac, AC Mizal dan Awie meraih Anugerah Kaki Wayang Era.

Diacarakan oleh penyampai Radio Era, Linda Onn dan pelawak, Saiful Apek, AE06 juga memberikan Anugerah Seni ERA kepada Datuk Maria Menado dan Seniwati Zaiton Abdul Hamid.

Berkonsepkan ‘fesyen dalam muzik’ dengan tema ‘denim dan kulit’, AE06 turut menampilkan persembahan artis antaranya M. Nasir; Mawi; kumpulan Search; Pretty Ugly dan Ning Baizura.

Sementara artis yang menjadi penyampai anugerah pada malam itu termasuklah Fauziah Latiff, Erra Fazira dan Dr. Fazley.

Majlis anugerah itu turut disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Radio Era.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN