VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 08/09/2006

800 juta buta huruf


MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa tanggal 8 September merupakan Hari Literasi Antarabangsa. Ia merupakan peristiwa penting yang disambut setiap tahun untuk memberi harapan kepada berjuta kanak-kanak, lelaki dan wanita yang tidak mampu membaca atau menulis, malah nama mereka sendiri.

Justeru, sambutan Hari Literasi Antarabangsa merupakan masa untuk mengingatkan masyarakat antarabangsa tentang peri pentingnya literasi kepada seseorang individu, famili, komuniti dan masyarakat seluruhnya.

Pada sambutan kali ini, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah memilih tema Literasi Mengekalkan Pembangunan.

Ia memberi penekanan bahawa literasi bukan sahaja hasil positif daripada proses pembangunan, tetapi juga nadi untuk perubahan dan instrumen kepada kemakmuran sosial pada masa hadapan.

Malah, Ketua Pengarah UNESCO, Koichiro Matsuura dalam mesejnya sempena sambutan Hari Literasi Antarabangsa 2006 antara lain berkata, literasi bukan sahaja skil kognitif dalam membaca, menulis dan aritmetik, tetapi juga membantu masyarakat membina kemahiran serta kekuatan bagi mencapai kemajuan yang berterusan.

Menurut UNESCO, ketika ini terdapat kira-kira 800 juta penduduk dunia berusia 15 tahun ke atas buta huruf di mana dua pertiga daripadanya adalah wanita. Sementara kira-kira 100 juta kanak-kanak di seluruh dunia pula tidak bersekolah.

Bagi pertubuhan dunia itu, literasi merupakan alat yang sangat diperlukan dari segi penyertaan aspek ekonomi dan sosial yang paling efektif ke arah pembangunan manusia dan mengurangkan kadar kemiskinan global.

Bagaimana pula dalam konteks Malaysia dan rakyat negara ini. Ini kerana, literasi amat berkait rapat dengan tabiat membaca. Membaca akan membuahkan ilmu dan masyarakat yang berilmu merupakan modal insan yang menjadi antara tonggak penting bagi menjayakan Misi Nasional di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Malah, dalam konteks Islam sendiri, ayat pertama yang diwahyukan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w adalah Iqra’ iaitu suruhan Allah supaya manusia membaca.

Dengan membaca manusia akan dapat mengenali penciptanya serta asal-usulnya. Dengan membaca mereka mendapat ilmu kemahiran dan mampu mengubah kehidupan serta membina tamadun.

Justeru, sejauh manakah Hari Literasi memberi impak kepada kita? Ini kerana, laporan sebelum ini menyebut, kadar literasi membaca di kalangan rakyat negara ini yang berusia 10 tahun ke atas pada tahun 2005, turun satu peratus kepada 92 peratus berbanding 93 peratus pada 1996.

Malah, kajian membaca di kalangan rakyat Malaysia yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Jabatan Statistik itu juga mendapati, kadar literasi di kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun jatuh kepada 75 peratus berbanding 79 peratus pada 1996.

Sementara kadar literasi di kalangan penduduk Semenanjung Malaysia tahun lalu pula berada pada tahap 91 peratus, manakala di Sabah 86.4 peratus dan di Sarawak 83 peratus.

Peratusan

Laporan Profil Membaca Rakyat Malaysia tahun 2005 itu yang diadakan 10 tahun sekali, menunjukkan, peratusan literasi lelaki lebih baik berbanding perempuan iaitu 92.2 peratus berbanding 88 peratus.

Dalam hal ini, Profesor Diraja Ungku Aziz berpendapat, sambutan Hari Literasi sepatutnya menggalakkan orang ramai supaya lebih berminat membaca dan menambahkan kecekapan membaca.

Ini kerana katanya, masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang dilaporkan membaca dua buah buku setahun, sukar atau cepat bosan membaca terutama melibatkan bahan bacaan berbentuk ilmiah.

‘‘Sepatutnya, orang ramai digalakkan membaca sekurang-kurangnya 15 minit sehari. Sekarang orang kurang membaca kerana lebih banyak menonton televisyen. Ini merugikan kerana minda kita tidak bercambah.

‘‘Kita sepatutnya memerlukan orang biasakan diri membaca dan melatih serta mendisiplinkan diri mereka,’’ katanya.

Pandangan Ungku Aziz itu ada kebenarannya apabila kajian profil membaca rakyat Malaysia yang diumumkan baru-baru ini turut menunjukkan, 98.8 peratus daripada responden berusia 10 tahun ke atas, membaca dua buah buku setahun iaitu tidak banyak berbeza dengan kadar yang dicatatkan pada 1996.

Kajian itu juga mendapati, 56 peratus daripada responden membaca buku antara empat hingga 10 buah setahun, manakala 32 peratus lagi membaca 12 buah buku setahun. Kajian itu melibatkan seramai 60,441 responden.

Menurut Ungku Aziz, walaupun semakin berumur, beliau sendiri menghabiskan masa tidak kurang lima jam sehari untuk membaca dan juga menulis.

Malah katanya, beliau membelanjakan antara RM300 hingga RM400 sebulan bagi membeli bahan bacaan di beberapa buah kedai termasuk di Universiti Malaya (UM). Bagaimana pula dengan kita?

‘‘Saya suka kumpul buku sejak 50 tahun lalu. Selain hadiah daripada orang, saya mempunyai lebih 4,000 buah buku. Semuanya saya baca kerana saya tidak suka menunjuk-nunjuk kepada orang banyak buku tetapi tak baca,’’ katanya.

Beliau berkata, kecenderungan membaca boleh ditanam apabila seseorang itu bijak memilih bahan bacaan.

Sungguhpun kadar literasi dalam teknologi maklumat di kalangan rakyat Malaysia terus meningkat, tetapi tabiat membaca buku perlu diterapkan kerana tidak semua ilmu boleh didapati melalui kaedah moden.

Justeru, kempen membaca yang digerakkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan perlu diberikan sambutan bagi melahirkan rakyat yang rajin membaca.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.