|
KUALA LUMPUR – Malaysia diaibkan oleh Indonesia 1-2 pada perlawanan separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai ke-21 di Fashion Island, Bangkok, semalam.
Regu pertama negara tunduk 15-21, 11-21 tetapi regu kedua bangkit menebusnya dengan menang mudah 21-9, 21-11 sebelum regu ketiga yang diheret ke set penentuan, menyerah 17-21, 21-19, 8-15.
Kelmarin, Malaysia mengorak langkah kanan dengan menjuarai Kumpulan A setelah menewaskan Vietnam 2-1 dan Korea Selatan 3-0. Kejohanan ini turut mempertandingkan acara beregu dan gelung lelaki dan wanita.
Kemaraan Indonesia ke separuh akhir bagaimanapun cukup mengejutkan apatah lagi mereka melepasi pasukan pilihan ketiga dunia, Myanmar untuk muncul naib juara Kumpulan B.
Namun, inilah pencapaian lebih buruk Malaysia berbanding muncul naib juara, tahun lalu malah mungkin menyulitkan harapan merampas semula pingat emas Sukan Asia Doha, Disember ini.
Bulan lalu, Malaysia B yang turut dibarisi pemain pelapis, diaibkan oleh Indonesia pada peringkat Kumpulan B kategori berpasukan Kejohanan Undangan Sedunia Kedua - Piala Malaysia di Pulau Pinang.
Indonesia akan menentukan juara Piala Raja Thai, hari ini dengan tuan rumah, Thailand yang menewaskan Vietnam 2-0 (21-9, 21-18) dan (21-7, 21-5) dalam satu lagi separuh akhir, semalam.
Malaysia A dan B turut tewas mengejut dalam perlawanan sulung kategori beregu, masing-masing kepada Jepun 1-2 (21-15, 18-21, 10-15) dan Myanmar B 0-2 (22-24, 18-21).
Sementara itu, juara bertahan, Thailand yang membariskan dua beregu - A dan B menepati ramalan dengan menundukkan Myanmar A 2-0 (21-12, 21-17) dan Korea Selatan B 2-0 (21-18, 21-15).
IKLAN@UTUSAN
|