|
PUTRAJAYA 4 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap beliau dapat diberi peluang sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO menerusi pemilihan pada Mesyuarat UMNO Bahagian Kubang Pasu, Sabtu ini.
Menurut bekas Perdana Menteri, walaupun tahu tidak akan dibenarkan berucap pada perhimpunan itu nanti, beliau masih mahu menjadi perwakilan kerana layak berbuat demikian.
Dr. Mahathir berkata, beliau menjangkakan pasti ada bangkangan tetapi tidak menyangka sama sekali kempen menjadi sangat intensif dan sedikit mengejutkan.
‘‘Pada mulanya nampak macam mudah untuk saya menang kerana ia hanyalah satu perkara kecil tetapi akhirnya ia menjadi begitu serius.
‘‘Saya hanya mahu menjadi perwakilan dan saya harap dapat menghadiri mesyuarat Kubang Pasu Sabtu ini,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr. Mahathir menerima 16 pencalonan daripada 139 cawangan UMNO yang selesai bermesyuarat baru-baru ini.
Ditanya sekiranya beliau dipilih sebagai perwakilan tetapi tidak dipilih untuk bercakap pada perhimpunan agung, Dr. Mahathir berkata, beliau akan tetap menghadiri perhimpunan tersebut.
IKLAN@UTUSAN
|