Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 30/08/2006
5 syarikat lebuh raya minta kerajaan naikkan tol tahun depan

5 syarikat lebuh raya minta kerajaan naikkan tol tahun depan


KUALA LUMPUR 29 Ogos – Lima syarikat konsesi lebuh raya meminta kerajaan menaikkan kadar tol di lebuh raya kendalian mereka di sekitar Lembah Klang pada tahun depan.

Lebuh raya terbabit adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Koridor Guthrie, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, syarikat terlibat meminta kerajaan menstruktur semula perjanjian konsesi sedia ada yang mungkin menyebabkan kenaikan tol di lebuh raya terlibat.

Menurutnya, beliau akan mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar mengadakan mesyuarat dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi terlibat bagi membincangkan perkara itu secara terperinci.

‘‘Saya telah maklumkan perkara ini kepada jemaah menteri dan saya jelaskan bahawa tahun 2007 bukan tahun yang kita tidak hadapi kenaikan tol,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kementerian dengan syarikat pengendali Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) Holdings Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi SKVE, Datuk Rahmat Abu Bakar, Pengarah Urusannya, Mohamed Raffe Chekku dan Pengarahnya, Talib Abdul Rahman.

Beban

Kata beliau, kerajaan menanggung beban bayaran sebanyak RM45 juta setahun melalui proses penstrukturan semula perjanjian konsesi syarikat lebuh raya yang sepatutnya ditanggung oleh rakyat.

“Sebelum ini, menerusi beberapa langkah penstrukturan semula dengan beberapa syarikat konsesi, kerajaan telah menanggung beban dan kita bayar beberapa juta ringgit bagi pihak rakyat.

“Bagi melicinkan perjalanan mereka, kita membayar kepada syarikat konsesi lebuh raya bermula sebanyak RM45 juta dan kini meningkat kepada RM68 juta setahun,’’ kata beliau.

Ujarnya, kementerian akan melaporkan semula kepada jemaah menteri mengenai hasil pertemuan dengan LLM dan syarikat konsesi sebelum mengambil keputusan mengenainya.

‘‘Jemaah menteri akan membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu kelak,’’ katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN