|
Susunan: NAZARUDIN SHAHARI
GOLONGAN pendatang di Belanda sudah merasai segala-galanya. Kepahitan dan keperitan. Bagi mereka, cukuplah setakat itu saja.
Empat tahun lalu, calon popular, Pim Fortuyn berjanji kepada para pengundi di Rotterdam bahawa beliau akan menghentikan pembinaan masjid baru yang besar berhampiran stadium bola sepak di bandar Feyenoord.
Hari ini, masjid terbesar di negara itu hampir siap. Para pendatang telah membantu menyingkirkan parti Fortuyn ketika pilihan raya.
Sewaktu pendatang di Perancis menunjukkan kekecewaan mereka dengan merusuh, pendatang di Belanda telah menggunakan kuasa peti undi untuk menyatakan rasa tidak puas hati.
“Kami berada di sini selama 30 tahun, bekerja keras serta melakukan yang terbaik untuk bersatu.
“Jadi apa hak mereka untuk mengata kami begitu dan menyakitkan hati kami,” soal Brahim Bourzik yang dilahirkan di Maghribi.
Beliau juga adalah bekas Ahli Majlis Perbandaran Rotterdam.
“Mereka tidak boleh mengatakan, kita boleh mempunyai stadium bola sepak sedangkan hak kami untuk mendirikan masjid tidak boleh kerana ia besar sedangkan stadium lebih besar.
“Kenapa kami tidak boleh mempunyai bangunan besar yang cantik hanya kerana ia adalah masjid? Kami peduli apa dengan hujah itu,” katanya.
Dalam pilihan raya tempatan pada Mac, golongan pendatang secara beramai-ramai telah mengundi pembangkang iaitu Parti Buruh selain membantu menyingkirkan ahli majlis berhaluan kanan di Rotterdam dan di tempat-tempat lain.
Ia sekali gus membunyikan loceng amaran kepada kerajaan berhaluan kanan tengah menjelang pilihan raya umum pada 2007.
Kira-kira 10 peratus daripada 16 juta penduduk Belanda dianggap bukan berasal dari Barat. Satu juta daripada mereka adalah orang Islam yang kebanyakannya berasal dari Turki dan Maghribi.
Di kalangan golongan muda di bandar besar seperti Rotterdam, pendatang adalah penduduk majoriti.
Brahim berkata, pertikaian mengenai kemungkinan melucutkan kewarganegaraan Belanda terhadap Ayaan Hirsi Ali selepas Ahli Parlimen kelahiran Somalia itu mengaku berbohong untuk memenangi suaka politik menunjukkan betapa perlunya pendatang berjuang untuk mendapatkan hak mereka.
“Akan ada hari di Belanda dan di Rotterdam, apabila anda tidak boleh bertindak tanpa kumpulan ini. Jika anda melihat Rotterdam sekarang, sebanyak 47 peratus adalah pendatang dan kita tahu mereka ini adalah satu-satunya kumpulan yang menyumbang zuriat,” katanya.
Dengan bergantung kepada hujah bahawa negara yang padat penduduk tidak mampu lagi menyerap pendatang, Fortuyn menjadi terkenal pada 2002 apabila parti beliau menang dan menguasai Majlis Rotterdam.
Beliau ditembak mati oleh aktivis hak asasi haiwan tidak lama sebelum pilihan raya kebangsaan pada Mei 2002 yang menyaksikan parti beliau menduduki tempat kedua. Bagaimanapun ahli-ahli politik lain telah mewarisi `perjuangan’ beliau dengan penuh semangat.
Geert Wilders, Ahli Parlimen yang dilihat sebagai pewaris kepada Fortuyn mahu mengenakan larangan selama lima tahun bagi pembinaan masjid baru dan sekolah agama serta menghentikan penghijrahan oleh pendatang yang bukan berasal dari Barat.
“Jika trend sekarang berterusan sehingga Mei 2007, negara kita akan berada di bawah cengkaman gabungan haluan kiri dan kiri-tengah, satu gabungan yang tidak disangsikan lagi akan kembali kepada polisi pelbagai budaya yang tidak bertanggungjawab,” kata Wilders dalam manifesto beliau.
Marianne Vorthoren, 27, wanita Belanda yang memeluk Islam berkata, masjid Rotterdam dan pilihan raya menunjukkan umat Islam kini sedang meneguhkan akar di negara itu.
“Sesuatu yang memalukan apabila golongan pendatang hanya dianggap sebagai pengundi tanpa diakui sebagai warga negara ini,” kata Marianne yang bekerja di SPIOR, pertubuhan payung kepada pertubuhan umat Islam di Rotterdam.
Ia adalah ilustrasi yang baik mengenai bagaimana debat mengenainya telah berubah, daripada ia menjadi petanda kebebasan kepada umat Islam untuk mempunyai tempat beribadat, kepada apa yang dilihat kini sebagai petanda integrasi yang semakin lemah.
Antara 2002 hingga 2006, parti Fortuyn, Liveable Rotterdam didakwa melakukan apa yang termampu untuk membuatkan pendatang merasai tidak dialu-alukan di bandar seperti menetapkan pendapatan minimum sebagai syarat untuk menduduki rumah di kawasan terbiar.
Pemimpin Liveable Rotterdam, Marco Pastors memperjuangkan reka bentuk Arab untuk masjid baru yang mampu memuatkan 1,200 jemaah dan pelan untuk membina menara setinggi 50 meter, lebih tinggi daripada stadium Feyenoord yang terletak berhampiran.
Apabila pilihan raya sebelum pengundian pada Mac meletakkan Liveable di belakang, Pastors sendiri merasakan perlu untuk meminta maaf kerana mengkritik orang Islam.
Parti pemerintah, Christian Democrats (CDA) juga cuba menarik pengundi di kalangan pendatang dengan kejayaan kecil.
Parti Pendatang Belanda dilancarkan pada Mac dalam usaha untuk meraih kerusi pada pilihan raya 2007, walaupun penganalisis berkata, parti seperti itu telah mencapai kejayaan kecil pada masa lalu dan Buruh dijangka terus menjadi platform politik yang sesuai untuk pendatang baru.
Kajian oleh Institut Migrasi dan Pengajian Etnik di Universiti Amsterdam menunjukkan kira-kira 80 peratus pendatang mengundi Buruh pada Mac, dengan trend yang lebih ketara di Rotterdam dan Amsterdam, yang mana calon parti Buruh kelahiran Maghribi iaitu Timbalan Datuk Bandar, Ahmed Aboutaleb membantu menarik ribuan undi tambahan.
“Kami berpendapat polisi sayap kanan oleh kerajaan mempunyai kaitan dalam perkara ini. Ia adalah juga undian menentang Menteri Imigresen, Rita Verdonk,” kata Institut Anja Van Heelsum.
Verdonk menjuarai satu bentuk polisi imigresen yang keras, yang pernah disokong oleh Fortuyn, termasuk rancangan untuk menyingkirkan 26,000 orang pemohon suaka politik yang tidak berjaya dan penggunaan bahasa baru yang lebih ketat serta ujian kebudayaan kepada bakal pendatang baru.
Pendekatan itu tampak diterima oleh kalangan pengundi berkulit putih dan membantu parti beliau, VVD mengatasi rakan gabungan CDA dalam pengundian.
Kekalutan yang ditimbulkan oleh Fortuyn dalam politik Belanda, pernah diperintah secara permuafakatan, nampak bersedia untuk menjadi bertambah sengit.
“Selepas jari tengah kulit putih pada 2002, kita sedang melihat jari tengah hitam untuk 2006,” kata Profesor Sosiologi Bandar di Universiti Amsterdam, Paul Scheffer, yang menulis dalam satu artikel.
“Apa yang perlu kita elakkan ialah berbalik kepada pelbagai budaya kerana masalah itu belum selesai lagi.” - Reuters
IKLAN@UTUSAN
|