Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 22/08/2006
Gubal perundangan – PM -- Kawal pengembangan agama lain di kalangan orang Islam

Gubal perundangan – PM -- Kawal pengembangan agama lain di kalangan orang Islam


BACHOK 21 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan yang sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Katanya, empat negeri tersebut - Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sepatutnya awal-awal lagi memikirkan untuk mengambil tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan Wilayah Persekutuan telah pun menyiapkan draf undang-undang itu.

Pada masa ini semua negeri beraja - Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu serta Melaka sudah menjalankan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing.

Kelantan negeri paling awal berbuat demikian pada tahun 1981 dan paling akhir ialah Johor pada tahun 1991.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, artikel itu berbunyi: Undang-undang negeri dan mengenai Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Di Selangor misalnya, undang-undang yang dikenali sebagai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Bukan Islam) 1988 itu menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang memujuk, mempengaruhi atau menghasut seorang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam, menjadi pengikut atau ahli agama bukan Islam atau meninggalkan atau membelakangi agama Islam.

Abdullah memberitahu, seluruh rakyat negara ini hendaklah mematuhi segala perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia sudah dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu sejak merdeka dengan mengambil kira pelbagai perkara untuk kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

‘‘Justeru, saya ingin mengingatkan rakyat janganlah mereka mengungkit-ungkit perkara-perkara yang telah dipersetujui sejak sekian lama itu kerana ia boleh membawa kepada ketegangan dan perbalahan besar,’’ tegasnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya berhubung peruntukan Artikel 11 (4) itu yang masih belum dilaksanakan oleh empat kerajaan negeri tersebut, di sini hari ini.

Perkembangan ini telah menyebabkan berlaku penyebaran tanpa kawalan oleh pengikut agama lain ke atas penganut agama Islam.

Perdana Menteri memberitahu rakyat perlulah menghormati dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang dibuat secara bijaksana oleh pemimpin-pemimpin yang berjaya mencapai kemerdekaan negara ini.

Katanya, keharmonian negara yang dicapai selama ini juga dikagumi oleh negara-negara lain dan dengan itu rakyat hendaklah terus mengekalkannya.

Mingguan Malaysia muka 6, 13 Ogos lalu menyiarkan satu rencana mengenai perlindungan ke atas kedudukan agama Islam ini. Apa yang menarik mengenai rencana itu ia menyoal mengapa Parlimen sehingga sekarang belum lagi menggubal undang-undang yang sama bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebelum itu, Abdullah yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Kelantan yang berakhir malam ini menghadiri jamuan rakyat dan menyampaikan bantuan peralihan penanam tembakau di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana, Tangok di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN