VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Oktober 2014 / 6 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 20/08/2006

Antara gubra Amani dan kelakar Badul

TINDAKAN Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya cepat memohon maaf atas keterlanjurannya mengucapkan apa yang dilihat tidak sepatutnya dia ucapkan semasa menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 yang baru lalu adalah sesuatu yang harus disambut dengan sikap yang penuh terbuka.

Permohonan maafnya itu seharusnya menjadi penutup kepada kontroversi mengenai sikap pelakon yang berumur 20 tahun itu mengenai Bahasa Malaysia yang berbangkit selepas festival itu.

Kontroversi itu timbul gara-gara kenyataan pelakon itu yang dalam tergamam dengan anugerah itu menyebut I sound stupid when I speak in Malay dan kemudian berucap dalam bahasa Inggeris.

Sharifah Amani sudah mengakui salahnya, dan dia tentunya juga sudah belajar daripada kesilapan itu. Apa yang penting sekarang ialah untuk kita pula belajar melupakan episod itu dan mula melihat ke hadapan, demi kecemerlangan filem tempatan masa akan datang.

Tetapi malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sharifah Amani terus dikritik oleh pelbagai pihak. Kecaman-kecaman yang turut mengheret sama ibu bapanya ke tengah-tengah ruang pengadilan itu semacam tidak mahu berhenti.

Mereka tidak hanya mengutuk dan menuntut hukuman yang lebih keras diambil terhadap Sharifah Amani malah lebih daripada itu, turut mempersoalkan kewajaran kemenangan Gubra, sebuah filem yang dianggap mencemarkan budaya.

“Siapa di kalangan kita yang tidak pernah membuat salah dalam hidupnya?

“Saya tidak fikir Tuhan akan mengampuni dosa-dosa kita dengan menyelar (Sharifah Amani) tetapi sebaliknya mungkin dengan memaafkannya,” kata pengarah Gubra, Yasmin Ahmad.

Dalam catatannya di blognya, thestoryteller.blogspot.com, Yasmin menulis: “Hanya dengan memaafkan, kita akan dimaafi.”

Tetapi ada dua perkara yang menarik perhatian saya secara langsung mengenai kontroversi sekitar kenyataan Sharifah Amani dan kemenangan Gubra.

Maksud saya, Sharifah Amani sudah melatah tetapi janganlah kita terus melatah tidak henti-henti sehingga nampak hilang rasional, tidak waras dan tidak adil.

Rasional, waras dan adilkah kita – kononnya kerana mahu mempertahankan budi bahasa – terus menghukum Sharifah Amani tetapi pada masa yang sama, memejamkan mata kepada pelawak veteran, AR Badul?

Apa yang dilakukan oleh Sharifah Amani itu adalah reaksi spontan seorang anak muda yang pertama kali merasakan hasil usaha kerjanya diberikan pengiktirafan yang tinggi. Saya boleh memahami perasaannya dalam masa lebih kurang 30 saat di atas pentas itu.

Apa yang saya tidak faham ialah jenaka Badul yang cukup menjengkelkan terhadap punggung rakan penyampainya, Ida Nerina semasa mereka naik ke pentas.

Jenaka Badul yang kononnya mahu mengusik Ida yang baru berkahwin itu langsung tidak kena gaya dan tidak kena tempat. Dia bukan saja memalukan seorang isteri orang di tengah-tengah khalayak dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung, malah turut membuatkan si suami berasa resah di kerusinya di bawah pentas.

Adalah sesuatu yang sangat malang sekali apabila sesetengah media menganggap bahawa jenaka Badul yang tidak ada kelas itu berjaya menghidup dan menggamatkan suasana.

Pengarah Urus Setia FFM19, Mohd Mahyidin Mustakim yang juga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pula menyifatkan jenaka itu menghangat dan memeriahkan majlis.

Kepada saya – dan ramai orang tentu boleh bersetuju dengan saya, apa yang dilakukan oleh Badul itu bukan sesuatu yang boleh dikatakan berjaya tetapi petaka. Apakah perangai Badul yang asyik merenung punggung Ida dan membuat beberapa komentar yang tidak manis itu bersopan dan berbudi bahasa?

Bagaimanakah Sharifah Amani boleh dilihat kurang ajar tetapi tidak Badul?

Saya tidak faham bagaimana Badul boleh terlepas daripada kritikan pejuang moral dan budi bahasa. Barangkali pejuang moral dan budi bahasa yang ramai sedang seronok mengganyang Sharifah Amani itu sampai menutup pintu kemaafan agaknya masih boleh ketawa dan bertepuk tangan kalau orang melakukan hal yang sama kepada isteri mereka. Agak saya, begitulah.

Selain latah Sharifah Amani, kemenangan gubra juga mendapat kritikan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati bagaimana sebuah filem yang dilihat oleh mereka sebagai mencemarkan budaya boleh diangkat sebagai terbaik. Kemenangan Sepet yang juga arahan Yasmin pada FFM18 juga mendapat kritikan yang sama.

Para pengkritik dan pejuang moral itu barangkali tidak pernah menonton filem Melayu agaknya. Atau mungkin juga sama seperti kontroversi Sharifah Amani, mereka memilih-milih untuk menjatuhkan hukuman moral dengan menghentam Sepet dan Gubra tetapi tidak beberapa filem lain misalnya Kuliah Cinta dan Remp-It.

Tetapi kalau para pengkritik itu memikirkan bahawa kritikan (atau kutukan) mereka akan meruntuhkan semangat Yasmin untuk membuat filem selepas ini, mereka sudah tersalah besar.

Semangatnya tidak pernah sedikit pun tercalar malah sebaliknya kritikan-kritikan yang sukar dihentikan itu kuat mendorongnya untuk terus menghasilkan filem. Yasmin tidak akan berhenti bikin filem.

“Saya mesti membuat filem yang lebih baik daripada filem sebelumnya. Kalau saya membuat filem yang baik, filem itu akan menjawab bagi pihak saya,” kata Yasmin.

Kemenangan Gubra adalah satu kejayaan peribadi yang sangat bermakna kepada Yasmin. Inilah sebuah filem yang lahir dengan penuh air mata. Dia menangis hampir setiap pagi sepanjang penggambarannya di Ipoh apabila dihentam kerana kemenangan Sepet di FFM18 dan keengganannya menghantar filem itu mewakili Malaysia ke Festival Filem Asia Pasifik ke-50 di Kuala Lumpur.

Walaupun ketika itu dia sedang kuat dikritik kerana Gubra, Yasmin tekun mengerjakan filem terbarunya Mukhsin selama dua minggu pada Mei lalu.

Ketika kritikan-kritikan itu kembali memuncak ekoran kemenangan filem itu dalam FFM19 yang baru lalu, dia sedang merangka cerita untuk filem terbarunya.

Filem yang diberi judul May 13 itu akan memberikan satu perspektif baru mengenai hubungan antara kaum di sebalik episod hitam sejarah negara itu.

“Cuba teka siapa yang akan berlakon dalam filem itu?,” tanya Yasmin.

Ada dua perkara yang tidak perlu diteka lagi: Yasmin akan terus membuat filem tentang kasih sayang dan hubungan antara kaum, dan pelakonnya ialah Sharifah Amani.

Yasmin sendiri pun sedar bahawa kalau membuat filem yang baik itu dilihat mencemarkan budaya, dia akan terus bikin filem.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.