|
BEIJING 15 Ogos – Seorang wartawan dari Singapura dibicarakan di sini hari ini atas tuduhan menjalankan risikan - salah satu kes yang disifatkan kumpulan hak asasi sebagai kawalan keras China terhadap aliran maklumat.
Wartawan Straits Times yang berpejabat di Hong Kong itu, Ching Cheong ditahan di China pada April tahun lepas dan didakwa merisik untuk Taiwan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Hak Asasi Manusia dan Demokrasi menyatakan, Ching Cheong dibicarakan di sebuah mahkamah di Beijing hari ini.
Sementara itu, stesen radio Hong Kong, RTHK berkata, perbicaraan tersebut dijalankan di Mahkamah Pertengahan Rakyat Beijing.
Bagaimanapun, pegawai mahkamah yang dihubungi tidak mengetahui apa-apa mengenai perbicaraan tersebut.
Wartawan tersebut ditahan di selatan Guangzhou ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan dokumen berkaitan bekas ketua Parti Komunis China, Zhao Ziyang.
Isteri dan peguamnya gagal dihubungi bagi mendapatkan sebarang ulasan.
Seorang penyelidik di New York Times, Zhao Yan pula dituduh membekalkan rahsia China kepada negara luar dan ditahan sementara menunggu keputusan kes.
– Reuters
IKLAN@UTUSAN
|