Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 15/08/2006
Batal jambatan kekal -- Kerajaan tidak akan tarik balik keputusan Kabinet – PM

Batal jambatan kekal -- Kerajaan tidak akan tarik balik keputusan Kabinet – PM


JOHOR BAHRU 14 Ogos – Muktamad. Keputusan pembatalan pembinaan Jambatan Indah menggantikan Tambak Johor adalah kekal dan tidak akan ditarik balik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Kabinet telah membincangkan mengenai projek itu secara teliti dan telah membuat keputusan.

“Beliau (Tun Dr. Mahathir Mohamad) boleh kata apa sahaja yang beliau suka. Saya Perdana Menteri, saya yang memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan MSC Malaysia Cyber Centre di sini, hari ini.

Dr. Mahathir, bekas perdana menteri yang sejak kebelakangan ini mengkritik hebat pentadbiran Abdullah, semalam berkata beliau hanya akan berhenti daripada mengkritik kerajaan sekiranya pembinaan Jambatan Indah diteruskan semula.

Malah difahamkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang mengadakan pertemuan tertutup dengan Abdullah hari ini turut bersetuju untuk tidak lagi menimbulkan isu tersebut.

Namun ketika ditanya mengenai pendirian Dr. Mahathir untuk terus mempersoalkan kerajaan yang membatalkan projek itu, Abdullah tidak menghalang beliau daripada memberikan apa jua pandangan dan kritikan.

“Tidak apalah... beliau boleh bercakap apa sahaja.’’

Perdana Menteri yang terus diasak dengan soalan, adakah ini bermakna keputusan pembatalan projek jambatan itu tidak akan dikaji semula, kemudiannya menggelengkan kepala.

Ditanya mengenai Kompleks Pemeriksaan Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) yang dijangka lewat disiapkan ekoran permintaan penangguhan oleh kontraktor Gerbang Perdana Sdn. Bhd. (GBSB), Abdullah yakin kontraktor terbabit akan berusaha menyiapkannya secepat mungkin.

Beliau turut menekankan pentingnya pembinaan jambatan baru yang akan menghubungkan rangkaian jalan dari kompleks itu ke Tambak Johor.

“Jambatan CIQ itu adalah untuk menggantikan Jambatan Indah yang kita tidak jadi bina. Saya percaya kita perlu menggunakan kompleks yang hampir siap ini kerana kemudahannya cukup untuk melancarkan trafik.

“Apa yang perlu dilakukan ialah mewujudkan jalan-jalan yang menghubungkan CIQ baru dengan tambak dan apabila ini berlaku kesesakan lalu lintas dapat diatasi kerana kemudahan termasuk lorong pemeriksaan yang disediakan boleh menampung jumlah kenderaan yang banyak,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini memberitahu, kontraktor pembinaan CIQ terbabit telah meminta penangguhan kedua selama lima bulan lagi untuk menyiapkan projek bernilai RM1.3 bilion itu.

Dengan penangguhan itu, projek tersebut yang sebelum ini dijadual siap pada akhir tahun ini dan digunakan Januari tahun depan, hanya akan siap pada 28 Februari 2007.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN