VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 14/08/2006

Klasik Nasional kini milik rakyat seluruh negara


Chuari Selamat (duduk) bersama sebahagian penyampai dan petugas Klasik Nasional di konti stesen radio tersebut.



PENANTIAN para peminat lagu-lagu irama Melayu di seluruh negara kini dipenuhi apabila stesen radio Klasik Nasional dilancarkan pada malam Sabtu lalu oleh Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.

Kini Klasik Nasional menemui peminatnya di seluruh pelosok tanah air dengan waktu siaran selama 24 jam sehari.

Klasik Nasional merupakan gabungan dua stesen radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Klasik fm dan Nasional fm.

Sebelum digabungkan seramai 270,000 pendengar radio memilih Klasik fm setiap hari walaupun ia hanya disiarkan di sekitar Lembah Klang dan bersiaran selama 16 jam sehari. Sementara bilangan pendengar Nasional fm pula ialah 410,000 orang sehari.

Dengan penggabungan tersebut, buat permulaan Klasik Nasional dijangka dapat menarik lebih 700,000 pendengar sehari.

Sesuai dengan cogan kata ‘Segalanya Di Sini, Menggamit Memori’, Klasik Nasional kini membawa maksud semuanya ada di stesen tersebut.

Klasik Nasional merangkumi program hiburan, sukan, drama, hal ehwal semasa, pembangunan, pertanian, agama dan berita.

Informasi yang lebih ceria itu diselangselikan dengan lagu-lagu irama Melayu klasik.

Stesen penyiaran milik kerajaan itu turut menyiarkan lagu-lagu popular malar segar dan irama Melayu kontemporari pada setiap hari.

Malah, para pendengar turut dihidangkan dengan lagu-lagu nostalgia yang dipetik daripada filem-filem klasik Melayu dari era tahun 1950-an hingga kini.

Kekalkan jati diri

Bagi segelintir peminat stesen Klasik fm, mereka mungkin berasa gusar dengan penggabungan itu.

Hujah mereka ialah Klasik Nasional bakal menghilangkan jati diri yang sudah lama diperjuangkan sejak kewujudan stesen RiMA lapan tahun lalu.

Tambahan pula, lagu-lagu yang diputarkan turut menampilkan lagu dari Indonesia.

Bagaimanapun, Pengawal Klasik Nasional, Chuari Selamat membetulkan pandangan tersebut.

Menurut Chuari, stesen itu tetap memperjuangkan lagu berirama Melayu walaupun ia merupakan proses penggabungan dua stesen radio.

Chuari yang ditemui pada malam pelancaran stesen itu di Angkasapuri Sabtu lalu menegaskan, Klasik Nasional tidak akan lari daripada konsep asal Klasik fm.

“Yang berubah hanyalah pembaharuan dalam menyelitkan informasi terkini kepada pendengar.

“Sebenarnya, ramai pendengar yang memberi cadangan agar Klasik fm di perluaskan ke seluruh negara. Setelah mengadakan perbincangan, kami bersetuju agar Klasik fm dan Nasional fm bergabung sebagai cara terbaik untuk memberi kepuasan kepada pendengar lagu-lagu Melayu lama.

“Bagi saya, Klasik Nasional merupakan pelengkap antara satu sama lain melalui ilmu pengetahuan, berita terkini dan hiburan,” katanya.

Kos yang tinggi untuk membawa Klasik fm ke seluruh negara menyebabkan RTM mengambil langkah strategik menggabungkan Klasik fm dan Nasional fm.

Chuari juga menjelaskan sebab Klasik Nasional turut menampilkan lagu-lagu dari Indonesia dan lagu tempatan masa kini.

Jelasnya, walaupun lagu yang dimainkan merupakan lagu-lagu dari Indonesia, ia tetap lagu berirama Melayu lama.

“Kadang-kadang pendengar tidak menyedari lagu yang biasa didengar itu berasal dari Indonesia. Inilah keistimewaan lagu Melayu klasik yang boleh dianggap khazanah bangsa.

“Mengenai penyiaran lagu tempatan masa kini pula, kami hanya menyiarkan lagu-lagu baru yang berirama Melayu.

“Malah hari ini ramai penyanyi yang merakamkan lagu-lagu irama itu seperti Syura, Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris,” ujarnya.

Chuari yang sudah lebih 30 tahun mencurahkan bakti di RTM memberitahu pasukan Klasik Nasional akan melakukan pelbagai cara bagi memantapkan lagi saluran radio itu.

Katanya, Klasik Nasional begitu mementingkan cita rasa dan keperluan semasa para penonton yang masih kuat memberi sokongan terhadap lagu-lagu lama.

Bagi menjaga kualiti stesen Klasik Nasional, pilihan lagu dilakukan oleh para petugas yang berpengalaman luas dalam dunia penyiaran radio seperti Akbar Nawab, Shahizan Jelas dan Rosli Derani.

“Para penyampai radio kami yang masih muda akan mendapat bimbingan daripada mereka bagi mengelakkan kesilapan menyebut nama penyanyi atau lagu. Saya tahu para peminat lagu lama memang cepat sensitif kerana jika penyampai radio melakukan kesilapan, mereka terus akan telefon ke konti untuk membuat pembetulan,” katanya.

Sumbangan LP

Kata Chuari, pihaknya sedang berusaha untuk mengumpul serta menambahkan lagi koleksi lagu lama sama ada daripada format piring hitam (LP), kaset ataupun cakera padat (CD).

“Kami mengalu-alukan sesiapa yang mahu menyumbangkan LP lagu-lagu lama yang masih elok dalam koleksi simpanan mereka.

“Kami akan siarkan lagu-lagu daripada LP-LP yang disumbangkan itu. Selama ini pun banyak lagu yang kami siarkan adalah hasil sumbangan para pendengar Klasik fm,” katanya.

Sebagai penghargaan, Klasik Nasional juga akan menjemput tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang sebagai tetamu undangan dalam program-program terbitannya kelak.

Antara program yang dirancang ialah perkembangan terbaru insan-insan seni veteran yang kini seakan-akan dilupakan oleh masyarakat termasuk pemuzik dan wartawan.

“Contohnya, kami pernah bertemu dengan pemuzik veteran Ahmad C yang pernah bergiat dalam dunia hiburan sezaman dengan Allahyarham P. Ramlee.

“Kami difahamkan beliau kini masih sihat dan tinggal di Kota Tinggi, Johor dan menjalani kehidupan seharian sebagai nelayan,” ujarnya.

Chuari berharap Klasik Nasional akan memberi kepuasan maksimum kepada para pendengar terutama peminat lagu-lagu klasik.

Katanya, Klasik Nasional diibaratkan sebagai penyambung generasi yang menghargai warisan lagu Melayu lama.

Bermula pada 12 Ogos lalu, Klasik Nasional menggunakan frekuensi yang digunakan oleh Nasional fm sebelum ini iaitu 93.9 Mhz, manakala untuk siaran luar Lembah Klang pula ia mengikut frekuensi yang telah disediakan di negeri-negeri.

Klasik Nasional dipancarkan di seluruh negara melalui 49 pemancar iaitu kemudahan yang digunakan oleh Nasional fm sebelum ini.

Stesen radio itu menampilkan 19 juruhebah. Antaranya Adibah Affandi, Nora Mohamad, Norliza Yeo Abdullah, Hazliza Ibrahim, Khairul Munirah Abd. Razak, Norzaiti Ahmad, Mohamad Haji Hanafi, Yusmawati Yunos dan Rohani Zahid.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.