Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 08/08/2006
PM jawab tohmahan

PM jawab tohmahan


ABDULLAH Ahmad Badawi ceria semasa menjawab soalan Mohd. Annuar Zaini pada sesi wawancara khas yang disiarkan melalui TV3, malam tadi.



KUALA LUMPUR 7 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ada pihak sengaja menyebarkan fitnah kononnya projek-projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah diagih-agihkan kepada pihak tertentu termasuk kepada anaknya.

Beliau berkata, pihak terbabit juga berbuat demikian untuk menghinanya sebagai Perdana Menteri.

‘‘Cakap-cakap itu tidak benar dan pihak terbabit mempunyai niat jahat untuk mencemarkan nama baik kerajaan,’’ katanya dalam program TV3, Bersemuka Bersama Perdana Menteri, yang dihoskan Pengerusi Bernama, Datuk Mohd. Annuar Zaini malam ini.

Abdullah juga menafikan anak sulungnya Kamaluddin telah diberikan kontrak projek monorel di Pulau Pinang melalui syarikat Scomi Engineering Bhd., anak syarikat Scomi Group Bhd.

“Siapa yang cakap. Inilah susahnya jadi orang baik (Mr. Nice Guy).

“Jika (tuduhan-tuduhan itu) betul, saya hendak pihak-pihak berkenaan buktikan.

“Mereka boleh menghantar surat kepada saya atau membuat laporan polis, atau memaklumkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau mana-mana agensi penguat kuasa yang ada.

Katanya, pihak terbabit juga perlu bersedia menerima padahnya jika sengaja membuat tuduhan, semata-mata untuk mencemarkan imej kerajaan.

Abdullah memberi jaminan projek-projek RMK-9, bernilai RM15 bilion yang diumumkan baru-baru ini, akan dilaksanakan mengikut tender terbuka supaya ia adil.

“Saya memberi jaminan anak-anak dan menantu saya tidak akan diberikan sebarang projek berkenaan,’’ katanya.

Ketika ditanya mengapa perkara itu boleh berlaku sehingga imej kerajaan tercalar, Abdullah berkata, beliau tidak tahu mengapa.

“Mungkin pihak terbabit mempunyai agenda tertentu dengan maksud mereka ada niat jahat.

Sambil menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, Kamaluddin tidak pernah mendapat tawaran projek atau memohon projek kerajaan.

Menurutnya, syarikat minyak milik Kamaluddin hanya menumpukan perniagaannya dengan mendapat kontrak dari luar negara.

‘‘Hampir 80 peratus kontrak Kamaluddin diperoleh di luar negara. Selebihnya, sedikit kontrak Petronas yang diperolehnya melalui tender terbuka.’’

Katanya, Kamaluddin memperoleh kontrak itu setelah bersaing dengan syarikat-syarikat lain.

Abdullah berkata, Kamaluddin juga ada memohon tender dengan syarikat Shell, Murphy dan Esso kerana syarikat miliknya itu menjalankan kegiatan yang ada kaitan dengan minyak dan gas.

‘‘Dia (Kamaluddin) tidak pernah minta projek kerajaan atau minta syarikatnya dibantu oleh kerajaan (bail out),’’ katanya.

‘‘Tidak ada satu pun dia (Kamaluddin) datang meminta pertolongan saya, dan saya anggukkan,’’ katanya.

Begitu juga dengan menantunya, Abdullah berkata, Khairy Jamaluddin tidak pernah memohon projek-projek kerajaan.

Katanya, saham Khairy dalam syarikat ECM-Libra Bhd., diperolehnya melalui pinjaman.

Katanya, Khairy juga hanya memiliki sejumlah kecil saham dalam syarikat berkenaan.

Abdullah berkata, semasa Khairy memegang jawatan dalam kerajaan suatu ketika dahulu, Khairy sentiasa berurusan dengannya.

Katanya, Khairy kemudian meletakkan jawatan apabila banyak cakap-cakap menuduh beliau (Khairy) campur tangan dalam urusan kerajaan.

Apabila Khairy menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy juga pernah mewakili pergerakan itu dalam beberapa mesyuarat dengan kerajaan, tetapi beliau tidak pernah mendesak supaya pandangannya diterima.

Sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, beliau sudah tentu perlu memainkan peranan yang diamanahkan dan menjalankan tugasnya.

Katanya, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad sentuh fasal Khairy, beliau mengambil pendirian tidak mahu menjawab kerana tidak mahu membawa hal-hal keluarga dalam kerajaan.

‘‘Saya tahu anak-anak dan menantu saya tidak terlibat.’’

Beliau berkata, walaupun begitu ini tidak bermakna Khairy tidak boleh melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

‘‘Takkan sampai Khairy tidak boleh berniaga. Khairy kena bekerja kerana dia juga kena tanggung isteri.

Abdullah berkata, Khairy juga tidak pernah datang berjumpanya meminta projek atau memberitahunya tentang sebarang projek kerana Khairy tahu dia (Khairy) tidak akan mendapat apa-apa daripadanya (Abdullah).

Abdullah juga tidak menafikan ada pihak tertentu yang cuba menggunakan Khairy.

Katanya, orang akan guna apa cara sekalipun untuk kepentingan mereka tetapi akhirnya beliaulah yang akan menentukan dan membuat keputusan.

‘‘Mereka akan cari sesiapa yang boleh mereka gunakan untuk kepentingan mereka. Apa yang penting ialah akhirnya sayalah yang akan menentukan dan membuat keputusan.’’

Beliau juga menafikan ada campur tangan dalam pemilihan UMNO pada 2004 melibatkan pemilihan Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.

Katanya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri meminta beliau supaya jangan campur tangan dalam hal ehwal pemilihan Pemuda UMNO pada waktu itu.

Mengenai tuduhan banyak syarikat Malaysia kini dikuasai syarikat dari Singapura, beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai sangat baik.

Perdana Menteri berkata, tidak ada salahnya jika syarikat asing membeli saham syarikat Malaysia kerana ia menandakan syarikat asing mempunyai keyakinan terhadap syarikat Malaysia dan mereka yakin mahu melabur di negara ini.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN