VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 29/07/2006

Fahmi tewas di Iran tapi jadi juara Akademi al-Quran


ABDULLAH FAHMI menerima replika cek daripada Dr. Abdullah Md. Zin sambil diperhatikan Abdul Mutalib Mohamed Razak di Shah Alam, Selangor malam kelmarin.



JUARA program realiti TV Akademi al-Quran (AQ) musim pertama, Abdullah Fahmi Che Nor, 22, boleh tersenyum puas selepas menjuarai pertandingan anjuran TV9 itu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor malam kelmarin.

Peserta dari Kelantan itu muncul juara pertandingan realiti TV tersebut walaupun dia pernah gagal dalam satu pertandingan musabaqah membaca al-Quran peringkat antarabangsa yang disertainya di Iran pada bulan April lalu.

Pada pertandingan itu, Abdullah Fahmi yang mewakili Malaysia mendapat tempat terakhir daripada enam peserta pelbagai negara yang bertanding di sana.

“Banyak negara yang menghantar peserta mereka termasuklah Belanda pada pertandingan itu. Itu adalah kali pertama saya bertanding dalam musabaqah membaca al-Quran di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya pertandingan program realiti TV tersebut.

Dengan kemenangan itu, Abdullah Fahmi menggondol hadiah berupa wang tunai berjumlah RM30,000, pakej mengerjakan umrah dan sijil penyertaan.

Abdullah Fahmi tidak menyangka memenangi pertandingan akhir membaca al-Quran itu memandangkan kesemua finalis program realiti TV tersebut hebat-hebat belaka.

“Saya memang tidak sangka akan menang dalam pertandingan ini kerana saya juga ada banyak kekurangan. Tetapi saya bersyukur kerana Allah pilih saya menang. Mungkin kemenangan ini ada kebaikannya dan semoga ia dapat digunakan dengan baik,” ujarnya yang membaca surah Yusof ayat 53 pada pertandingan itu.

Abdullah Fahmi yang akan menyambung pengajiannya di Mesir selama tiga tahun pada September ini dalam bidang qiraat al-Quran akan menggunakan wang hadiah kemenangan itu bagi membantu keluarga termasuk kawan-kawannya menyambung pelajaran.

Abdullah Fahmi bersyukur kepada Allah kerana telah mengurniakan kepadanya kesihatan dan suara yang baik dan seterusnya menewaskan lima lagi peserta pada pertandingan akhir itu.

“Saya banyak berdoa kepada Allah supaya diberi suara yang baik. Selain itu, saya juga banyakkan rehat dan kurangkan minum ais. Komen daripada juri memang banyak memberi kesan kepada saya. Malah, saya masih ada banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki,” katanya merendah diri.

Amirahman Abas, 24, yang muncul naib juara AQ juga tidak menjangka akan memenangi pertandingan akhir yang ditonton lebih satu juta penonton itu, apatah lagi pada malam tersebut dia menghadapi masalah apabila hidungnya kerap berair.

“Saya tidak sangka akan menang kerana saya ada masalah dari segi suara yang tidak stabil. Hidung saya pula cepat berair, tetapi saya anggap ini adalah ketentuan Allah. Malah, ada juga kesilapan yang biasa saya lakukan dan ia tidak dapat dielakkan,” komennya.

Kemenangan itu membolehkan peserta dari Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, pakej mengerjakan umrah dan sijil penyertaan.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga, Azraie Abdul Hak, 25, yang mendapat hadiah wang tunai RM10,000, pakej mengerjakan umrah dan sijil penyertaan pula terkejut walaupun dia sekadar mendapat tempat ketiga.

“Saya memang tidak sangka akan menang kerana saya fikir langsung tidak ada nombor (tidak menang sebarang hadiah) untuk saya. Ini kerana, kelima-lima peserta lain yang bertanding mantap-mantap semuanya,” jelasnya.

Hadiah untuk para peserta disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin sambil diiringi Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Sementara itu, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Badiuzzaman, 24, satu-satunya finalis wanita AQ bersyukur kerana berjaya hingga ke peringkat akhir walaupun tidak memenangi tiga hadiah utama itu.

“Saya rasa macam biasa sahaja, tidak rasa tekanan biarpun terpaksa bersaing dengan peserta lain. Kalau pada peringkat sebelum ini mungkin lain rasanya kerana ketika itu ada peserta yang disingkirkan. Tetapi kali ini saya tenang sikit,” ungkapnya dengan tenang.

Selain mereka, dua lagi peserta yang bertanding pada pertandingan akhir AQ itu terdiri daripada Mohd. Shukri Ali, 24, dan Anuar Hasin, 22.

AQ yang bersiaran sejak April lalu selama 14 episod merupakan pertandingan realiti TV yang mengangkat para pemenangnya 100 peratus berdasarkan pemilihan dan penilaian tiga juri profesional.

Tiga juri profesional yang mengadili pertandingan akhir AQ itu terdiri daripada Mohd. Zamri Mohd. Zanuldin yang menilai bahagian tajwid dan fasohah, Radzi Kamarul Hailan (taranum) dan Mohd. Nazri Abdullah (qiraat).

Pemarkahan bagi kategori tajwid dan fasohah menyediakan markah sebanyak 40 peratus, taranum dan suara 30 peratus, manakala qiraat pula 30 peratus.

Jelas Radzi Kamarul, dia dan dua lagi juri AQ memilih Abdullah Fahmi sebagai johan pertandingan itu kerana bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Ar-Rahman, Kubang Kerian itu mempunyai auranya yang tersendiri.

“Kami dapati gaya bacaan al-Quran yang disampaikannya (Abdullah Fahmi) bukan sahaja menarik perhatian kami. Audiens juga boleh tertarik mendengar bacaannya.

“Bagaimanapun, para peserta lain juga ada kelebihan masing-masing cuma pentas pertandingan akhir sahaja yang menentukan nasib mereka. Bagi saya, AQ hebat kerana pertandingan ini dibuat secara on the spot.

“Kalau tilawah al-Quran peringkat antarabangsa memberi sesuatu surah kepada para pesertanya dua jam sebelum pertandingan, tetapi kita suruh peserta AQ baca sesuatu surah itu pada ketika itu juga,” katanya.

Dalam pada itu, Bukhari Che Muda pula berkata, bagi memenuhi permintaan orang ramai, TV9 akan menerbitkan 14 episod AQ dalam bentuk cakera padat video (VCD) dan ia akan dipasarkan tidak lama lagi.

“VCD khas itu dikeluarkan kerana kami mahu memanjangkan lagi manfaat daripada program realiti TV ini yang ternyata berjaya mencapai matlamatnya.

“Untuk musim kedua AQ, kita akan bekerjasama dengan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan juga jabatan agama peringkat negeri bagi mencungkil lebih ramai bakat baru,” ujarnya.

Sebelum penyampaian hadiah kepada para pemenang, para penonton dihiburkan dengan dua buah lagu berjudul Kalamullah dan Iktiraf yang disampaikan oleh Munif daripada kumpulan Hijjaz, Izzat (Mirwana) serta Salleh dan Faiz (Brothers).

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.