VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 25/07/2006

Adat jangan bertentangan syariat


DALAM kepesatan masyarakat menuju ke arah negara maju, masih wujud kekeliruan antara tuntutan agama dan adat yang menjadi pegangan kuat orang Melayu. Bahkan, ada pepatah mengatakan biar mati anak, jangan mati adat. Ini menggambarkan betapa dalam sesuatu situasi adat mendahului kepentingan lain dalam hidup.

Amat menjengkelkan apabila ada lapisan masyarakat menjadikan adat sebagai perkara wajib hingga tuntutan agama diabaikan. Perkara ini dapat dilihat terutama dalam majlis yang membabitkan perkahwinan, menyambut kelahiran cahaya mata dan kematian.

“Sebenarnya, masyarakat perlu faham bahawa Islam tidak pernah menolak adat selagi ia tidak bertentangan dengan syarak. Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan masyarakat kerana wujudnya kekeliruan antara memahami adat dan tuntutan agama,” kata Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Rugayah Tibek.

Beliau memberi contoh majlis menyambut kelahiran cahaya mata baru dalam sesebuah keluarga. Dalam Islam, bayi yang baru lahir perlu diazan dan ditahmidkan. Kemudian, ibu bapa akan memilih nama yang baik dan seterusnya melakukan akikah. Semua ini penting sebagai tanda kesyukuran kerana mendapat anak.

Namun, yang agak dikesali adalah tindakan sesetengah masyarakat yang menyambut kelahiran anak dengan bermacam-macam perkara hingga menjadi khurafat seperti meletakkan pisau di bawah bantal, kononnya untuk mengelakkan daripada gangguan hantu dan syaitan.

“Sama juga dengan majlis mencukur kepala. Sepatutnya rambut dicukur dengan tujuan membersihkan kepala bayi tersebut tetapi kita hanya cukur sedikit sahaja. Rambut yang habis dicukur perlu ditimbang dengan nilai emas untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

“Cuma Islam tidak memberatkan untuk timbangan emas kerana yang penting ialah membersihkan kepala bayi. Di samping itu, ada juga sesetengah majlis mencukur kepala disertai dengan marhaban dan berzanji. Ini adalah antara adat yang membawa kebaikan,” jelas Rugayah.

Disunatkan

Pada majlis perkahwinan pula, yang menjadi tuntutan agama ialah akad nikah dan kenduri kahwin. Perkahwinan yang dilangsungkan hendaklah diisytiharkan dengan mengadakan kenduri seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, Buatlah kenduri walau dengan seekor kambing. (Riwayat Bukhari)

Dalam Islam, meminang adalah disunatkan tetapi ia bukan satu adat. Agama turut menggalakkan pemberian hadiah, misalnya pemberian hantaran kepada keluarga pengantin, tetapi biarlah ia bersederhana untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Kalau ia dilakukan secara berlebih-lebihan seperti mana pada hari ini, itu semua adalah adat semata-mata dan bukannya tuntutan agama.

Begitu juga dengan majlis perkahwinan yang terlalu meriah hingga mengundang kepada pembaziran. Perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Di samping itu, ia turut diiringi dengan majlis persandingan di mana pengantin perempuan berhias secara berlebih-lebihan dan membuka aurat.

“Islam menggalakkan kenduri untuk menghebahkan perkahwinan kepada umum. Adalah lebih elok kalau pasangan melayan tetamu dengan dihiasi pakaian yang sedikit berbeza dan menunjukkan dirinya baru berkahwin. Tetapi dalam masyarakat kita terlalu banyak adat hingga matlamat sebenar tidak tercapai,” kata beliau.

Rugayah turut menyentuh mengenai adat menepung tawar pasangan pengantin semasa majlis persandingan. Dipercayai adat ini berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu kala yang hendak belayar. Ketika itu diadakan upacara menurunkan perahu atau kapal. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mentera menggunakan tepung tawar dan sebagainya.

Membebankan

“Seperti yang saya nyatakan, masyarakat kita sebenarnya tidak jelas apakah adat yang mereka buat dan tujuannya. Dalam adat menepung tawar, kita perlu lihat pada tujuannya terlebih dahulu. Kalau berhasrat untuk menolak bala, maka Islam tidak membenarkan. Sekiranya ia dilakukan dengan tujuan untuk meraikan pengantin, ini tidak bertentangan dengan syarak,” tambahnya.

Selain itu, beberapa adat yang wujud di sesetengah negeri seperti adat mandi bagi pasangan pengantin juga tidak manis dilakukan kerana ia menampakkan aurat antara lelaki dan perempuan.

Adat ‘tol’ seperti di Johor juga dilihat membebankan pihak lelaki yang sudah banyak mengeluarkan perbelanjaan. Bagaimanapun, adat ini tidaklah sampai ke peringkat haram kerana mereka melakukan sekadar untuk berseronok.

Antara adat yang bertentangan dengan syarak ialah lenggang perut. Adat melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di selatan Semenanjung manakala di utara Semenanjung, ia lebih dikenali dengan panggilan kirim perut.

Ia dilakukan ke atas wanita yang genap hamil tujuh bulan bertujuan meletakkan kedudukan bayi di tempat yang sepatutnya dalam perut ibu iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut.

Kelengkapan yang diperlukan ialah tujuh helai kain berlainan warna, segantang beras, sebiji kelapa, beberapa urat benang dan lilin, sebatang damar, sedikit minyak kelapa atau minyak urut, satu tepak sirih yang lengkap dengan isinya dan pengeras wang sebanyak RM1.25 di dalam tepak sirih.

Biasanya pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut akan dipakaikan dengan pakaian baru dan cantik.

“Adat ini wujud kerana azam kita agar bayi dapat dilahirkan dengan selamat. Hakikatnya, kita perlu memohon dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya dimudahkan bersalin dan bukannya melalui upacara tersebut.

“Oleh kerana adat ini diwarisi sejak turun-temurun, maka masyarakat hari ini masih lagi mengamalkannya,” ujar Rugayah yang berpendapat perlu ada usaha digerakkan bagi menjelaskan kekeliruan antara adat dan agama.

Masyarakat Melayu juga mempunyai kepercayaan tertentu apabila membabitkan soal kematian. Misalnya, mengadakan majlis tahlil dalam tempoh tertentu hingga membebankan keluarga si mati. Ditegaskan bahawa Islam tidak pernah menetapkan jumlah hari untuk kenduri tahlil dan ia boleh diadakan pada bila-bila masa.

Apabila masyarakat semakin keliru dan tidak tahu membezakan antara adat dan agama, ia akan menyebabkan umat Islam keciciran tanggungjawab terhadap agama. Dalam kehidupan sesetengah individu, dari segi psikologi mereka sentiasa mengharapkan ada kuasa lain dalam diri mereka.

“Saya ingin tegaskan bahawa selagi adat tidak bertentangan dengan agama, maka Islam membenarkan. Jangan sampai ia memudaratkan seperti mana yang kita lihat pada hari ini iaitu perbelanjaan perkahwinan yang tinggi menyebabkan ramai pasangan muda menangguhkan perkahwinan mereka dan akhirnya berlaku maksiat,” tegas beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.