VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 23/07/2006

Dispareunia sakit ketika bersama


KETAKUTAN untuk mengandung dan melalui proses bersalin boleh mengakibatkan vaginismus.


SAKIT? Hubungan kelamin tidak sepatutnya menyakitkan. Seks sepatutnya menjadi hubungan batin suami isteri yang menyeronokkan, bukan sebaliknya.

Jika anda mengalami kesakitan ketika bersama suami, berhentilah kerana ia mungkin memberikan isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Dispareunia (dis-pa-run-ya) merupakan terma yang digunakan oleh para doktor secara eksklusif untuk wanita bagi menggambarkan masalah kesakitan ketika melakukan persetubuhan.

Bagaimanapun, lelaki jangan terlalu gembira kerana ia juga boleh berlaku kepada mereka.

Walaupun anda mungkin merasakan bahawa anda sahaja yang mengalaminya, jangan terkejut! Berdasarkan kajian, lebih dua pertiga wanita mengalaminya pada satu ketika dalam hidup mereka.

Namun demikian, seperti biasa, tidak ramai wanita yang berjumpa doktor mengenai perkara ini meskipun banyak yang boleh dilakukan untuk merawatnya, sekali gus mengembalikan semula keintiman pasangan yang sebelum ini mungkin dilema.

Rasa takut dan malu menghalang wanita daripada mendapatkan bantuan perubatan.

“Aku tak normal, tiada apa yang boleh dilakukan,’’ mungkin itu yang wanita fikirkan sekalipun hakikatnya, ia sama sekali tidak benar.

Harus ditekankan di sini bahawa sakit semasa melakukan hubungan seks bukanlah sesuatu yang boleh dianggap normal. Anda juga tidak perlu hidup dengannya.

Usah bimbang. Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor cuba mempermudahkan kesakitan anda.

“Pertama sekali, kita perlu memahami organ reproduksi kaum Hawa. Faraj merupakan satu laluan dari pangkal rahim ke permukaan luaran badan. Pangkal rahim adalah satu bahagian anatomi rahim yang sempit yang berhubungan dengan faraj.

“Kawasan luaran jantina perempuan dinamakan vulva. Dua pasang lipatan berdaging dinamakan bibir luar (labium major) dan bibir dalam (labium minor) mengelilingi bukaan faraj dan uretra dan menjulur ke depan hingga ke klitoris.

“Klitoris adalah bahagian atas bibir-bibir ini yang hampir sama dengan penis lelaki, mengandungi tisu erektil yang menjadi tegak apabila menerima rangsangan seksual - memberikan keseronokan dan kenikmatan semasa hubungan kelamin,’’ kata Dr. Shah Reza.

Mengapa kesakitan berlaku?

Kesakitan boleh dikaitkan sama ada secara fizikal mahupun emosi. Wanita akan mengalami empat fasa semasa hubungan kelamin yang secara ringkasnya dinyatakan seperti di bawah:

* Fasa keinginan nafsu berahi: Perasaan yang berkehendakkan kepada aktiviti hubungan kelamin

* Fasa kebangkitan nafsu berahi: Perubahan fizikal terjadi di mana faraj dan vulva menjadi lembap, otot-otot faraj menjadi bertambah longgar, klitoris mengembang serta membengkak, rahim meninggi dan faraj menjadi bertambah dalam serta panjang dan melebar.

“Fasa kebangkitan ini penting untuk persediaan faraj semasa menerima alat sulit lelaki (penis),’’ kata Dr. Shah Reza.

* Fasa puncak syahwat: Satu rangsangan kemuncak aktiviti. Otot-otot faraj dan vulva mengembang mengecut - menimbulkan keseronokan tidak terkira. Klitoris juga boleh menimbulkan rasa kemuncak

* Fasa resolusi/ketetapan: Faraj, rahim serta klitoris kembali ke struktur asal.

Tambahnya, jika fasa-fasa di atas tidak berlaku, hubungan kelamin menjadi satu aktiviti yang menyakitkan, tidak memberangsangkan serta mendatangkan ketidakselesaan.

Jenis-jenis kesakitan dan langkah-langkah perlu

Menurutnya, kesakitan semasa hubungan kelamin boleh dirasai sama ada di bahagian vulva, pembukaan faraj, di dalam faraj dan juga jauh ke dalam faraj.

Kesakitan vulva dirasai semasa tusukan penis, di permukaan luaran faraj. Kesakitan faraj pula dirasai di bahagian dalam manakala kesakitan yang jauh ke dalam boleh dirasai di belakang, pinggul, rahim dan juga pundi kencing.

Kesakitan vulva

Kesakitan dirasai apabila bahagian luar vulva disentuh yang mungkin berpunca daripada sabun, pencuci faraj, bedak ataupun penyembur sanitasi faraj yang digunakan.

Parut dan infeksi/jangkitan mungkin turut berperanan dalam menimbulkan kesakitan ini di mana vulva luka, deria rasa pula menjadi berlebihan.

Kesakitan faraj

* Kekeringan faraj: Kata Dr. Shah Reza, ini berlaku apabila faraj kering, mungkin dari kesan sampingan ubat-ubatan yang dimakan, mungkin juga kerana isteri tidak bersedia, maka fasa keinginan tersebut tidak berlaku.

“Kehamilan, penyusuan badan dan awal menopaus turut mempengaruhi kelembapan semula jadi di dalam faraj.

“Pada permulaan menopaus, hormon wanita - estrogen mengurang. Akibatnya, tisu faraj menipis dan relatifnya menjadi lebih kering, menyebabkan kesakitan semasa hubungan kelamin,’’ ujar beliau.

Hormon gantian boleh diambil bagi mengurangkan penyeksaan itu.

“Wanita harus berbincang dengan suami. Suami penyayang, boleh bertolak ansur serta memahami harus juga memainkan peranannya kerana hubungan sepatutnya dua hala.

“Kekeringan ini boleh diatasi dengan penggunaan lubrikasi/pelincir berasaskan air. Lubrikasi yang berasaskan minyak boleh merosakkan kondom yang mungkin dipakai sebagai kaedah mencegah kehamilan kerana lapisannya boleh melarut dan akhirnya pecah.’’

* Keradangan faraj seperti kegatalan, pedih, keluarnya rembesan dari faraj serta rasa panas membakar yang lazimnya disebabkan oleh kulat seperti kandidiasis, mungkin juga kerana infeksi oleh bakteria

* Vaginismus: “Vaginismus diakibatkan oleh kekejangan otot-otot pada bahagian luar faraj. Kesakitan yang amat sangat berlaku pada masa permulaan tusukan yang bakal menambahkan lagi kekejangan otot-otot tersebut.

“Bagi sesetengah wanita, vaginismus biasanya berlaku pada pengalaman pertama atau malam pertama pengantin baru,’’ Dr. Shah Reza.

Antara penyebab-penyebab vaginismus:

* Luka serta parut lama di faraj akibat kecederaan, proses kelahiran, pembedahan

* Kerengsaan serta keradangan dari penggunaan bahan-bahan pencuci faraj, spermisid dan alahan getah kondom

* Jangkitan vulva dan faraj.

Kesakitan serius di bahagian dalam faraj

Merupakan masalah dalaman yang serius, berlaku apabila keseluruhan organ reproduktif suami berada di dalam faraj.

* Penyakit keradangan pelvis

* Masalah dengan rahim

* Endometriosis

* Ketumbuhan di kawasan pelvis

* Penyakit yang melibatkan pundi kecing dan juga usus

* Organ-organ di bahagian pelvis yang melekat-lekat sesama sendiri, mungkin angkara jangkitan atau pembedahan lampau

* Ketumbuhan telur reproduksi.

Pemeriksaan lanjutan fizikal perlu dijalankan manakala pemeriksaan lain seperti ultrasound melalui faraj dan juga laparoskopi, mungkin disarankan.

Berikut antara soalan-soalan yang mungkin diajukan oleh doktor semasa pemeriksaan:

* Ciri-ciri kesakitan contohnya, darjah kesakitan, berapa lama dan di bahagian tubuh mana ia berlaku

* Bilakah anda berasa sakit

* Lain-lain simptom yang mungkin ada seperti sakit kepala, loya atau lemah, tidak bermaya

* Sejarah perubatan

* Sejarah keluarga.

Pilihan rawatan

* Bagi kes-kes jangkitan, rawatan dengan ubat-ubatan selalunya tidak mengecewakan

* Penggunaan krim atau jel membantu dalam kes-kes di mana pelincir semula jadi tidak mencukupi

* Latihan relaksasi berupaya mengembalikan semula kawalan otot-otot faraj

* Sekiranya ujian diagnostik mengesahkan kewujudan masalah fizikal seperti endometriosis, pembedahan mungkin dicadangkan oleh doktor anda.

Peranan emosi

“Ketakutan untuk mengandung boleh menghasilkan vaginismus atau mungkin timbul perasaan bersalah kerana melakukan hubungan jenis.

“Ada yang takut pada penyakit tularan seks, trauma akibat kecederaan atau pengalaman berorientasikan seks sama ada rela atau paksa seperti penderaan seks kanak-kanak, diperkosa dan sumbang mahram.

“Kesemua ini mengurangkan kelembapan serta lubrikasi faraj termasuklah daya keinginan,’’ Dr. Shah Reza menarik perhatian.

Nasihat beliau: “Wanita tidak harus berseorangan terseksa dengan pengalaman ini. Berbincanglah dengan para doktor, jururawat serta kaunselor bertauliah.

“Suami pula, sebagai teman hidup wanita, sepatutnyalah menunjukkan sikap memahami akan masalah yang dihadapi oleh si isteri, peka pada kesakitan tersebut dan bersama-sama mencari jalan penyelesaiannya.’’

Misal, tunggu sekurang-kurangnya enam minggu sebelum melakukan hubungan kelamin dengan isteri yang baru lepas bersalin. Kelembutan dan cumbuan yang memadai dapat memastikan kelinciran semula jadi faraj.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.