VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 21/07/2006

Zulkhairi jadikan pesan ibu sebagai azimat

JELAPANG Warisan Sdn. Bhd. adalah kebanggaan pengusaha muda yang berjiwa kental, Zulkhairi Md. Zain, 38. Apa tidaknya, laluan beliau untuk sampai ke tahap ini penuh dengan cabaran dan dugaan.

Kesanggupan beliau beralih ‘angin’ daripada seorang profesional kepada pekerjaan yang tidak ubah seperti tukang kebun menjadikan Zulkhairi tekad untuk berjaya dalam perniagaannya.

Beliau juga percaya untuk berjaya kena bermula dari bawah sekalipun terpaksa bermandi peluh dan melepaskan keegoan yang suatu ketika dahulu bergelar arkitek.

Ikuti pengalaman Zukhairi dalam temu bual bersama wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, HARUN OSMAN di Kampung Melayu, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimanakah perniagaan ini bermula dan apakah perkhidmatan yang ditawarkan?

ZULKHAIRI: Sebelum saya bermula dengan perniagaan ini, saya pernah berkerja makan gaji dengan sebuah syarikat arkitek pada 1992. Ini kerana latar belakang pendidikan yang diambil sewaktu belajar di Texas, Amerika Syarikat ialah bidang seni bina.

Pekerjaan tersebut bertahan sehingga 1997 sebelum saya dan dua lagi teman sekerja mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat Multi-Spex Architects Sdn. Bhd. Pada masa itu usia saya mencecah 29 tahun.

Untuk beberapa bulan, perniagaan kami berjalan lancar dengan memperoleh beberapa projek.

Namun apabila negara mengalami kegawatan ekonomi pada penghujung November 1997, syarikat turut terkena tempias apabila beberapa projek kami dibekukan.

Bayangkan kami terpaksa memberhentikan para pekerja dan pada masa itu, rakan kongsi terpaksa mencari haluan masing-masing.

Dalam situasi genting itulah, saya menceburi bidang landskap. Itupun secara kebetulan apabila kakak ipar menawarkan kerja penyelengaraan landskap.

Memandangkan tidak ada pilihan lain, saya terima projek itu walaupun imbuhannya kecil berbanding yang pernah saya peroleh sebelum ini di samping suasana kerjanya yang jauh berbeza dengan jawatan yang dipegang sebelum ini.

Saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menerima kebenaran tetapi alhamdulillah saya berani menempuhinya dan semuanya kesedaran bahawa ada hikmah di sebalik semua ini.

Semenjak itu, saya mula berguru dengan buku. Turning point saya dalam bidang ini apabila mendapat projek besar daripada teman, seorang kontraktor.

Bagi memastikan projek saya berjalan lancar, saya terpaksa kerap ke Sungai Buloh, Selangor untuk mendapatkan pokok-pokok berkaitan.

Pencarian mencari tapak nurseri pokok terjawab apabila saya ditawarkan tanah seluas satu hektar untuk diusahakan. Pada 1999, saya membuka nuseri pokok yang pertama di Batu 9, Hulu Langat.

Semenjak itu, semakin banyak projek diterima dan pada 2001, saya bertanggungjawab sebagai arkitek seni taman di Istana Mestika, Klang dan pada masa inilah pekerja saya berjumlah 42 orang.

Dalam masa yang sama saya cuba mencari-cari tapak di Sungai Buloh memandangkan ia berstatus tanah pertanian. Saya pun memulakan perniagaan Jelapang Warisan yang bertempat di Lot 115-F, Kampung Melayu, Sungai Buloh, Selangor.

Minat mendalam dalam bidang pertanian dan penternakan menyebabkan saya membuka Sungai Buloh Farm.

Syarikat ini mempunyai ladang fidlot di alamat di atas dan ladang pembiakan di Sungai Nilam, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Hulu Selangor, Selangor.

Kami membekalkan kambing, biri-biri, rusa, lembu untuk tujuan akikah dan korban, susu kambing segar, membekal kambing baka, menjual kuda, membekal baja organik tahi kambing dan perkhidmatan katering.

Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan dan rancangan masa depan?

Sememangnya saya sentiasa berusaha keras untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada. Melalui perancangan dan program yang diatur, alhamdulillah perniagaan sekarang semakin maju.

Sebagai persediaan melangkah lebih jauh, terlebih dahulu ada beberapa perkara penting yang sentiasa saya beri penekanan terutama kepada staf yang terbabit, iaitu kebolehan memasarkan produk, kecemerlangan perkhidmatan pelanggan, penghasilan produk berkualiti dan kepelbagaian produk.

Saya percaya sekiranya perkara di atas dapat ditangani dengan baik, insya-Allah perniagaan kita akan bergerak maju dan berkembang pesat dengan sendirinya.

Ramai yang boleh menjadi penternak, tetapi hanya segelintir yang berjaya memasarkan produk mereka secara berterusan dan menguntungkan.

Bagi saya ilmu pengetahuan, pengalaman dan kreativiti memainkan peranan penting untuk menentukan kejayaan kita memasarkan produk, lebih-lebih lagi jika terdapat ramai pesaing di dalam bidang yang diceburi.

Untuk itu saya sering mengadakan perbincangan berbentuk motivasi bersama staf pengurusan serta lain-lain jawatan untuk mendapatkan maklum balas mengenai kehendak dan cita rasa pelanggan.

Saya juga menggalakkan staf membaca dan menyertai kursus-kursus berkaitan yang bersesuaian dengan perniagaan dan produk yang akan dipasarkan.

Saya melihat kecemerlangan perkhidmatan pelanggan merupakan satu kelemahan peniaga-peniaga kita. Khidmat pelanggan merupakan salah satu intipati di dalam kemajuan perniagaan. Saya tidak memandang ringan di dalam memastikan kepuasan pelanggan dan returned customers.

Antara perkara yang dititikberatkan ialah perkhidmatan dengan senyuman, melayani pelanggan secara profesional, prihatin dengan setiap aduan atau rungutan pelanggan, bersedia membantu pelanggan membuat pilihan produk sekiranya diperlukan.

Pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan kita insya-Allah akan mengesyorkan kepada saudara dan rakan mereka untuk mendapatkan khidmat kita.

Penghasilan produk yang berkualiti tinggi dan kepelbagaian produk yang dipasarkan merupakan faktor penting yang akan menyokong kebolehan memasarkan produk dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan.

Kepuasan pelanggan terhadap kualiti produk yang dibekalkan akan menyebabkan mereka datang kembali (returned customers) ‘mencari’ kita.

Dengan adanya kepelbagaian produk yang dibekalkan, perniagaan kita akan menjadi sebagai one stop centre, dimana ia akan memudahkan pelanggan membuat pembelian tanpa perlu pergi ke sana ke mari untuk mendapatkan barangan yang diperlukan.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?

Cabaran di dalam perniagaan yang saya ceburi tidak banyak bezanya dengan perniagaan lain. Bagi saya cabaran paling utama ialah bagaimana untuk memasarkan produk secara berterusan dan menguntungkan.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, terdapat berbagai teknik untuk memasarkan produk. Tetapi, untuk mendapat teknik pemasaran yang berkesan, memerlukan ilmu pengtahuan, pengalaman dan kreativiti.

Selain itu, kita mesti bekerja keras dan tidak mudah lalai dengan kejayaan yang telah dicapai sebelumnya. Ini kerana kehendak dan cita rasa pelanggan sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Kita perlu sentiasa peka dengan kehendak pasaran semasa.

Sekarang ini pelbagai media boleh digunakan untuk tujuan pemasaran produk.

Selain kaedah lama seperti penggunaan billboard, flyer, radio dan televisyen, penyebaran maklumat berkaitan produk boleh sampai kepada pelanggan dengan pantas menggunakan laman web, emel, khidmat pesanan ringkas (sms) atau khidmat pesanan mutimedia (mms).

Selain kaedah lama, saya juga tidak ketinggalan mengambil kesempatan memasarkan produk menggunakan kemajuan teknologi maklumat yang terdapat di Malaysia. Alhamdulillah, setakat ini terbukti keberkesanannya.

Pada pendapat saya, cabaran di dalam pemasaran produk sebenarnya tidak boleh diatasi kerana ia sesuatu yang dinamik, sentiasa bergerak mengikut masa.

Apa yang boleh saya lakukan ialah sentiasa peka dan sensitif terhadap trend dan permintaan pasaran semasa serta bekerja keras untuk menyaingi cabaran, maksudnya sentiasa bergerak di hadapan cabaran tersebut. Dengan kata lain, saya menggunakan teknik market forecast.

Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan tuan berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan.

Saya yakin 100 peratus bahawa 9/10 daripada punca rezeki adalah melalui perniagaan. Kalau kita tidak pernah cuba berniaga, kita tidak akan tahu atau faham dengan saranan Islam ini.

Seperkara yang ingin saya tambah, walaupun 9/10 punca rezeki adalah dengan cara berniaga, kita perlu ketahui bahawa perniagaan tersebut mestilah berlandaskan hukum syarak.

Hukum-hukum muamalat mestilah dipatuhi. Tak boleh ada riba. Tak boleh menipu pelanggan seperti mana yang selalu dipesan oleh emak saya. Tak boleh kurangkan timbangan. Tak boleh jual produk yang haram.

Perkara ini memang jelas di dalam al-Quran. Di dalam perniagaan penternakan sebagai contoh, tak bolehlah beri lembu minum arak untuk dapatkan daging yang halus dan lembut seperti yang dilakukan oleh penternak di Jepun. Sembelihan pula mesti berlandaskan kehendak syarak bagi menjamin produk yang dibekalkan halal.

Saya minta maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung sesetengah pihak. Saya pernah lihat seorang penyembelih yang mengikuti kursus mendapatkan sijil sembelihan halal di sebuah jabatan agama Islam tak dapat melafazkan sepenuhnya dua kalimah syahadat padahal ini Rukun Islam yang pertama. Selawatnyapun lintang-pukang. Kalau begitulah caranya, macam mana nak dapat rezeki yang melimpah ruah dan perniagaan yang tidak akan rugi. Allah murka dengan peniaga seperti ini.

Pengendalian produk halal pun menjadi masalah besar jika pengendalinya tidak belajar ilmu agama. Kalau makanan yang akan menjadi darah daging kita tercemar dengan perkara-perkara yang haram, mana mungkin kita dapat membentuk generasi yang cintakan Islam.

Saya menyeru diri saya dan rakan-rakan peniaga muslim untuk terus mempelajari dan mendalami hukum-hakam muamalat, mudah-mudahan kita mendapat rezeki yang halal dan keberkatan dalam perniagaan.

Bagaimana pula sumbangan tuan kepada orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling?

Alhamdulillah. Saya mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat ramai Muslim di Malaysia berjaya di dalam apa jua bidang pekerjaan yang diceburi sama ada sebagai majikan atau pekerja.

Sebagai seorang usahawan di bidang pertanian dan penternakan, sedikit sebanyak saya dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kepada penduduk setempat atau sesiapa yang berminat dalam bidang ini.

Selain itu, perniagaan ternakan yang saya usahakan ini dapat memberikan kemudahan dan memperbanyakan pilihan kepada penduduk setempat khususnya dan semua rakyat Malaysia amnya untuk mendapat bekalan ternakan yang kompetitif dari segi harga dan kualiti.

Sebagai seorang Muslim, saya amat bersyukur kerana dapat membantu menyediakan perkhidmatan bekalan ternakan untuk kegunaan ibadah serta majlis keagamaan umat Islam seperti akikah, korban dan sebagainya.

Saya sering mendengar keluhan pelanggan terutama yang tinggal di bandar-bandar mengenai kesulitan mendapatkan bekalan ternakan.

Bagi pelanggan Muslim pula, isu yang sering timbul ialah untuk mendapatkan haiwan yang menepati kriteria haiwan akikah atau korban, lebih-lebih lagi jika pembekalnya bukan beragama Islam.

Faktor inilah yang menjadi pendorong untuk saya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi pejabat saya di talian 03-6156 9383.

Menyentuh tentang tanggungjawab setiap Muslim menunaikan zakat, berikan pandangan tuan mengenainya?

Tanggungjawab setiap Muslim mengeluarkan zakat adalah satu daripada lima Rukun Islam. Kalau kita tidak menunaikannya, maka tidak lengkaplah kita sebagai orang yang mengaku dirinya Islam.

Banyak kebaikan yang diperolehi daripada berzakat. Sebab itu Allah mewajibkan kita mengeluarkan zakat. Di samping itu, dapat membantu mereka yang berhak menerimanya, zakat dapat membersihkan harta yang kita peroleh.

Walaupun saya berhati-hati dalam menguruskan transaksi perniagaan, kadang-kadang sama ada secara sedar atau tidak, berlaku juga perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum muamalat.

Dengan mengeluarkan zakat perniagaan, semoga ia dapat menyucikan harta yang tercemar itu. Mudah-mudahan juga Allah mengampunkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan semasa menjalankan perniagaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.