Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KESIHATAN

ARKIB : 09/07/2006
Stres cetus serangan jantung

Stres cetus serangan jantung


HANYA 10 minit sahaja menghadap berita-berita terkini yang dimuatkan di kaca-kaca televisyen mahupun media cetak sudah boleh membuatkan tahap tekanan atau stres anda melonjak.

Dari bencana alam kepada isu kekejaman Israel di bumi Palestin sehinggalah kekalahan mengejut juara bertahan Brazil pada kempen Piala Dunia 2006 di Jerman, baru-baru ini - semuanya boleh membuatkan dada kita berdegup kencang.

Di tanah air, tidak kurang hebatnya. Berita sensasi Mawi putus tunang dan kisah cinta Siti Nurhaliza dengan Datuk K, membuatkan bukan sahaja empunya diri yang mungkin stres tetapi juga para peminatnya yang berpeluh dingin.

Pendek kata, kita harungi kehidupan moden ini bersama stres, kebimbangan dan kekecewaan yang mana adunannya cukup menekan, menjadi sebahagian daripada rutin seharian.

Setiap detik berlalu, dengan kerja yang tidak pernah habis, perlumbaan menentang deadline, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, perselisihan faham dengan rakan sekerja, masalah keluarga, kewangan dan sebagainya, seolah-olah tikaman yang menusuk ke dada kita.

Selain degupan jantung yang cepat dan badan banyak berpeluh, lain-lain tanda amaran stres termasuklah:

Loya, bernafas kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki dan tangan, berubah selera makan (tidak lalu makan atau makin bertambah), keinginan seks menurun, sakit-sakit badan yang tidak diketahui puncanya, tidak dapat menumpukan perhatian, gangguan tidur.

“Setiap orang akan mengalami stres di dalam kehidupan mereka yang berlaku apabila unsur-unsur yang mendesak (rangsangan) melebihi keupayaan untuk menanganinya (tindak balas).

“Tekanan yang sederhana boleh menjadi satu bentuk dorongan yang kuat. Ia dapat menolong tubuh dan minda bekerja dengan baik,” kata Kol. (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali.

Walau bagaimanapun, tekanan luar biasa yang berpanjangan mempunyai kesan-kesan psikologi yang negatif dan menjejaskan fungsi jantung, sistem penghadaman dan rangka otot.

Menurut Pakar Runding Perubatan dan Kardiologi di Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor, itu, akibatnya muncul penyakit-penyakit seperti jantung, ulser perut, darah tinggi, diabetes, jerawat, migrain dan sindrom letih lesu.

Bagi penyakit-penyakit seperti asma; penyakit kolagen contohnya eritematosus lupus sistemik/SLE dan; penyakit kulit seperti psoriasis dan ekzema, boleh menyebabkan eksaserbasi/penyakit yang bertambah teruk.

Setiap individu, ujar beliau, mempunyai tindak balas yang berbeza-beza terhadap rangsangan yang sama.

“Rangsangan yang berpadu, berlarutan, tidak boleh dikawal dan tidak ketentuan lebih mudah menyebabkan stres.

“Begitu juga kemampuan seseorang untuk menangani rangsangan ini turut bergantung kepada personaliti serta pengalaman stresnya yang lampau serta sokongan sosial daripada rakan-rakan mahupun kaum keluarga,” katanya.

Walaupun tiada bukti yang kukuh, stres kata Dr. Abd. Rahman, sering dikaitkan dengan individu berpersonaliti jenis A yang biasanya:

Lebih mudah gabra/resah, tegas, memberatkan ketepatan, berdaya saing, mementingkan kesempurnaan dengan meletakkan standard yang sukar dicapai, bercita-cita terlalu tinggi, sentiasa mengejar masa, obsesif/terlalu memikirkan sesuatu, bersikap perseteruan dan mudah melenting/panas baran orangnya.

Sementara itu, satu jenis personaliti lagi, iaitu personaliti jenis B pula adalah lebih cool dan tenang, justeru tidak mudah mengalami stres.

Bunuh diri

Stres merangsang hormon-hormon penting di dalam darah seperti adrenalin, kortisol dan tirosina.

Hormon adrenalin menyebabkan kita berada dalam keadaan sentiasa bersedia. Dalam keadaan cemas dan stres, adrenalin meningkat dengan ketara untuk menghadapi situasi ini (situasi fight or flight).

Tetapi, apabila sentiasa berlebihan, ia menyebabkan jantung bekerja lebih masa (nadi deras) meningkatkan insulin dan menyebabkan perubahan kepada saluran darah, sekali gus meningkatkan risiko penyakit fizikal.

Di samping itu, stres juga didapati meningkatkan bahan kimia seperti C-reactive protein (CRP) dan homocysteine yang menyumbang kepada penyakit jantung koronari.

“Seseorang yang mengalami stres berpanjangan lebih cenderung untuk melibatkan diri dengan pengambilan kafeina yang berlebihan, merokok, mengambil alkohol dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi mengurangkan stres.

“Stres yang berlebihan dan berlarutan boleh mencetuskan kemurungan yang kronik dan menyebabkan seseorang membunuh diri jika tiada sokongan sosial daripada orang sekelilingnya,” terang Dr. Abd. Rahman.

Jadi, bolehlah kita katakan bahawa stres berterusan bukan sahaja boleh mencetuskan penyakit fizikal tetapi juga mental.

Stres dan jantung

Keadaan stres sama ada akut atau kronik meningkatkan risiko penyakit jantung. Pada seseorang yang menghidapi penyakit jantung, stres akut boleh mencetuskan serangan jantung (infarksi miokardium).

Stres yang berlarutan/kronik meningkatkan risiko penyakit jantung. Ia merangsang penyakit tekanan darah, dinding saluran darah menebal, merangsang mendapan lemak dan sel darah beku pada dinding saluran darah.

Tambah Dr. Abd. Rahman, hormon adrenalin yang meningkat menyebabkan kadar degupan jantung turut bertambah, dinding jantung menebal serta merangsang peningkatan insulin yang boleh menebalkan dinding saluran darah.

Sementara itu, peningkatan hormon CRP dan homocysteine yang berlaku semasa stres terjadi turut menyumbang kepada risiko sakit jantung koronari dan serangan jantung.

“Stres yang berlarutan/berpadu (intense) juga memberikan kesan terhadap proses pemulihan selepas serangan jantung.

“Stres sentiasa ada dalam hidup kita. Gunakanlah ia sebagai kekuatan dan bukan melihatnya dari aspek negatif sahaja,” pesan Dr. Abd. Rahman.

Punca-punca stres

* Fizikal; contohnya seperti mereka yang gemuk/obes, yang ingin menurunkan berat badan secara drastik dengan melakukan senaman ekstrem

* Emosi; berkaitan masalah hubungan dan kekeluargaan, perasaan cemburu, benci dan dendam kesumat

* Mental; tidak berupaya memenuhi jangkaan di tempat kerja, bekerja dalam bidang yang tidak diminati, tekanan orang atas dan persaingan sesama rakan setugas

* Kewangan; pendapatan yang kurang berbanding keperluan yang tinggi menyebabkan masalah hutang

* Pelajar; peperiksaan yang terlalu banyak dan jangkaan keputusan yang berbeza di antara ibu bapa dan guru.

“Stres yang sederhana di kalangan para pelajar ini bagaimanapun ada baiknya bagi merangsang mereka belajar dengan lebih tekun dan mencapai kecemerlangan, berbanding tiada stres langsung,” kata Dr. Abd. Rahman.

Lain-lain faktor yang boleh mencetuskan stres termasuklah merokok, alkohol, dadah, kafeina, makanan berkolesterol tinggi dan rendah.

Bukan semua stres memudaratkan. Stres penting kerana ia menyebabkan seseorang sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia/aktif, merangsang daya ingatan, motivasi, daya saing dan daya maju.

“Kalau tiada stres langsung, kita jadi lembap, mengambil sikap tidak apa, malas, tidak bersemangat untuk maju dan berjaya.

“Tetapi, bila stres berlebihan dan berpanjangan, ia membawa kepada pelbagai masalah kesihatan,” kata Dr. Abd. Rahman.

Punca stres: Sosioekonomi

Faktor sosioekonomi stres menuntut persaingan yang terlalu kuat untuk berjaya, gagal memenuhi kehendak masyarakat yang terlalu tinggi.

Dr. Abd. Rahman menarik perhatian:

“Inilah yang berlaku kepada Mawi dan Siti Nurhaliza sekarang apabila mereka tidak dapat membuat keputusan untuk diri sendiri.

“Jangkaan masyarakat begitu tinggi. Masyarakat yang menentukan apa yang perlu mereka lakukan dan keputusan apa yang perlu mereka buat.”

Mengulas lanjut mengenai Mawi, beliau bimbang jika tidak berhati-hati dan tanpa sokongan padu daripada rakan-rakan, keluarga mahupun para peminatnya, bintang AF3 itu akan rebah jua suatu hari nanti.

“Buat masa ini, saya lihat dia masih belum bersedia untuk memenuhi kehendak itu. Saya percaya, stres dan rasa kecewanyalah yang mendorong Mawi berkata, “Saya tidak mencari peminat tetapi peminat mencari saya.”

“Kita tahu cara dia naik yang terlalu cepat. Kita yang memilihnya (mengundinya), jadi berilah dia masa. Berapa lama? Bergantung kepada tuan punya badan,” katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Mawi yang disifatkan sebagai seorang yang agak pendiam dan alim bersesuaian dengan personaliti jenis B, “Dia berupaya menguruskannya.

“Kalau boleh, pihak yang menguruskan Mawi khususnya, jangan membiarkan keadaan menjadi terlalu menekannya dan dibiarkan berlarutan bagi tempoh yang lama.”

Tip pengurusan sendiri stres anda

* Bersenam secara tekal - 20 minit setiap sesi, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi meningkatkan kesihatan fizikal dan emosi

* Amalkan tabiat yang sihat seperti pemakanan sihat dan tidur yang mencukupi

* Terimalah diri anda seadanya dan cuba menyukai diri sendiri. Bersikap realistik terhadap keupayaan anda dan tetapkan matlamat yang boleh dicapai. Cuba lakukan sesuatu yang dapat menimbulkan rasa kepuasan

* Seimbangkan masa kerja dan bermain. Peruntukan masa untuk hobi dan rekreasi

* Dapatkan sokongan dan bantuan sebelum anda tenggelam punca. Kongsi masalah dan perasaan dengan seseorang yang boleh dipercayai

* Bersikap positif dan belajar menerima kelemahan diri. Jangan gusar mengenai perkara-perkara yang di luar kawalan anda. Fikir positif dan renungkan kembali pencapaian serta kejayaan yang dimiliki apabila berasa tertekan

* Luahkan perasaan dengan menangis atau ketawa semahunya

* Bina silaturahim dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Biarkan diri anda berasa disayangi, dihargai, dihormati dan mempunyai tempat mengadu. Bersikap jujur dan bertimbang rasa dalam sesuatu perhubungan

* Ubah suai persekitaran anda untuk menyingkirkan unsur-unsur yang menyebabkan tekanan. Pilih persekitaran yang selesa dan bersesuaian dengan diri anda

* Tingkatkan kemahiran anda. Bersedialah untuk membuat sesuatu keputusan dan menangani masalah dengan berkesan

* Uruskan masa anda dengan baik. Senaraikan perkara yang perlu dilakukan mengikut kepentingannya. Elakkan dari menerima kerja yang terlalu banyak

* Bijaksana dalam membuat keputusan. Pertimbangkan buruk baiknya sebelum memutuskan sesuatu

* Rehat dan tenangkan diri anda seperti mandi wap, berurut, meditasi, membayangkan pemandangan yang menenang dan merehatkan, menarik nafas sedalam-dalamnya akan merehatkan otot-otot dalaman

* Membantu mereka yang memerlukan dapat mengubah tumpuan dan perhatian kita dari masalah dan kerisauan yang dihadapi.

AMARAN: Saranan ini bukanlah pengganti kepada bantuan profesional. Masalah tingkah laku dan emosi boleh memudaratkan. Dapatkan bantuan profesional jika perlu! (Sumber Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan).

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN