Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SUKAN

ARKIB : 04/07/2006
Rooney mahu ‘belah dua’ Ronaldo

Rooney mahu ‘belah dua’ Ronaldo

LONDON - Sayap Portugal, Cristiano Ronaldo yang dikecam kerana peranannya dalam penyingkiran Wayne Rooney pada perlawanan suku akhir bola sepak Piala Dunia, tidak akan kembali ke Manchester United tetapi bakal menghadapi pembalasan penyerang England itu pada masa depan.

Memetik satu sumber tanpa nama, akhbar The Sun semalam melaporkan, Rooney mengugut akan ‘memecahnya menjadi dua’ apabila mereka bertemu semula.

Ronaldo mungkin memakai seragam yang berbeza ketika kejadian itu. Tabloid Britain melaporkan, United bakal menyingkirkan Ronaldo ‘kerana keaiban Piala Dunia’.

Ronaldo yang menyebut mahu berpindah ke Real Madrid, menimbulkan kemarahan pemain England atas tindakannya terhadap pembuangan padang rakan sepasukan United, Rooney, Sabtu lalu.

Selepas Rooney memijak pangkal paha pertahanan Ricardo Carvalho, Ronaldo bergegas ke arah pengadil Argentina untuk mengadu. Apabila Rooney ditayangkan kad merah sejurus selepas menolak Ronaldo, kamera merakam pemain Portugal itu mengenyit mata ke bangku simpanan pasukannya.

Ugutan Rooney itu timbul sehari selepas kekalahan penentuan penalti kepada Portugal 1-3 malah lebih menyakitkannya ialah Ronaldo menyempurnakan sepakan yang mengesahkan kemenangan Portugal.

“Ketika bersarapan di hotel pagi ini, Rooney berkata, dia akan memecahnya menjadi dua dan menampar kepalanya. Siapa boleh menyalahkannya?,” kata satu sumber kepada The Sun.

“Dia bersungguh menyelesaikan dengan caranya sendiri dan tiada siapa dapat berbuat tentangnya,” kata sumber itu.

Akhbar itu turut melaporkan, Ronaldo bergurau sebelum perlawanan dengan Rooney bahawa dia akan menyingkirkannya.

The Sun juga menyertai kumpulan anti-Ronaldo dengan menyiarkan papan dart dengan gambar Ronaldo mengenyit.

“Di sinilah peluang setiap peminat England untuk membalas dendam terhadap penipu terbesar dunia,” kata akhbar itu.

Ronaldo sebaliknya menafikan meminta pengadil mengeluarkan kad merah dan berkata, dia ‘amat sedih’ dengan Rooney.

“Akhbar England kata, pengadil memberikan kad merah kerana saya cakap kepadanya tetapi ini tidak benar.

“Saya berkata, ‘pengadil, ini salah’ tetapi saya tidak kata, ‘kad merah’ kerana Wayne kawan saya dan bermain sepasukan dengannya,” katanya dalam laman web United.

Namun tindakan sayap lincah Portugal itu turut disambut dengan kecaman oleh pemain England lain.

“Saya nampak apa yang Ronaldo buat. Saya nampak dia mendekati pengadil dan memberikannya kad dan saya fikir dia di luar kawalan. Jika saya salah seorang rakan sepasukannya, saya pasti meluat dengannya.

“Selepas Rooney dibuang padang, Ronaldo mengenyit ke bangku pasukan dan rakan sepasukannya. Cara itu terus menggambarkan peribadinya. Jika saya bermain menentang rakan sepasukan dari Liverpool dan terlibat dalam situasi sedemikian, saya tidak akan cuba menyingkirkannya.

“Dia sepatutnya menjadi rakan sepasukan Rooney di United tetapi berbuat begitu. Bukankah tidak baik? Sudah banyak yang dibuat tentang menganjurkan permainan yang bersih dalam kejohanan ini.

“Itu tidak bersih. Malangnya cara itulah dibuat oleh beberapa pemain. Kami diberitahu, sesiapa yang cuba mendapatkan kad kuning atau merah untuk seseorang, bakal mendapat kad kuning tetapi itu tidak berlaku pula,” kata pemain tengah England, Frank Lampard.

– AP

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN