VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 02/07/2006

URTV wajah baru untuk generasi baru

Selain artis-artis popular, majalah URTV begitu sinonim dengan dunia hiburan tempatan. Seolah-olah dunia hiburan hilang seri dan layu tanpa keterlibatan URTV sebagai satu-satunya majalah hiburan paling popular lagi berpengaruh di negara ini.

Tidak ada majalah hiburan lain yang begitu dirasai kehadirannya dan berupaya pula merakamkan setiap denyut nadi, tawa ria dan ratap tangis dalam dunia hiburan kecuali URTV.

Hampir semua yang bernama selebriti di negara ini semuanya mendapat liputan URTV. Malah bagi kalangan artis semacam tidak engkap kerjaya mereka kalau tanpa liputan kalaupun tidak menjadi penghias muka depannya.

Tapi jangan salah tanggap, URTV bukanlah majalah yang sekadar mempromosi artis dan aktiviti hiburan tempatan tetapi yang lebih penting turut menghidupkan kemilau dunia hiburan.

URTV yang menjangkau usia empat dekad adalah kecemerlangan yang dicipta sekalipun banyak yang tidak menyedarinya. Artis datang dan pergi, begitu juga pasukan editorialnya yang silih berganti, tetapi pelapis yang menerajui majalah ini melangsungkan tradisi kecemerlangan.

URTV sentiasa diperkatakan kerana ia relevan dengan semua zaman. Bayangkan daripada pelakon veteran Datuk Sarimah penghias muka depan pertama 36 tahun lalu hingga kepada Siti Nurhaliza pada edisi terbaru ini, URTV tidak pernah dilupakan.

Dalam banyak yang memuji dan mengaguminya URTV juga bukan tidak pernah dicemuh, dikritik dan dilabelkan macam-macam. Tetapi semua itu suatu yang positif menandakan ia sentiasa diperhatikan sekalipun dari jauh.

Bak kata pepatah, diam-diam ubi berisi tetapi diam-diam majalah URTV, sudah 36 tahun usianya. Begitulah... sedar atau tidak, URTV telah banyak menyumbangkan baktinya terhadap dunia hiburan tanah air seiring dengan peredaran masa.

Dengan mengekalkan moto Majalah Hiburan Paling Popular, URTV yang diterbitkan oleh Utusan Karya Sdn. Bhd., (Anak syarikat Kumpulan Utusan) muncul dengan wajah baru yang lebih ceria.

Bertempat di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, majalah itu dilancarkan oleh penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza yang diberi kepercayaan menjadi penghias muka hadapan untuk keluaran wajah baru itu.

Sempena pelancaran tersebut beberapa artis baru dan lama termasuklah personaliti televisyen telah dijemput bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Antara artis yang membuat persembahan ialah Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Nurul dan Ajai, Elyana, Haiza, Misha Omar, Anuar Zain, Zarina, Bob Akademi Fantasia dan Kumpulan Lips.

Selain itu beberapa selebriti terkenal turut diberi peluang menggayakan fesyen pakaian rekaan Bill Keith dan Noor Arfah Batik antaranya Datuk Shah Rezza, Maria Arshad, Uji Rashid, Diana Rafar, Umie Aida dan Danny (X-Factor).

Turut memeriahkan pelancaran wajah baru URTV itu ialah Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd., Ahmad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Hamzah Sidek dan Pengarang URTV, Rosli Manah.

Sejak diterbitkan pada tahun 1970 dengan menampilkan pelakon Sarimah sebagai penghias muka hadapannya, URTV telah melalui tujuh kali perubahan.

Daripada masthead sehinggalah kepada isi kandungan semuanya dirombak untuk disesuaikan dengan cita rasa pembaca mengikut zaman.

Pada permulaan isi kandungannya lebih kepada bintang-bintang yang dicungkil dari stesen radio dan televisyen tetapi kini lebih tertumpu kepada selebriti-selebriti hiburan. Kali terakhir majalah itu menukar masthead pada tahun 2002 yang menampilkan Erra Fazira sebagai penghias kulit hadapannya.

Walaupun hari dan tahun bersilih ganti namun URTV tetap kekal sebagai majalah yang tertinggi jualan berbanding majalah hiburan lain di negara ini.

Kekuatan URTV terletak kepada namanya yang telah terbina sejak dahulu lagi. Namun adalah wajar perubahan demi perubahan di lakukan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai majalah hiburan yang berprestij di samping bersaing dengan majalah-majalah lain di pasaran pada ketika ini.

Selain perubahan dilakukan terhadap masthead dengan warna merah jambu dan perak menjadi pilihan, pengisiannya juga turut dirombak.

Sebanyak enam ruangan baru diwujudkan seperti Naluriku, Radio & TV, Sehari Bersama, Dialog dan X-Tra dengan mengekalkan harga jualan RM3.50 bagi Semenanjung dan RM4.30 di Sabah dan Sarawak.

Walaupun terpaksa bersaing dengan berpuluh-puluh majalah hiburan yang ada di pasaran namun URTV tetap menjadi pilihan pembaca kerana cerita-cerita eksklusif yang disajikan. Selepas pelancarannya di Berjaya Times Square, URTV akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk memperkenalkan wajah baru itu.

Penjelajahan pertama akan diadakan di Bukit Merah Lake Town Resort, Perak pada 8 dan 9 Julai ini. Antara artis yang akan membuat persembahan dalam siri penjelajahan itu ialah Elyana, Idayu, Yazir, Tomok, Lips, Ashed (Def-Gab-C), Sahri, Felix, Emylia, Mus (May) dan Ali (M-Pire).

Ruangan baru di URTV

* Naluriku: Memaparkan berita ringkas dunia hiburan serta kehidupan artis.

* Radio & TV: Memberi fokus kepada program-program radio dan televisyen termasuk personaliti mereka.

* Sehari Bersama: Menceritakan aktiviti yang dilakukan oleh artis dari awal pagi sehingga lewat malam.

* Dialog: Memaparkan isu-isu semasa yang hangat dan diperkatakan di dalam dunia hiburan.

* X-Tra: Satu seksyen baru sebanyak 12 muka surat yang menyediakan gaya hidup artis, fesyen pakaian dan cara artis menjaga kecantikan.

Komen artis

“Siti berterima kasih kepada URTV kerana sudah banyak kali memberi peluang kepada Siti menjadi cover muka depannya. Semoga setiap perubahan yang dilakukan dapat membuatkan pembaca URTV terus terhibur.’’ – SITI NURHALIZA

“Sejak saya zaman sekolah lagi saya sudah mengenali URTV. Saya tidak pernah menyangka akan berpeluang untuk muncul di dalam URTV sehinggalah saya menjadi artis hampir sepuluh tahun lalu. Ternyata perubahannya kini lebih menarik.’’ – HAIZA

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan URTV dan ternyata sejak mengenalinya di zaman remaja banyak perubahan yang dilakukan.’’ – DEJA MOSS

“URTV berwajah baru ini nampak lebih ceria. Ceritanya pun lebih eksklusif dan menarik. Pengisiannya lebih bagus.’’ – Danny (X-Factor)

“URTV banyak memberi ruang kepada Sarah untuk mengetengahkan bakat. Sarah juga pernah muncul menerusi pertandingan nyanyian anjuran URTV. Pada Sarah, URTV ada keistimewaannya sendiri.’’ – SITI SARAH

“Saya banyak diberi peluang menjadi cover dan poster di dalam URTV. Saya memang mengakui URTV sentiasa berjaya memikat hati pembaca dengan setiap perubahan yang dilakukan.’’ – ELYANA

“Selain isi kandungan, kualiti kertas juga mampu menjadi penyumbang kepada jualan majalahnya. Ia lebih menarik berbanding majalah lain dan isu yang diketengahkan juga padat.’’ – Diana Rafar

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.