|
![]() |
|
OSAMU MASUKO. |
KUALA LUMPUR 23 Jun - Proton Holdings Bhd., akan mengeluarkan model baru menggunakan komponen dan teknologi Mitsubishi Motors Corporation (MMC) pada bulan April tahun depan, ketika pengeluar kereta nasional Malaysia itu cuba memesatkan pembangunan pengeluarannya.
Presiden MMC, Osamu Masuko pada mesyuarat para pemegang saham di Tokyo hari ini menyatakan, MMC dan Proton kini berada di peringkat akhir untuk membentuk perkongsian secara rasmi selepas mencapai persetujuan asas pada Februari lalu, lapor Bloomberg.
“Model baru itu akan membantu Proton mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran (Malaysia),” kata beliau.
Proton yang tahun lalu mencatat keuntungan terendah sejak 1991 sedang mencari rakan niaga untuk memacu pertumbuhannya dalam pembangunan kenderaan bagi menghadapi persaingan tempatan.
Persatuan Automotif Malaysia menyatakan, penguasaan syarikat itu dalam pasaran kereta penumpang jatuh kepada 30 peratus dalam suku pertama tahun ini, berbanding 39 peratus dalam tempoh yang sama pada 2005.
MMC mungkin membekalkan komponen dan teknologi yang digunakan dalam kereta Mitsubishi Galant sedan kepada Proton untuk membina model baru, kata Masuko pada bulan lalu.
Pakatan dua syarikat itu yang melibatkan bekalan alat ganti dan teknologi, dicapai hampir dua tahun selepas MMC, satu-satunya syarikat pengeluar kereta Jepun yang mencatat kerugian, menjual 7.9 peratus kepentingannya dalam Proton.
Februari lalu, Pengarah Urusan Proton, Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir memberitahu, Proton dijangka mengeluarkan model yang dibangunkan secara bersama dengan MMC dalam masa 12 bulan.
MMC kini menyediakan enjin dan sistem transmisi kepada Proton bagi model-model Iswara, Wira, Satria, Arena, Waja, Perdana dan Gen.2.
Para pegawai Proton yang dihubungi di sini bagaimanapun enggan mengulas laporan tersebut.
Harga saham Proton jatuh sebanyak lima sen kepada RM5.25 pada penutup urus niaga Bursa Malaysia hari ini.
- Agensi
IKLAN@UTUSAN
|