VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Ogos 2014 / 3 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 18/06/2006

Pergelangan kaki terseliuh, mudah tercabut

Doktor,
Saya mengalami kesakitan pada urat pergelangan kaki kanan hampir enam tahun dan kesakitan tersebut bertambah teruk apabila saya berdiri dengan lama ataupun bersukan sehingga terasa sakit pada bahagian urat punggung dan pinggang di sebelah kanan juga.

Saya berharap doktor boleh menjelaskan kepada saya punca dan kesan yang bakal ditanggung jika dibiarkan berterusan. Adakah kesakitan tersebut boleh merebak ke bahagian anggota badan yang lain sekiranya kesakitan ini berterusan?

– IBI_PUTRA

Kesakitan pada urat pergelangan kaki boleh berpunca daripada pelbagai penyakit atau kecederaan yang berlaku pada sendi buku lali.

Salah satu punca utama berlakunya kesakitan pada pergelangan kaki adalah disebabkan oleh kecederaan yang berlaku pada ligamen penyokong pada sendi buku lali disebabkan jatuh dan terseliuh.

Apabila seliuh kerap berlaku pada sendi buku lali yang sama, ia boleh menyebabkan kecederaan yang kronik disebut ketidakstabilan pergelangan kaki kronik.

Sendi buku lali

Sendi tersebut bergerak dalam pergerakan yang sistematik. Pergerakan hanyalah pada arah atas atau ke bawah.

Tulang yang membentuk sendi tersebut terdiri dari talus yang berbentuk kotak di kelilingi oleh tulang medial maleolus di sebelah dalam dan fibula di sebelah luar.

Ligamen penyokong sendi berada di bahagian sebelah luar sendi (talofibula dan calcaneofibula ligament) dan sebelah dalam sendi (ligamen deltoid).

Apabila seliuh berlaku, tumit kaki akan terlipat ke arah dalam menyebabkan regangan pada ligamen luar. Jika regangan yang berlaku adalah tinggi, koyakan pada ligamen tersebut boleh berlaku.

Koyakan yang besar atau penuh pada ligamen akan menyebabkan ia sembuh dalam keadaan longgar dan tidak mampu untuk menyokong sendi itu lagi.

Bila ini berlaku, keadaan itu disebut ketidakstabilan pergelangan kaki kronik.

Apa itu ketidakstabilan pergelangan kaki kronik?

Satu keadaan di mana buku lali terasa longgar dan tidak stabil menyebabkan pesakit mudah terseliuh terutama ketika berjalan di permukaan yang tidak rata atau ketika bersukan.

Ia berlaku selepas buku lali tercedera teruk akibat seliuh yang tidak dirawat secara sempurna atau pesakit yang terseliuh berulang-ulang kali pada sendi yang sama.

Pesakit selalunya mengadu sendi yang longgar dan ‘mudah tercabut’ terutama ketika bersukan. Sendi tersebut boleh menjadi sakit dan bengkak.

Penyebab

Keadaan ini berlaku apabila buku lali yang terseliuh tidak sembuh dengan sempurna atau pesakit tersebut tidak menerima rawatan pemulihan semula (rehabilitasi) yang secukupnya selepas kecederaan.

Selepas seliuh berlaku, ligamen bahagian luar sendi tersebut menjadi regang atau koyak. Jika rawatan yang betul diberi semasa kecederaan, ligamen tersebut akan pulih dalam kedudukan dan keanjalan asal.

Pesakit kemudian perlu menjalani rawatan rehabilitasi iaitu senaman yang sesuai untuk menguatkan kembali otot di sekeliling sendi dan juga melatih ligamen yang tercedera untuk segera pulih.

Program rehabilitasi di bawah kendalian pakar fisioterapi dapat mengembalikan deria keseimbangan pada sendi tersebut. Ini keseluruhannya akan dapat mencegah seliuh dari mudah berulang.

Bagaimanapun, jika seliuh berlaku secara berulang-ulang, ligamen yang regang disebabkan rawatan yang tidak sempurna boleh menjadi lebih regang dan koyakan yang sedia ada boleh menjadi bertambah besar.

Ini akan melemahkan sokongan pada sendi buku lali. Ligamen yang longgar akan sembuh tetapi mengakibatkan sendi itu tidak stabil dan berisiko tinggi untuk mengalami seliuh yang lebih teruk lagi.

Keadaan ini akan terjadi jika pesakit kembali bersukan atau bergerak pada permukaan yang tidak rata.

Jika dibiar berterusan, boleh menyebabkan kecederaan pada struktur lain pada sendi tersebut termasuk:

- Otot peroneus yang berada di bahagian luar sendi berhampiran dengan ligamen yang regang boleh turut koyak menyebabkan ia menjadi lemah. Otot ini penting untuk pergerakan ke atas, sendi buku lali

- Rawan pada permukaan sendi boleh terhakis dan menjadi haus disebabkan trauma yang berulang-ulang pada sendi tersebut. Ini akan menyebabkan osteoarthritis (sendi haus) pada sendi buku lali tersebut.

Jika kedua-dua keadaan ini berlaku, pesakit akan mengalami bengkak sendi dan kesakitan yang lebih teruk.

Diagnosis dan rawatan

- Terseliuh

Kecederaan apabila terseliuh boleh menyebabkan bengkak yang ketara dan lebam biru pada bahagian luar sendi.

Buku lali yang tercedera perlu direhatkan dan air batu diletakkan pada bahagian tersebut untuk mengurangkan radang dan kesakitan.

Buku lali tersebut perlu direhatkan dengan simen POP (plaster of Paris) supaya ligamen yang tercedera boleh pulih kembali dalam keadaan dan kedudukan asal.

Pesakit boleh bergerak menggunakan tongkat dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Selepas tempoh tersebut, rawatan fisioterapi dimulakan untuk mengurangkan kesakitan.

Apabila kesakitan telah mula reda, senaman untuk menguatkan otot dan ligamen akan dimulakan untuk mengembalikan kekuatan dan keseimbangan sendi.

Pesakit boleh kembali aktif jika kekuatan otot dan ligamen kembali normal.

- Ketidakstabilan pergelangan kaki kronik.

Jika buku lali anda terasa longgar, tidak stabil atau kerap mudah terseliuh, pemeriksaan rapi oleh pakar ortopedik adalah penting untuk mengenal pasti tahap kecederaan anda.

Kecederaan ini yang tidak dirawat boleh menyebabkan ketidakstabilan sendi yang berterusan seterusnya membataskan aktiviti anda.

Kecederaan pada struktur lain sendi boleh menyebabkan artritis (sakit dan bengkak sendi).

Diagnosis oleh doktor dibuat selepas pemeriksaan fizikal dan ujian sinar-X. Selepas diagnosis dibuat dan tahap kecederaan dikenal pasti, program rawatan akan dimulakan.

Rehabilitasi melibatkan senaman menguatkan otot dan ligamen perlu dimulakan sebelum sebarang pembedahan dijalankan.

Rawatan bukan pembedahan

- Terapi fizikal; melibatkan fisioterapi menggunakan pelbagai kaedah dan senaman pada buku lali bertujuan mengurangkan bengkak dan kesakitan, memperbaiki pergerakan dan keseimbangan sendi

- Bracing; pesakit boleh menggunakan brace atau alat sokongan luaran bagi menyokong sendi yang tercedera ketika melakukan aktiviti lasak atau bersukan. Brace yang sesuai dapat menghalang seliuh dari berulang.

- Ubat-ubatan; ubat penahan sakit boleh digunakan ketika sakit untuk mengurangkan kesakitan dan radang.

Pembedahan

Pembedahan perlu jika tahap kecederaan adalah teruk dan pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan selepas rawatan bukan pembedahan diberikan.

Ligamen yang longgar boleh diperkuatkan kembali melalui teknik pembedahan. Pembedahan selalunya memberikan hasil yang baik dalam pemulihan sendi buku lali pesakit.

Pesakit akan berupaya untuk kembali aktif dalam bersukan tanpa berasa bimbang buku lali beliau akan mudah terseliuh kembali.

Kesimpulan

Ketidakstabilan pergelangan kaki yang kronik berpunca dari buku lali yang terseliuh berulang-ulang kali.

Rawatan awal adalah penting untuk menghalang terseliuh menjadi kecederaan yang kronik. Jika dibiarkan, osteoartritis pada sendi buku lali boleh berlaku.

Ia juga akan membataskan pergerakan dan aktiviti pesakit. Pembedahan adalah perlu jika kaedah rawatan lain gagal.

Soalan dijawab oleh Pakar Perunding Bedah Ortopedik, Dr. Ariff Sukimin Shukri.

Glosari

- Ligamen; suatu jaluran kuat tisu perantara putih berserat yang menghubungkan dua tulang bersama sendi

- Maleolus; salah satu daripada dua tonjolan pada kedua-dua sisi pergelangan kaki, pada hujung bawah fibula dan tibia

- Peroneus; salah satu daripada otot pada kaki yang timbul dari fibula dan membantu memusingkan kaki ke arah luar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.