VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 13/06/2006

Negara perlukan drama berunsur dakwah


BOLEHKAH filem dan drama menjadi medium kepada penerapan unsur-unsur Islam? Kini, banyak karya yang dihasilkan menceritakan tentang kehidupan yang dilihat agak melampaui batas sebagai orang Melayu beragama Islam.

Paparan imej dengan acuan kebaratan dan gaya hidup mementingkan kebendaan adalah antara elemen yang melatari banyak penghasilan karya-karya filem dan drama.

Malah, kita berbangga dengan anugerah yang dimenangi sedangkan hasil karya tersebut mengundang polemik di kalangan masyarakat. Lalu di manakah nilai dan moral positif yang cuba diterapkan? Bercakap tentang karya berunsur dakwah, kita bukan mahukan sebuah filem dan drama yang menonjolkan bicara agama semata-mata tetapi berdiri di atas paksi kemelayuan dan nilai keagamaan.

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Siti Rogayah Tibet, kebanyakan filem dan drama bertemakan keagamaan hanya membesarkan isu-isu seperti imam sesat, ajaran sesat, pendakwah berserban dan berjubah serta banyak bercakap. Tidak kurang juga ia memaparkan imej seorang lelaki warak yang gemar beristeri ramai tetapi tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya.

“Ini berdasarkan kepada pengalaman saya menonton banyak drama dan filem terutama untuk tujuan penyelidikan. Seolah-olah tidak ada satu bentuk atau konsep bagaimana hendak melahirkan sebuah drama dakwah sekiranya para pelakon tidak berserban dan berjubah dan banyak pula berceramah. Kurangnya garapan yang baik untuk drama berunsur dakwah menyebabkan ia kurang daya tarikan dan penonton akan bosan,” ujarnya semasa membentangkan kertas kerja Peranan Drama dalam Penghayatan dan Penyampaian Dakwah Islam pada Bengkel Penulisan Skrip Drama dan Filem Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah beliau, penulis skrip dan produser perlulah menghasilkan karya yang mampu membawa penonton menghayati nilai-nilai dakwah yang disampaikan tanpa disedari tetapi mewujudkan kesedaran dan sentuhan halus dari dalam hati. Setiap watak juga memainkan peranan penting dan berupaya memberikan lebih banyak kesan baik daripada keburukan.

Dalam sesebuah filem dan drama, satu-satu watak yang ditonjolkan adalah terlalu baik atau jahat sedangkan drama adalah cerminan kepada kehidupan. Secara logiknya, sudah tentu ada perubahan dari segi sikap dan kehidupan seseorang.

“Salah satu contoh drama berunsurkan dakwah terbaik yang pernah saya tonton sehingga kini ialah Cinta Madinah yang dilakonkan oleh Zul Yahya dan Wardina Safiyyah. Jalan ceritanya tidak kaku, ada daya tarikan dan menyampaikan mesej yang cukup jelas,” akui beliau.

Gagal

Siti Rogayah berpendapat, drama adalah satu bentuk hiburan dan hidup akan menjadi hambar tanpa hiburan. Begitu juga dengan dakwah tanpa hiburan, bermakna ia gagal mencapai matlamat. Menjadi kreatif juga bukan bermakna membuat cerita dongeng tetapi rencah kehidupan yang perlu dihadapi.

Bagaimanapun, dalam berkarya sudah tentu wujud beberapa kekangan, contohnya hukum hakam dalam pergaulan antara lelaki dan wanita walaupun ia sekadar di layar perak. Adegan yang paling kerap ditonjolkan sejak kebelakangan ini ialah hubungan suami isteri di atas katil, berbaring dan berpakaian agak seksi. Lakonan-lakonan dengan aksi sebegini seharusnya dielakkan kerana ia tidak membawa manfaat kepada penonton.

Beliau juga menegur segelintir penulis skrip dan produser yang gemar menghasilkan cerita-cerita tahyul dan seram. Sememangnya ia memberikan dimensi berbeza dalam penghasilan filem dan drama serta mengundang daya tarikan di kalangan penggemar cerita hantu. Namun, persoalannya, sampai bilakah orang Melayu hendak disogokkan dengan unsur-unsur tahyul dan implikasinya kepada masyarakat?

“Sebenarnya banyak perkara perlu diteliti sebelum menghasilkan filem dan drama berunsur dakwah termasuklah tajuk filem dan imej yang hendak dipaparkan. Adakah sesuai kita menonjolkan pakaian berkemban atau penggunaan perkataan yang jelas bertentangan dengan norma-norma kehidupan sebagai orang Islam?” kata beliau.

Sementara itu, seniman tanah air yang tidak asing lagi, Abdol Ezez Satta atau lebih popular dengan nama Aziz Satar berkata, unsur-unsur sebuah drama atau filem harus menitikberatkan soal agama, bahasa dan pakaian.

Sepanjang pembabitannya selama 55 tahun dalam industri perfileman, beliau tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewanya dengan cara berpakaian di kalangan artis wanita hari ini. Di samping itu, penggunaan bahasa dan dialog juga telah dipengaruhi dengan unsur-unsur kebaratan hingga merosakkan keindahan bahasa Melayu.

“Saya kecewa kerana sekarang ini sudah tidak ada lagi penggunaan bahasa yang indah dan pakaian yang menonjolkan bahawa kita adalah orang Melayu. Kita terpengaruh dengan budaya dan corak kehidupan Barat hingga kesemua filem kita juga mempunyai wajah sedemikian rupa,” ujarnya yang turut menegur tindakan sesetengah stesen televisyen yang menayangkan drama atau cerita yang tiada kaitan dengan agama hingga boleh melalaikan waktu sembahyang.

Beliau amat mengagumi filem-filem arahan dan lakonan Tan Sri P. Ramlee terutamanya Semerah Padi yang berjaya menampilkan nilai keagamaan dan budaya masyarakat Melayu yang tinggi. Dalam filem tersebut, contohnya P. Ramlee menegah Saadiah berjumpa dengannya secara berdua-duaan kerana ia ditegah dalam agama.

Memaparkan

“P. Ramlee secara halus memaparkan unsur-unsur keagamaan dalam hampir kesemua filem-filemnya dan ia berlangsung tanpa disedari. Contohnya, Nujum Pak Belalang. Kita tentu masih ingat yang P. Ramlee berjanji untuk berjumpa dengan Tuan Puteri pada pukul 11 malam di taman. Signifikannya, ketika itulah turunnya angin dari syurga. Dulu, semasa di Jalan Ampas, kami mendapat khidmat nasihat daripada Haji Mahadi tentang selok-belok agama,” kata Aziz Satar yang amat popular menerusi filem Bujang Lapok bergandingan dengan P. Ramlee dan S. Shamsuddin.

Aziz Satar mendedahkan sebelum P. Ramlee meninggal dunia 33 tahun lalu, beliau meninggalkan tiga naskhah skrip yang belum sempat disiapkan dan kesemuanya berunsurkan keagamaan. Salah satunya berjudul Hidayah, yang pada pandangannya hanya P. Ramlee yang tahu kesudahan cerita tersebut.

Beliau turut mengakui bahawa filem-filem bertemakan keagamaan sukar mendapat sambutan daripada khalayak sedangkan kos produksi mencecah jutaan ringgit.

Penerbit Serangkai Filem, Habsah Hassan berkata, zaman kegemilangan Jalan Ampas telah menghasilkan banyak filem berunsur dakwah yang menerima sambutan hangat seperti Semerah Padi, Nur Islam dan Isi Neraka.

“Tetapi sejak lima tahun kebelakang ini, saya tidak nampak filem-filem yang berunsur dakwah. Sebahagian penerbit takut untuk menanggung risiko kerugian kerana membabitkan kos yang besar. Lagipun, cita rasa penonton lebih kepada filem berbentuk komedi, cinta dan remaja,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Kak Chah.

Qaisy dan Laila yang merupakan kerjasama antara syarikatnya dengan penerbit Ruhani Abdul Rahman (Nizarman (M) Sdn. Bhd.) adalah antara filem yang membawa tema kemanusiaan dan pengorbanan. Walaupun filem tersebut mempunyai unsur-unsur dakwah tetapi ia tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Tidak kurang juga sebuah filem Indonesia, Kiamat Sudah Dekat, yang menekankan nilai-nilai keagamaan turut menerima kesan yang sama walaupun sekalipun menggunakan pendekatan keremajaan dan unsur-unsur komedi.

Menurut Kak Chah, pendekatan dakwah dalam sesebuah filem perlu sesuai dengan kehendak penonton dan tidak terlalu deduktif bagi membolehkan mesej disampaikan secara lembut. Sebenarnya penonton tidak suka kepada bentuk filem yang terlalu mengajar dan sarat dengan falsafah.

“Sekiranya kita dapat menghasilkan skrip berunsur keagamaan dan pendekatan dakwah yang halus, maka tidak mustahil sebuah filem dakwah dapat dilahirkan. Berdakwah dalam erti kata lain tidak semestinya melalui watak orang warak tetapi ia boleh melalui sikap dan nilai-nilai murni,” katanya yang juga aktif mencipta lirik lagu.

Kak Chah mencadangkan badan-badan tertentu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan IKIM bekerjasama menerbitkan filem berunsur dakwah dan mewujudkan jawatankuasa yang boleh menilai penulisan skrip.

“Jika dilihat pada filem-filem Bollywood dan Hollywood, mereka berdakwah secara tidak langsung. Contohnya, dengan sembahyang di kuil dan beberapa adat dalam agama Hindu yang masih lagi diamalkan pada hari ini. Begitu juga dengan filem Barat, ada adegan di gereja dan sebagainya.

Tetapi di Malaysia, kita kurang pendekatan begini melainkan dalam penerbitan drama. Bagaimanapun, olahan cerita dalam drama perlu diperbaiki dan dipertingkatkan mutu ceritanya,” kata Kak Chah yang berhasrat menerbitkan filem berunsur keagamaan walaupun Qaisy dan Laila kurang mendapat sambutan penonton.

Drama Dakwah

1. Drama tradisional wayang kulit Wali Songo di Kepulauan Jawa menggunakan wayang kulit untuk berdakwah kerana ia merupakan media yang paling popular dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat. Ia bukan hanya digunakan oleh keturunan Jawa tetapi beberapa buah negara Arab termasuk Maghribi, Tunisia dan Syria.

Turki pernah masyhur dengan wayang kulitnya, karagos, yang bermaksud pahlawan bermata hitam. Karagos menceritakan tentang kisah-kisah kepahlawanan seperti Salehuddin al-Ayyubi yang mengalahkan Ricahard Berhati Singa yang gagal berani. Setiap Ramadan, karagos akan dipertontonkan sebagai tanda mengingati para pejuang Islam.

2. Pada zaman Abasiah, pernah muncul drama al-Ta’ziah yang dipelopori penganut fahaman Syiah yang mengadakan hari peringatan tragedi Karbala iaitu peristiwa pembunuhan Hassan dan Hussin. Drama ini bertujuan melahirkan tanda kesedihan atas pembunuhan kedua-dua cucu Rasulullah di samping menghidupkan suasana politik Syiah.

3. Al-Maqamat iaitu sebuah seni drama berbentuk penceritaan yang dilakonkan menggunakan mimik muka juga muncul semasa zaman Abbasiah. Walaupun al-Maqamat berkisar kepada kisah percintaan dan beraliran romantis, namun ia tetap membawa unsur mengenai sejarah Islam. Ada yang menamakan pengkisahan sejarah Islam sebagai Muhaddis tetapi bentuknya adalah sama.

4. Drama Melayu juga telah mengetengahkan drama berunsur dakwah, contohnya pada 1942 menerusi drama berjudul Tarek bin Zaiyad: Pahlawan Islam yang merupakan karya Syed Alwi Alhady.

Pemilihan corak drama ini bukan sahaja menjadi drama dakwah untuk memperkenalkan pahlawan Islam bahkan memotivasikan kaum muslimin untuk menuntut kemerdekaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.