|
![]() |
|
BAHAYA... JESVER Kaur menunjukkan kawasan di belakang rumahnya yang runtuh dikatakan berpunca daripada pergerakan tanah berikutan kerja-kerja pembinaan di Taman Bukit Zoo View, Hulu Klang, semalam. |
KUALA LUMPUR 1 Jun - Ketika keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir, Taman Bukit Zoo View semalam meratapi pemergian orang tersayang, punca bencana masih lagi menjadi persoalan.
Seperti biasa seolah-olah terlalu sukar untuk mencari siapa yang bersalah sehingga memungkinkan tragedi itu berlaku yang bukan sahaja meranapkan tiga blok rumah panjang tetapi juga meragut nyawa empat penduduk termasuk dua daripadanya kanak-kanak.
Ini bukan kali pertama tanah runtuh berlaku di Hulu Klang malah ia adalah kali ketiga dalam tempoh 13 tahun dan sekali lagi seperti juga beberapa kes lain di Selangor siapa yang bersalah dan langkah penguatkuasaan sering menjadi tanda tanya.
Dalam kes terbaru di Kampung Pasir itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini dengan tegas berkata: ``Kejadian itu sepatutnya boleh dielakkan jika syarikat pemaju dan perunding mendengar nasihat kerajaan negeri yang diberi secara `percuma' pada tahun lepas.''
Malah Mohamad Khir juga berhujah, kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab syarikat terbabit yang hanya menyiapkan tembok penahan di cerun itu secara `ala kadar' pada minggu lalu, telah mengundang padah.
Beliau berkata, akibatnya tembok yang dibina dengan tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk yang ditetapkan itu runtuh dalam masa yang singkat.
Persoalannya, kenapakah tiada tindakan diambil? Kenapa hanya mengakui keingkaran pemaju itu setelah tragedi terjadi? Wajarkah `hanya nasihat' diberikan kepada mereka yang melakukan perbuatan yang boleh mengancam nyawa manusia?
Apa yang lebih dikesalkan, ketika Mohamad Khir meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada syarikat pemaju, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan selamba mengakui tidak mengetahui kewujudan rumah panjang tersebut dengan alasan ``kedudukannya agak tersorok dan berhampiran hutan''.
Bagaimana dengan dakwaan seorang penduduk Mohd.Yunus, 55, yang juga ahli jawatankuasa penduduk Kampung Pasir bahawa dia sudah menetap di situ selama 10 tahun?
Adakah ini bermakna sudah 10 tahun, MPAJ tidak dapat melihat kewujudan kampung tersebut?
Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Ahmad Shafii Saidin, kawasan perumahan itu telah dibina tanpa kebenaran.
``Ini kerana pemilik tanah telah membina rumah panjang untuk disewakan kepada warga Indonesia berstatus penduduk tetap tanpa mengemukakan sebarang pelan kepada MPAJ.
``Kami dimaklumkan terdapat 43 unit rumah di tiga blok rumah panjang yang didiami oleh lebih 200 penghuni warga Indonesia,'' jelasnya.
Sekali lagi timbul persoalan, jikalah benar pemilik tanah melanggar peraturan kenapa selama ini tiada tindakan diambil?
Benarkah ia terlalu tersorok atau `ada sesuatu yang tidak kena' sehingga tragedi mendedahkan segala kepincangan yang berlaku.
Kenapa selepas tragedi barulah hendak menyatakan ia dibina tanpa kebenaran MPAJ?
Dalam soal tindakan terhadap pemaju yang dikatakan melanggar peraturan Ahmad Shafii mendakwa, pembangunan di kawasan itu diberhentikan pada Disember 2004 tetapi dibenarkan meneruskan projek tidak lama kemudian selepas pemaju membuat pemulihan tanah dan dinilai semula oleh Jawatankuasa bagi Kawasan Sensitif Alam Sekitar.
Tetapi sudah nyata pemaju tidak mematuhi arahan yang diberikan, ini jelas apabila hanya hari ini Ahmad Shafii berkata: ``Pihak pemaju telah diarahkan untuk bertindak segera menstabilkan struktur tanah.''
Semua ini menimbulkan kekeliruan dan mewujudkan persoalan.
Justeru dalam kes Kampung Pasir ini, sekali lagi kita tertanya-tanya di mana silapnya, adakah akhirnya kita akan mendengar jawapan ``semua ini suratan takdir?''.
Sukar dipastikan, apa yang nyata Mohamad Khir dan MPAJ mengarahkan siasatan dijalankan bagi mencari punca kejadian tetapi tindakan selepas ini entah bagaimana?
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|