|
PADANG BESAR 28 Mei - Pengharaman tayangan dokumentari Lelaki Komunis Terakhir (LKT) yang dibuat oleh kerajaan pada 5 Mei lalu, dilakukan selepas mengambil kira sensitiviti rakyat negara ini yang pernah hidup sengsara pada zaman darurat dahulu.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, beliau menggunakan kuasa penuhnya sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan berkaitan dengan kelulusan untuk menayangkan dokumentari Lelaki Komunis Terakhir itu dan bukannya UMNO yang mengharamkan tayangan dokumentari itu.
``Saya gunakan kuasa yang saya ada selaku menteri untuk mengharamkan tayangan dokumentari itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Pengurusan dan Pentadbiran Parti anjuran Biro Penerangan UMNO Padang Besar di Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Utama Rais Yatim yang mendakwa bukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang mengharamkan dokumentari filem itu.
Menurut Radzi, walaupun dokumentari itu tidak memaparkan keganasan komunis, ia boleh memberi tanggapan yang salah di kalangan generasi muda yang tidak mengalami kehidupan pada zaman darurat dahulu.
Kekejaman
``Dokumentari itu menunjukkan tentang seorang lelaki tua yang seolah-olah tidak bersalah sedangkan kita tahu dia seorang yang pernah melakukan kekejaman kepada kita,'' ujarnya.
Menurut beliau, penayangan dokumentari itu mungkin boleh disamakan dengan dokumentari mengenai Osama Laden yang digambarkan sebagai seorang yang baik dan warak dan disiarkan pula di Amerika Syarikat (AS).
Gambaran Osama sebagai seorang yang baik di AS itu katanya, pasti juga menimbulkan bantahan di negara berkenaan walaupun ia mungkin diterima baik di negara lain.
Mengenai buku Alias Chin Peng: My Side of History yang menjadi rujukan dalam menghasilkan dokumentari itu, beliau menjelaskan, dokumentari itu berbeza dengan buku berkenaan kerana ia menggambarkan Chin Peng secara jelas.
Ditanya sama ada pengarah Lelaki Komunis Terakhir iaitu Amir Muhammad boleh dikenakan tindakan, beliau dengan ringkas menjawab: ``Itu cerita lain. Saya tidak mahu komen lagi. Kita tutup cerita ini.''
IKLAN@UTUSAN
|