|
ARKIB : 28/05/2006 3,000 korban gempa -- Ribuan penduduk Yogjakarta panik, bimbang tsunami kedua berulang
Gempa bumi itu menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk panik dan bergegas mencari tempat perlindungan kerana bimbang akan berlaku tsunami kedua selepas bencana tsunami di Aceh, Sumatera pada Disember 2004 yang mengorbankan ratusan ribu penduduk. Gegaran dengan kekuatan 6.2 skala Richter selama 57 saat itu berlaku pukul 5.55 pagi waktu tempatan (6.55 waktu Malaysia) dan dikesan berpusat di dasar Lautan Hindi, kira-kira 37.6 kilometer di selatan Yogjakarta. Kejadian itu juga menyebabkan banyak rumah penduduk runtuh, sejumlah bangunan retak dan memutuskan bekalan elektrik serta perhubungan telefon, manakala Lapangan Terbang Adisutjipo, Yogjakarta ditutup setelah mengalami kerosakan. Persatuan Palang Merah Antarabangsa menganggarkan 200,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam kejadian tersebut. Bagaimanapun tiada angka rasmi korban dikeluarkan setakat ini sementara media tempatan yang memetik jurucakap kerajaan dan polis melaporkan angka kematian yang berbeza. Media tempatan melaporkan daerah Bantul, di selatan Yogjakarta mencatatkan kematian paling ramai iaitu 2,159 orang. Hospital-hospital di sekitar Yogjakarta juga dipenuhi dengan beratus-ratus mangsa yang cedera dan para pegawai perubatan bertungkus lumus merawat mereka yang luka dan patah tulang. Selepas gempa pertama berlaku, 50 gegaran susulan berskala kecil dicatatkan dalam ukuran kekuatan yang berbeza-beza, membuatkan penduduk terus cemas dan ketakutan. Bagaimanapun mangsa gempa bumi kembali tenang petang ini kerana sangkaan mereka akan terjadi tsunami tidak benar. Kawasan yang paling teruk digegar gempa bumi ialah di Bantul, Kabupaten Klaten, 25 kilometer ke selatan Yogjakarta yang mencatatkan 50 orang penduduk terbunuh sementara banyak rumah di pesisir pantai Jawa Tengah runtuh, memandangkan kawasan itu paling hampir dengan pusat gegaran. Pengarah Perkhidmatan Hospital Dr. Sardjitu, Budi Mulyono memberitahu, hospital tersebut tidak dapat lagi menampung jumlah mangsa yang cedera. Stesen Metro TV menyiarkan ratusan penghuni hotel yang kelihatan cemas meluru keluar ke jalan-jalan raya dan tempat lapang. Sementara penduduk yang bimbang akan berlaku tsunami bergegas ke kawasan yang tinggi. Di jalan-jalan raya, kenderaan bersesak sambil memasang lampu dan membunyikan hon sementara ibu bapa yang dilihat cemas mendukung anak ke tempat-tempat lapang. Gempa bumi tektonik itu juga dirasai hingga ke Solo, Karanganyar, Jepara, Semarang dan Kudus di utara Jawa Tengah dan Madiun di Jawa Timur. Pada mulanya penduduk di sekitar Yogjakarta dan daerah Magelang menyangka gegaran itu berpunca dari letupan Gunung Merapi yang terletak di sempadan kedua daerah itu kerana gunung itu masih memuntahkan awan panas dan lahar sehingga pagi ini. Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Gunung Berapi Yogjakarta, Ratmono Purbo menyatakan, gempa bumi itu berpunca daripada gesekan lempeng bumi dan bukan dari letupan Gunung Merapi. Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan gempa bumi itu memicu gerakan volkanik kerana selepas gegaran itu, Gunung Merapi menghemburkan awan panas sejauh 3,500 meter. Presiden Indonesia, Bambang Susilo Yudhoyono dalam kenyataannya hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga yang terkorban dan mengarahkan Gabenor Yogjakarta, Sri Sultan Hamengku Buwono X, memberi bantuan yang diperlukan kepada mangsa. Sementara itu, Susilo yang dijadual ke Yogjakarta esok mengambil keputusan ke tempat bencana lewat petang ini setelah menerima laporan tentang jumlah kematian yang semakin ramai. Sementara itu Badan Meteorologi dan Geofizik (BMG) menyatakan, pusat gempa berada di sekitar 37 kilometer sebelah selatan Yogjakarta pada kedalaman 33 kilometer di Laut Hindi. Gegaran selama hampir satu minit itu merosakkan bangunan dan rumah di seluruh Yogjakarta dan sekitarnya sementara di pesisir pantai selatan Yogjakarta hampir tidak ada lagi rumah yang tegak. - Mingguan TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Utusan Online on Facebook
|