|
KUALA LUMPUR 24 Mei - Keputusan kerajaan menaikkan tarif elektrik sebanyak 12 peratus hari ini disifatkan sebagai kenaikan munasabah, selepas mengambil kira ia tidak menjejaskan golongan berpendapatan rendah secara langsung.
Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam yakin kenaikan tarif elektrik itu tidak akan dibantah oleh rakyat Malaysia kerana ia tidak memberi kesan langsung kepada golongan miskin.
Ini kerana, kata beliau, rakyat memahami bebanan yang ditanggung Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akibat kenaikan harga minyak dan gas.
Bagaimanapun, beliau berkata, TNB perlu memberi penerangan terperinci berhubung kos sebenar yang ditanggung oleh syarikat itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan kenaikan tarif elektrik kerana sudah menjangkakannya.
Kenaikan 12 peratus masih berpatutan kerana ia tidak terlalu membebankan para pengilang kerana jika penggunaan biasa sebanyak RM100, dengan tarif baru ia akan meningkat sebanyak RM112 sahaja.
Tetapi, kesan akan tetap dirasai oleh industri kecil dan sederhana (IKS), dakwa beliau.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|