Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 25/05/2006
PM: Kenaikan tarif elektrik wajar

PM: Kenaikan tarif elektrik wajar

TOKYO 24 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kenaikan tarif elektrik yang diumumkan Kabinet hari ini cukup wajar setelah mengambil kira kepentingan rakyat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP).

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Junichiro Koizumi di sini hari ini, beliau menjelaskan ia merupakan tindakan terbaik untuk negara dalam usaha mengatasi masalah besar yang sedang dihadapi oleh TNB.

Menurutnya, pengecualian kenaikan kepada kira-kira 60 peratus bilangan isi rumah menepati keputusan Kabinet terdahulu yang mencadangkan agar kumpulan yang dikecualikan daripada kenaikan tarif diperluaskan setelah mengambil kira beban rakyat kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

``Di samping menaikkan tarif itu kerajaan memikirkan kebajikan dan keperluan rakyat, kita tidak mahu rakyat terlalu susah ekoran sesuatu tindakan yang kerajaan mesti ambil.

``Kerajaan tidak boleh ambil sikap tidak mahu menaikkan tarif kerana apa yang berlaku kepada TNB nanti boleh membawa mudarat kepada ekonomi kita,'' jelasnya.

Beliau yang telah bercakap dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keputusan Kabinet hari ini berkata, daripada tinjauan yang dibuat didapati rakyat sudah menjangka kenaikan tarif tersebut.

Di samping itu, kata Abdullah, Kabinet juga memutuskan perbincangan dengan IPP oleh Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Kheng Yaik diteruskan untuk mendapatkan rumusan terbaik memandangkan subsidi yang diberikan kepada IPP telah menimbulkan masalah besar kepada TNB.

Perdana Menteri menjelaskan, bukanlah satu tindakan yang melanggar kontrak apabila kerajaan mencadangkan supaya kerajaan dan IPP berbincang untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi TNB.

Beliau turut berharap rakyat dapat memahami tindakan menaikkan tarif elektrik kerana ia tidak dapat dielakkan.

``Saya harap rakyat terima, ini tak boleh elak lagi walaupun itu jadi tindakan tidak popular kepada rakyat.

``Tindakan ini melambangkan kita bertanggungjawab kepada pihak berkaitan iaitu rakyat, TNB dan IPP,'' jelasnya.

- Utusan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN