|
KUALA LUMPUR 17 Mei - Orang ramai kini berpeluang mendaftar sebagai ahli UMNO menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tanpa perlu lagi bersusah payah mendapatkan borang keahlian di pejabat UMNO.
Mereka yang berminat hanya perlu menaip UMNO jarak taip Daftar dan hantarkan ke 33677 untuk menerima arahan selanjutnya.
Perkhidmatan yang dikenali sebagai E-UMNO SMS itu disediakan oleh sebuah syarikat yang diuruskan oleh sekumpulan anak muda Melayu, K-Amal Technologies (M) Sdn. Bhd., dan akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bulan depan.
Pengarah Eksekutifnya, Zafarul Akhbar Kassim berkata, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan SMS itu pada bila-bila masa dan setiap balasan SMS hanya mengambil beberapa saat.
``Setakat ini, ia adalah yang pertama kali diperkenalkan di negara ini dan sebagai permulaan, ia terbuka kepada pelanggan Celcom sahaja sebelum diperluaskan kepada pelanggan lain pada masa terdekat ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut tentang perkhidmatan baru itu, kata Zafarul Akhbar, selain mendaftar, orang ramai boleh mendapatkan senarai nombor telefon pejabat UMNO di seluruh negara dan aktiviti pemimpin tertinggi.
IKLAN@UTUSAN
|