|
BETONG 17 Mei - Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai pengkhianat kerana melemparkan fitnah kononnya kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) merampas tanah rakyat.
Oleh itu Ketua Menteri Sarawak tersebut menasihati rakyat supaya tidak terpengaruh dengan propaganda parti pembangkang itu kerana ia boleh menyebabkan mereka `sesat'.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada majlis pemimpin bersama rakyat dan penyampaian hak milik tanah kepada 600 penduduk di Kampung Tradisional Debak di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu yang juga calon N.31 Layar, calon N.24 Beting Maro, Bolhassan Di dan calon N.30 Saribas, Dr. Wahbi Junaidi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuduhan yang dilemparkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya kerajaan BN di negeri ini merampas tanah rakyat dan merompak balak dalam kempennya membantu calon-calon PKR pada pilihan raya Sarawak kali ini.
Abdul Taib menggesa rakyat di negeri ini supaya berfikir secara betul dan bukan menerima secara membuta-tuli segala fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang.
Beliau menjelaskan kerajaan BN di negeri ini tidak pernah merampas tanah rakyat sebaliknya memberi tanah kepada rakyat yang memerlukannya.
Menurut Abdul Taib, cadangan kerajaan BN di negeri ini menggalakkan rakyat yang memiliki tanah pusaka supaya bergabung bukan bertujuan merampas tanah mereka tetapi mahu supaya penduduk yang mempunyai tanah yang bersaiz kecil bergabung menubuhkan ladang.
``Kita (kerajaan BN) mahu menggalakkan mereka bergabung menubuhkan estet yang besar untuk ditanam dengan kelapa sawit supaya mereka mendapat manfaat dalam tempoh yang panjang.
``Penubuhan ladang-ladang yang besar ini bukan sahaja akan menggalakkan pertanian moden dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak kampung, tetapi juga dapat meningkatkan taraf hidup mereka yang terlibat,'' katanya.
Kata beliau, penubuhan estet ini akan membolehkan penduduk melabur saham dan mendapat pulangan dalam bentuk dividen keuntungan dalam jangka panjang.
``Sarawak mempunyai tanah pusaka yang luas tetapi saiz mereka sangat kecil dan tidak mampu diusahakan secara moden,'' katanya.
Jika tanah pusaka ini dapat disatukan menjadi ladang yang besar, rakyat dapat meningkatkan hasil dengan menggunakan kaedah pertanian moden, katanya.
Kerajaan BN juga, katanya, berpendapat hanya dengan cara itu sahaja bumiputera dapat mengekalkan tanah pusaka yang mereka warisi dari nenek-moyang mereka.
``Skim itu bukan bertujuan merampas tanah rakat, kerana kerajaan BN tidak memaksa bumiputera di negeri ini yang memiliki tanah pusaka untuk menyertai skim tersebut, tambah beliau.
Abdul Taib berkata, kerajaan juga mahu rakyat membuka ladang besar melalui skim itu dengan saiz beribu hektar setiap satu bertujuan menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit.
Kerajaan BN melaksanakan skim itu bukan bertujuan menganiaya rakyat sebaliknya mahu mereka maju bersama-sama rancangan kerajaan, katanya.
``Saya hairan mengapa orang luar yang tidak tahu-menahu apa yang sedang dirancang oleh kerajaan BN di negeri ini menuduh kita (BN) mahu merampas tanah rakyat, katanya.
Beliau menggesa rakyat bumiputera supaya merebut peluang daripada skim itu supaya mereka tidak ketinggalan daripada arus kemajuan.
Menurutnya, Kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan yang besar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada Sarawak dan Sabah kerana mahu kedua-dua negeri itu cepat membangun.
``Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu supaya rakyat Sarawak dan Sabah turut mendapat nikmat pembangunan daripada RMK-9, katanya.
Sarawak sahaja menerima peruntukan yang besar sebanyak RM15.3 bilion di bawah RMK-9 tidak termasuk RM10 bilion lagi yang disediakan oleh kerajaan BN di negeri ini di bawah rancangan perspektif pembangunan lima tahun akan datang.
Beliau berkata, kerajaan BN di Sarawak juga membelanjakan sebanyak RM2 bilion setahun bagi pembangunan infrastruktur untuk kemudahan rakyat.
Sehubungan dengan itu, rakyat harus merebut peluang pembangunan itu dan bekerja kuat untuk memajukan diri mereka, katanya.
IKLAN@UTUSAN
|