VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Julai 2014 / 3 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 14/05/2006

Seks semasa hamil


TUSUKAN alat sulit lelaki hanya sampai ke paras liang faraj dan bayi dilindungi dalam selaput karung tetuban.


ADALAH sesuatu yang normal bagi suami isteri memikirkan kesan hubungan kelamin ke atas janin mereka apabila seseorang wanita disahkan hamil dan bakal bergelar ibu buat kali pertama.

Dalam pada kehamilan memberikan satu dimensi baru kepada kehidupan seksual pasangan, namun bagi sesetengah yang lainnya pula, ia menimbulkan beberapa masalah dan memerlukan perhatian.

“Adakah selamat untuk melakukan hubungan seks semasa hamil?”. “Tidakkah nanti suami akan memberikan tekanan berlebihan ke atas perut isteri?” “Isteri mungkin kurang selesa malah berasa sakit,” “Bolehkah tusukan zakar membahayakan janin?”

“Bagaimana pula dengan orgasma? Adakah ia boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang?”, “Sebarang jangkitan kepada bayi?” merupakan antara soalan lazim yang sering berlegar-legar di fikiran.

Tidak kurang juga yang berasa pelik dan segan untuk meneruskan hubungan intim kerana merasakan seolah-olah bayi dalam kandungan tahu aktiviti apa yang sedang mereka lakukan.

“Malulah, nanti baby nampak abah punya,” ujar seorang ibu yang naif sambil tersenyum simpul menceritakan kembali pengalamannya mengandung anak sulung.

Keinginan terhadap seks juga boleh jadi turun naik dari bulan ke bulan atau trimester ke trimester.

Selain nafsu si isteri yang berubah-ubah mengikut hormonnya terutama ketika mengalami alahan mengandung, dorongan seks sang suami pula ada yang semakin bertambah selari dengan perubahan fizikal pasangannya.

Ada sesetengah lelaki yang merasakan perut isteri yang memboyot tampak seksi dan erotik. Mereka juga lebih terangsang apabila mencuba teknik-teknik hubungan kelamin yang berbeza.

Kecualilah doktor menasihatkan anda sebaliknya disebabkan oleh kehamilan yang berisiko tinggi, seks semasa hamil adalah selamat sehinggalah air tetuban pecah saat mahu bersalin.

Dan seperti suami isteri lain yang bakal menjadi ibu bapa, anda mungkin mempunyai beberapa pertanyaan berkaitan tahap keselamatan melakukan seks dan apakah yang normal dan tidak normal bagi kebanyakan pasangan.

Kemusykilan anda dijawab oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam Selangor, Dr. Norleen Mohd. Salleh.

“Seks semasa hamil selamat dilakukan sekiranya tiada kontraindikasi dari aspek perubatan seperti pendarahan awal semasa hamil yang disebabkan oleh sematan uri pada bahagian bawah rahim (plasenta previa).

“Masalah perubatan lain termasuklah asma atau lelah yang tidak terkawal atau masalah jantung yang tidak menggalakkan ibu melalui aktiviti fizikal yang berat termasuk hubungan kelamin.

“Selalunya doktor yang merawat akan memberi nasihat yang sewajarnya,” ujar beliau.

Menurutnya, jika kehamilan mengalami pendarahan dan doktor bimbang tentang kesihatan janin, hubungan kelamin tidak digalakkan kerana faktor fizikal dari tusukan semasa hubungan kelamin boleh membawa kepada keguguran.

“Kepercayaan turun-temurun mengatakan hubungan kelamin boleh mencederakan bayi dan air mani menyebabkan kecacatan adalah tidak benar.

“Ini kerana, bayi terasing dan selamat di dalam selaput karung tetuban yang terletak di dalam rahim, sedangkan tusukan organ lelaki semasa hubungan kelamin hanya sampai paras liang vagina dan pangkal rahim belum terbuka sebelum waktu kelahiran.”

Namun, ujar Dr. Norleen, air mani lelaki ada mengandungi bahan prostaglandin yang mempunyai ciri-ciri merangsang kontraksi atau pengecutan berlaku.

Bahan ini merupakan bahan yang sama terkandung di dalam pengubatan pil yang digunakan untuk tujuan cetusan sakit bersalin (induction of labour) oleh kebanyakan doktor.

Jadi, kemungkinan berlaku kontraksi pramatang atau kontraksi palsu jika hubungan kelamin dilakukan sebelum bayi matang.

“Perlu juga dimaklumkan bahawa tahap prostaglandin di dalam air mani tidak begitu tinggi sehingga begitu mudah boleh menyebabkan kontraksi setiap kali bersama suami.

“Jangan hairan, tetapi kaedah tradisional ini juga yang masih diamalkan untuk ibu hamil yang lebih hari untuk merangsang pembukaan pangkal rahim sebelum doktor menjalankan prosedur cetusan,” jelas beliau.

Selain faktor-faktor yang disebut di atas, keadaan lain di mana doktor melarang hubungan kelamin adalah jika ibu senang mengalami kontraksi pramatang dan kelahiran pramatang.

Lain-lain situasi termasuklah ibu mengandung kembar dan ibu yang hamil dan mengalami servikal yang tidak kompeten dan memerlukan pangkal rahim diikat seperti prosedur MacDonald’s stitch dan pemecahan air tetuban sebelum waktunya.

Larangan ini adalah untuk mengelakkan dari berlakunya kelahiran pramatang dan jangkitan selepas selaput tetuban pecah.

Akibat perubahan hormon, jelas Dr. Norleen, ibu-ibu turut mengalami kesan psikologikal dan mental yang agak ketara pada sesetengah kes.

“Umpamanya, awal mengandung bila si ibu mengalami mual dan muntah yang teruk. Apabila ini berlaku, mereka cenderung menyalahkan suami kerana menyebabkannya mengandung.

“Mood swing atau perubahan angin semasa hamil juga agak kerap terjadi. Kemudian, apabila bakal ibu tadi melihat perubahan bentuk badan, payu dara dan peningkatan berat badan, rasa rendah diri mereka terus menular,” katanya.

Keinginan seks juga, terang Dr. Norleen, boleh jadi berubah-ubah atas sebab perubahan hormon yang sama iaitu mungkin meningkat atau menurun.

Justeru, peranan suami untuk memberi perhatian yang lebih dan sokongan moral amat penting pada masa-masa ini.

Tambahnya: “Kejang anggota badan adalah salah satu gejala yang amat kerap menjadi aduan. Ini dapat dikurangkan dengan pengambilan suplemen kalsium.

“Gejala simpul biawak/mengkarung/ular adalah gejala kejang yang paling menyakitkan di mana masalah ini memang boleh berlaku semasa atau selepas hubungan kelamin atau semasa meneran di saat kelahiran bayi.”

Ditanya sama ada perlu dilakukan pengubahsuaian posisi, Dr. Norleen mengulas, di saat akhir kehamilan, dengan keadaan ibu yang tentunya sarat, posisi ibu di bawah masih merupakan yang paling selesa.

Walau bagaimanapun, posisi reverse missionary atau lateral (sisi) masih popular bagi mereka yang belum begitu sarat keadaannya.

“Jika tiada halangan dari aspek perubatan, tidak ada sebab kenapa hubungan kelamin tidak diteruskan kerana ikatan suami isteri akan lebih akrab sementara menunggu cahaya mata yang bakal lahir.

“Perasaan negatif di mana ibu sering berasa dirinya sudah tidak cantik akan secara semula jadi ditepis dan saat ini perlu digunakan sepenuhnya oleh si suami untuk membelai dan memanjakan isteri,” katanya.

Namun, kekerapan menjalin hubungan kelamin semasa hamil tidak berkaitan secara langsung dengan susah atau senangnya proses kelahiran ibu kerana banyak faktor lain yang akan menyumbangkan seperti saiz pelvis ibu, berat anak dan kedudukan kepala anak.

Selepas kelahiran, dari aspek perubatan juga keperluan agama, tempoh pantang adalah selama lebih kurang 40 hingga 44 hari.

Amal ibadat serta hubungan kelamin boleh diteruskan selepas waktu ini melainkan jika darah nifas masih belum kering. Doktor akan pastikan ibu membuat rawatan susulan selepas sebulan dan kesihatan fizikal ibu akan dinilaikan masa ini.

Dr. Norleen membuat saranan berikut: “Pasangan suami isteri perlu berbincang sepanjang waktu hamil terutama mereka yang hamil buat pertama kali untuk mengenali perubahan pada ibu juga keperluan hubungan kelamin dan kekerapan.

“Semua ini patut diajukan kepada doktor berserta lain-lain kemusykilan sebagai persiapan tanpa rasa segan silu.”

Segala masalah peringkat awal kehamilan, boleh dikesan seawal enam minggu kehamilan. Jadi sejurus selepas kehamilan disahkan, buatlah temu janji dengan doktor agar masalah boleh dikesan dan ditangani dari awal kehamilan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.