Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
LAPORAN KHAS

ARKIB : 11/05/2006
Pahit Maung - UMNO Terengganu

Pahit Maung - UMNO Terengganu


Susur galur perjuangan UMNO Terengganu sejak awal penubuhannya pada tahun 1940-an, pernah diuji dengan masalah perpecahan antara pemimpinnya sehingga mempengaruhi suasana politik dan pencapaian parti itu pada pilihan raya umum.

Malah, perpecahan dan pergolakan yang berlaku itu dikatakan menjadi antara faktor yang menyebabkan Perikatan dan kemudian BN pernah kalah dua kali di tangan parti Pas di Terengganu.

Bagaimanapun, kekalahan pada pilihan raya cepat menyedarkan pemimpin dan ahli UMNO sehingga mereka dapat kembali bersatu dan faktor perpaduan itu sebenarnya menjadi senjata UMNO yang paling ditakuti oleh seteru tradisinya, Pas.

``Pilihan raya persekutuan pertama pada 19 Ogos 1959 menyaksikan kemenangan parti Pas di mana Perikatan hanya berjaya mendapat 7 daripada 24 kerusi yang dipertandingkan di Terengganu.

``Kemenangan Pas ketika itu mengejutkan ramai pemimpin UMNO negeri kerana semasa berkempen kebanyakan rakyat dilihat menyokong UMNO.

``Contohnya, kaunter-kaunter UMNO ketika hari pengundian dipenuhi ramai penyokong tetapi entah bagaimana kita kalah teruk dalam pilihan raya berkenaan,'' kata veteran UMNO Terengganu, Datuk Mansor Mohamad, 80.

Mansor pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri dari tahun 1958 hingga 1970, Exco Kerajaan Negeri (1962-1970) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit.

Ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Terengganu baru-baru ini, Mansor mengakui antara halangan utama pemimpin UMNO negeri dalam usahanya mendapat sokongan padu rakyat adalah soal pembangunan.

Menurut beliau, Terengganu merupakan sebuah negeri miskin dan sumber pendapatan rakyat negeri ini hanya bergantung kepada pertanian dan penangkapan ikan selain penduduknya begitu kuat berpegang kepada agama. Kata beliau, isu-isu yang ditimbulkan oleh pembangkang berkaitan kemiskinan rakyat, Terengganu mundur, kurang pembangnan dan perkara-perkara berkaitan dengan agama begitu berkesan dalam meracuni pemikiran rakyat.

Mengkafirkan

Malah, kata Mansor, isu kafir mengkafirkan orang-orang UMNO sebenarnya bukan bermula pada awal 1980-an tetapi telah dimainkan oleh Pas sejak pilihan raya pertama lagi.

Beliau berkata, Pas telah memasuki kawasan perkampungan dan menyebarkan propaganda yang menyatakan mereka adalah parti Islam dan seharusnya disokong oleh umat Islam.

``Di samping itu, jentera UMNO yang tidak mempunyai kemampuan logistik untuk ke kawasan-kawasan pedalaman yang terletak terlalu jauh dan sukar dilalui, memudahkan lagi Pas mempengaruhi penduduk di sana,'' ujarnya. Namun begitu, beliau menambah, kerajaan Pas hanya mampu bertahan selama dua tahun selepas menang besar pada pilihan raya pertama ekoran kekurangan pengalaman dan masalah dalaman dalam mentadbir negeri ini.

``Empat daripada ADUN Pas dan beberapa ADUN Parti Negara telah keluar dari parti-parti itu dan menyertai UMNO di mana tindakan itu menjadikan UMNO sebagai parti majoriti di Dewan Undangan Negeri,'' ujarnya.

Justeru, tampuk pemerintahan Terengganu beralih tangan kepada UMNO pada 1962.

Mansor berkata, salah seorang penggerak awal penubuhan UMNO Negeri, Datuk Ibrahim Fikri Muhammad yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ADUN Seberang Takir ketika itu dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Menyedari betapa pentingnya pembangunan bagi Terengganu dan menguatkan kepercayaan rakyat kepada UMNO, Ibrahim berusaha melobi Kerajaan Pusat untuk membawa lebih banyak arus pembangunan ke negeri ini.

``Para pemimpin UMNO cuba mengubah kebergantungan penduduk tempatan terhadap aktiviti menangkap ikan kepada perusahaan kelapa sawit bagi menukar keadaan ekonomi negeri ini,'' katanya.

Mansor menambah, projek menanam kelapa sawit dimulakan di Besut dalam skala yang kecil kerana kerajaan negeri masih tidak mempunyai sumber kewangan yang besar.

Bagaimanapun, menurut Mansor, sekali lagi UMNO Terengganu dilanda pergolakan dan masalah dalaman yang menyaksikan campur tangan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussin pada tahun 1970.

Keadaan itu menyebabkan Ibrahim Fikri diminta mengundurkan diri dan menyaksikan pelantikan Datuk Nik Hassan Abd. Rahman sebagai Menteri Besar pada 1972. Bagi membolehkan pelantikan Nik Hassan, Mansor berkata, beliau telah menawarkan kedudukannya sebagai ADUN Batu Rakit.

``DUN Batu Rakit merupakan antara kubu kuat UMNO dan ini memudahkan pelantikan Nik Hassan sebagai wakil rakyat ketika pilihan raya kecil diadakan,'' jelasnya.

Di bawah pentadbiran Nik Hassan sebagai ketua kerajaan negeri, usaha untuk membangunkan Terengganu diteruskan bagi memenuhi janji parti untuk mengeluarkan rakyat dari belenggu kemiskinan.

Justeru, Yayasan Terengganu telah ditubuhkan bagi membantu rakyat miskin dan melahirkan seberapa ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Pembinaan Empangan Kenyir dan penanaman tembakau di Terengganu juga dimulakan dalam usaha mengubah corak ekonomi negeri ini.

Kemudian, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pula dilantik sebagai Menteri Besar pada 1976 apabila Nik Hassan mengundur diri.

Di bawah pentadbiran beliau, pembangunan Terengganu bertambah pesat dengan mulanya kerja-kerja cari gali minyak dan penerimaan royalti minyak sebanyak lima peratus daripada kerajaan Pusat.

Terengganu juga menyaksikan penubuhan institusi pengajian tinggi pertama di negeri ini iaitu Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan lapangan terbang di Kuala Terengganu.

Namun, pembangunan yang diusahakan oleh UMNO Terengganu dilihat masih gagal untuk menarik sokongan rakyat negeri ini apabila parti itu kalah dalam pilihan raya 1999.

Menurut Mansor, kekalahan itu mungkin berlaku apabila rakyat termakan propaganda dan janji-janji yang diuar-uarkan oleh parti Pas walaupun keadaan di negeri ini boleh dikatakan maju dan stabil.

``Pas menyatakan apabila parti itu mentadbir Terengganu, keadaan negeri ini akan menjadi lebih baik. Selain itu, perselisihan faham dan perebutan kuasa yang berlaku dalam parti juga menjadi punca kekalahan UMNO negeri.

``Para penyokong UMNO negeri mahu melihat calon masing-masing dipilih menjadi wakil rakyat dan apabila calon mereka tidak dipilih, mereka telah mengundurkan diri,'' katanya.

Ekoran kemenangan Pas, rakyat tidak menyaksikan sebarang pembangunan baru diadakan sepanjang tempoh pemerintahan parti itu.

Bagaimanapun, hasil usaha kepimpinan baru UMNO Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh di bawah `Gelombang Biru' , rakyat negeri beralih semula kepada BN.

Melihat kepada rentetan sejarah politik di negeri ini, Pas sebenarnya tidak kuat tetapi perpecahan dan pergolakan dalaman yang berlaku dalam UMNO, boleh menyebabkan BN menerima padah.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN