ARKIB : 04/05/2006
Malaysia, Jamaica setuju teroka minyak, gas bersama
![]() |
|
Abdullah Ahmad Badawi pada perjumpaan empat mata dengan rakan sejawatannya Portia Simpson Miller semasa kunjungan hormat di pejabat Perdana Menteri itu di Kingston, semalam. |
KINGSTON (Jamaica) 3 Mei - Malaysia dan Jamaica bersetuju untuk mengadakan penerokaan bersama sumber minyak dan gas dalam usaha menghadapi masalah kenaikan kos tenaga yang berterusan ekoran kenaikan harga bahan api dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, syarikat minyak negara, Petronas dipelawa oleh Jamaica merebut peluang itu untuk meneroka sumber gas asli cecair (LNG) di perairan negara itu.
``Perkara-perkara terperinci mengenai kerjasama penerokaan gas ini akan dibincangkan tidak lama lagi,'' katanya dalam sidang akhbar bersama selepas mengadakan perbincangan kira-kira dua jam dengan rakan sejawatannya dari Jamaica, Portia Simpson Miller.
Persetujuan tersebut adalah antara agenda utama yang diputuskan dalam perbincangan antara Abdullah dan Miller dalam usaha meningkatkan kerjasama pelbagai bidang yang menyentuh kepentingan bersama.
Miller pula berkata, Jamaica bersedia membuka peluang kepada syarikat Malaysia itu untuk mencari gali LNG di perairan negara sebagai langkah menangani masalah kenaikan harga bahan api yang memberi kesan besar kepada pembangunan negara.
``Kami prihatin dengan kesan negatif kenaikan kos tenaga terhadap pembangunan ekonomi dan menyedari keperluan mempelbagaikan sumber tenaga,'' katanya.
Abdullah tiba di sini dari Saint Vincent dan Grenadines kira-kira pukul 12.45 tengah hari (1.45 pagi waktu Malaysia) dan diberi sambutan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Norman Manley sebelum mengadakan pertemuan dengan Miller.
Ini adalah lawatan rasmi pertama Abdullah ke negara ini atas undangan Miller yang baru sahaja mengambil alih pentadbiran daripada P.J Patterson akhir Mac lalu.
Rombongan Perdana Menteri disertai oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said.
Jamaica, negara kelahiran Raja Raggae, Bob Marley ini mempunyai 2.7 juta penduduk dan merupakan pengeluar utama bauksit (aluminium) dunia, manakala industri pelancongan menjadi antara penyumbang utama kepada tukaran wang asing. Ia juga terkenal di bidang sukan khususnya dalam acara trek.
Dalam perbincangan itu, pelbagai perkara menyentuh kepentingan bersama dibincang, antaranya pelaburan dan perdagangan, tenaga, infrastruktur, pertanian, sukan serta hal ehwal antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju beberapa langkah perlu diambil untuk meningkatkan peluang perniagaan, perdagangan dua hala dan pelaburan.
Mereka sependapat mengenai keperluan sektor swasta kedua-dua negara memainkan peranan ke arah itu.
Menurut Abdullah, Jamaica juga bersetuju untuk menyediakan peluang belajar kepada pelajar-pelajar Malaysia di bidang perubatan di Universiti West Indies, selain meningkatkan kerjasama di bidang pertanian.
Di bidang infrastruktur pula, kedua-dua negara sedang mengenal pasti beberapa bidang yang boleh diberi tumpuan kerjasama khususnya dalam bidang pembinaan jalan.
Pada masa ini, Malaysia dan Jamaica berjaya mengadakan kerjasama membina lebuh raya `Highway 2000' sejauh 230 kilometer menghubungkan Kingston dan Montego Bay, sebuah kawasan pelancongan terkenal di negara itu.
Menurut Perdana Menteri, kerjasama di bidang sukan akan diberi tumpuan utama memandangkan ia memainkan peranan penting mewujudkan perpaduan dan masyarakat yang berdisiplin.
Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) di bidang sukan termasuk kerjasama bagi trek dan padang serta bola jaring yang Jamaica mempunyai kepakaran dan badminton, sukan yang dikuasai oleh Malaysia.
Dalam perbincangan yang disertai oleh tiga orang Menteri Kabinet Malaysia dan beberapa orang Menteri Kabinet Jamaica itu, kedua pihak juga menyentuh mengenai perkembangan semasa hubungan antarabangsa.
Untung MISC melonjak kepada RM354.7 juta
Keuntungan CMSB meningkat 10 peratus
TDM yakin perladangan, penjagaan kesihatan
Rumusan krisis global dicari
Untung pracukai Petronas Dagangan susut kepada RM326.97 juta
Harga saham KL ditutup rendah
Ringgit ditutup rendah banding dolar AS
Untung pracukai suku pertama Maybank naik kepada RM2.13 bilion
Untung pracukai suku pertama MISC naik kepada RM354.7 juta
Ketua baharu perlu perluaskan Maybank ke serantau - Wahid
Cahaya Mata Sarawak untung sebelum cukai RM54.81 juta
Persidangan Pemasaran Dunia 2013 dijangka tarik 2,500 delegasi
Allianz General perkenal insurans melalui tiket
Malaysia kekal rakan dagang utama China di ASEAN
PCG peruntuk RM3 bilion tahun ini
Takaful Malaysia yakin prestasi
Exim Bank kerjasama dengan CIDB, MDeC
LTH komited RM150 juta dalam dana pajakan
AEON sedang dibina di Kulaijaya
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










