BICARA AGAMA

ARKIB : 24/04/2006
Bisnes multi level pilihan Hairul Nizam

Bisnes multi level pilihan Hairul Nizam


HAIRUL Nizam (kiri) bersama adiknya Hairul Nazri, 25, yang turut mengikut jejak langkahnya.


KEGAGALAN mendapatkan pekerjaan bukanlah penamat kepada sebuah kehidupan yang bahagia. Selagi ada usaha dan tekad untuk memajukan diri, pasti kejayaan akan datang. Apa yang penting adalah kesabaran dan keberanian untuk menghadapi segala cabaran.

Dengan azam dan semangat jitu yang tinggi, Hairul Nizam Hashim, 27, mengambil langkah berani apabila mengambil keputusan melibatkan diri dalam perniagaan yang jarang diterokai anak muda Melayu. Bukan duit menjadi ukuran tetapi kepuasan bekerja sendiri yang tidak diperoleh dengan kerja makan gaji.

“Saya tidak terikat dengan majikan dan syarikat. Malah saya memiliki kebebasan dari segi masa dan saya boleh menentukan waktu bekerja. Kebiasaannya, saya hanya akan berjumpa pelanggan pada sebelah petang manakala segala urusan peribadi akan diselesaikan pada waktu pagi,” ujar Hairul Nizam yang lebih mesra dengan panggilan Nizam.

Pada pendapatnya, tidak ada banyak beza antara makan gaji dan bekerja sendiri. Setiap hasil kerja yang dilakukan akan mendapat pulangan pada setiap hujung bulan. Pendapatan itu akan digunakan untuk melangsaikan hutang kereta, rumah, kad kredit dan bil-bil bulanan. Istimewanya, Nizam tidak perlu mengharungi kesesakan lalu lintas setiap pagi untuk ke pejabat.

Katanya, untuk hidup senang, orang Melayu mesti berani melibatkan diri dengan perniagaan. Bagaimanapun, perniagaan berbentuk konvensional memerlukan modal dan latihan yang sememangnya menjadi faktor penghalang kepada kebanyakan usahawan Bumiputera yang ingin memulakan bisnes sendiri.

Atas saranan seorang rakan yang juga pensyarah Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang pernah menjalankan kajian ke atas bentuk-bentuk perniagaan, Nizam memilih untuk terlibat dengan bentuk perniagaan berasaskan multi level kewangan setelah menamatkan pengajian pada September 2003.

“Mula-mula saya hanya ingin mencuba dan tengok keadaan dulu. Kalau berjaya saya akan teruskan. Jika tidak, saya akan cari kerja dan makan gaji. Tetapi selepas tiga bulan, saya mendapat pulangan yang baik. Jadi saya tunggu dan lihat pula untuk tempoh dua tahun. Alhamdulillah, kini saya yakin dengan pilihan dan keputusan yang saya buat dulu,” cerita pemegang ijazah Bacelor Kejuruteraan Mekanikal ini.

Beliau tidak menafikan pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi jurutera tetapi selepas menjalani latihan praktikal dan didedahkan dengan kerjaya sebagai jurutera, Nizam merasakan itu bukanlah cara hidup yang dikehendakinya hingga akhir hayat. Bahkan, beliau tidak pernah menyesal kerana kelulusan dalam bidang kejuruteraan tidak digunakan dalam kerjayanya pada hari ini.

Menerusi syarikatnya, Alliance Teamwork Marketing, yang beribu pejabat di Petaling Jaya dan mempunyai 51 cawangan seluruh negara, Nizam turut berpeluang mengunjungi pejabat cawangan bisnes yang diceburinya yang terletak di China, Hong Kong, Filipina, Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia. Katanya, rakyat Indonesia memberi sambutan yang menggalakkan kepada perniagaan itu kerana mentaliti mereka yang berorientasikan perniagaan.

Mengenai perancangan masa depan, beliau menyasarkan untuk melibatkan diri dalam pelaburan hartanah apabila mencecah usia 30 tahun. Nizam juga menyimpan impian untuk mengelilingi dunia jika cita-citanya sudah tercapai.

Bercerita lebih lanjut mengenai keputusannya membabitkan diri dalam perniagaan berasaskan multi level, beliau tidak menafikan pada peringkat awal beliau menerima tentangan keras daripada keluarga. Ibu bapanya bimbang dengan masa depannya jika tidak mempunyai pekerjaan dengan gaji bulan yang tetap.

“Saya faham perasaan mereka. Mana ada ibu bapa yang tidak risau akan masa depan anak-anaknya. Tetapi setelah mendapat pulangan yang pertama selepas tiga bulan, saya cuba ambil hati mereka sedikit demi sedikit. Kini, ibu bapa yang banyak memberi saya sokongan dan dorongan untuk berjaya,” kata anak sulung kepada pasangan Hashim Mohd. Saleh, 55, dan Shamsina Ismail, 47. Nizam mempunyai empat orang adik-beradik.

Beliau menasihati anak-anak muda dan graduan agar berani keluar daripada kepompong makan gaji dan beralih kepada bidang yang mencabar. Biarlah susah pada usia muda asalkan mempunyai bekalan yang mencukupi apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.

“Prinsip saya adalah biar susah sedikit ketika muda daripada susah apabila sudah tua. Ketika itu kita sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Kalau apa-apa terjadi, takkan nak biarkan isteri dan anak-anak hidup susah. Jadi, saya akan cuba meningkatkan taraf hidup sebelum berkahwin,” ujarnya yang mengakui pendapatan bulanannya mencecah lima angka hampir setiap bulan.

Menurutnya, buku Jutawan dari Planet Jupiter karangan Azizi Ali telah meningkatkan motivasi dirinya untuk mengubah corak hidup dan bukan mengejar kekayaan semata-mata.

PROFIL

Nama: Hairul Nizam Hashim

Umur: 27 tahun

Tarikh lahir: 13 Mei 1979

Asal: Seremban, Negeri Sembilan

Akademik: Bacelor Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Putra Malaysia

Kerjaya: Berniaga sendiri

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:14
Asar 4:16
Maghrib 7:17
Isyak 8:26
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook