|
JAKARTA 20 April - Majalah Playboy versi Indonesia yang dikeluarkan dua minggu lalu dihentikan penerbitan atas sebab-sebab keselamatan ekoran protes kumpulan Islam.
“Pada masa ini keutamaan kami ialah keselamatan. Kami telah mengosongkan pejabat kami dan menghentikan aktiviti operasi,” kata Ketua Pengarang, Erwin Arnada kepada wartawan.
Laporan terdahulu menyebut syarikat-syarikat pengiklanan mula menghentikan iklan mereka dalam majalah itu berikutan protes dan kesangsian mereka dengan masa depan majalah tersebut.
Meskipun majalah itu tidak mengandungi gambar bogel dan lebih senonoh berbanding majalah lain yang telah dijual, ahli politik Islam dan guru-guru agama memberikan reaksi marah berhubung edisi pertamanya pada bulan ini.
Malah sekumpulan tunjuk perasaan juga telah melemparkan batu ke arah pejabat majalah tersebut sebagai tanda protes.
Ramai berkata, nama majalah itu sendiri sudah cukup bagi kerajaan supaya mengharamkannya.
“Saya sudah berulang kali memberitahu mereka (pengkritik majalah), supaya melihat majalah saya dan membezakannya dengan majalah cara hidup lain yang sedia ada di pasaran di Indonesia.
“Malangnya mereka tetap meminta saya menukar nama Playboy dan bukan isi kandungannya. Ia tidak masuk akal,” kata Erwin kepada Dow Jones Newswires dalam satu temu ramah, semalam.
Jelas Arnada, beliau bersama 10 orang anggota pengarang majalah tersebut disoal siasat di ibu pejabat polis di Jakarta hari ini sebagai respons dakwaan oleh umat Islam bahawa Playboy mencabuli artikel kanun peraturan jenayah kerana mengandungi bahan yang mencemarkan moral.
- AP
IKLAN@UTUSAN
|