Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 11/04/2006
China harap hubungan ketenteraan dipertingkat

China harap hubungan ketenteraan dipertingkat

KUALA LUMPUR 10 April - China berharap hubungan ketenteraan antara negara itu dan Malaysia dapat dipertingkatkan menerusi inisiatif kerjasama yang telah dipersetujui sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hasrat tersebut disuarakan oleh Menteri Pertahanan republik itu, Jeneral Cao Gangchuan ketika melakukan kunjungan hormat ke atas beliau di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat itu, Gangchuan berharap supaya memorandum persefahaman yang ditandatangani beliau semasa melawat China tahun lepas, dapat digerakkan.

Ini katanya, bagi membolehkan perbincangan keselamatan yang ada kaitan dengan kepentingan kedua-dua negara diadakan.

``Perbincangan keselamatan ini boleh diadakan pada bila-bila masa dengan harapan ia dapat meningkatkan kefahaman antara kedua-dua negara,'' katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Gangchuan di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Najib yang juga Menteri Pertahanan menambah, dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Gangchuan turut membangkitkan cadangan supaya tentera laut kedua-dua negara mengadakan latihan tidak rasmi membabitkan elemen bukan ketenteraan seperti usaha mencari dan menyelamat.

``Sebagai contoh, apabila kapal kita melawat ke negara China, boleh diadakan latihan kecil berhubung dengan mencari dan menyelamat.

``Begitu juga kalau mereka mengadakan lawatan ke negara kita, kapal-kapal mereka boleh mengadakan latihan mencari dan menyelamat,'' katanya.

Mengenai perolehan sistem persenjataan, beliau berkata, pertemuan tersebut tidak membincang secara spesifik bentuk perolehan yang boleh dilakukan.

``Tetapi China mengalu-alukan apa-apa sahaja pertimbangan berhubung perkakas ketenteraan antara kedua-dua negara,'' katanya.

Beliau menambah, Menteri Pertahanan China itu juga mencadangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus membabitkan diri sebagai pemerhati dalam latihan ketenteraan yang diadakan oleh republik itu.

China juga, katanya, sedia menimbang untuk menyediakan tempat bagi pegawai tentera Malaysia mengambil bahagian dalam kursus formal yang dianjurkan oleh negara itu.

Dalam pertemuan itu, Gangchuan turut menjelaskan beberapa perkara membabitkan isu dalaman republik itu termasuk hubungannya dengan Taiwan.

Menteri berkenaan yang tiba di sini hari ini, mengetuai delegasi 19 orang untuk lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN