Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 24/03/2006
Adi Putra mungkin dibuang sekolah

Adi Putra mungkin dibuang sekolah

IPOH 23 Mac - Murid yang memiliki kepintaran luar biasa dalam bidang Matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 7, (kiri) menghadapi kemungkinan dibuang sekolah selepas menerima surat amaran dan surat tunjuk sebab kerana terlalu kerap tidak hadir ke sekolah.

Ibunya, Serihana Elias, 31, ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau telah menerima surat daripada guru besar Sekolah Kebangsaan Matang Buluh, Bagan Serai mengenai kemungkinan Adi Putra dibuang sekolah berikutan masalah disiplin tersebut.

Bekas guru itu berkata, masalah berkenaan timbul berikutan sikap Adi Putra yang enggan ke sekolah kerana bosan terpaksa belajar ilmu asas Matematik serta mengikut sukatan mata pelajaran membaca, menulis dan mengira (3M) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Adi Putra yang sudah boleh membaca surat khabar pada usia empat tahun dan mempunyai formula tersendiri untuk menguasai 3M memberitahu ibunya, selepas lebih tiga bulan bersekolah dia baru diajar angka sembilan sedangkan dia sudah mampu menyelesaikan soalan yang mencecah angka trilion.

``Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan kami terlalu mengeksploitasi Adi Putra dengan membawanya ke sana ke mari tetapi hakikatnya dia sendiri yang sudah banyak kali beritahu yang dia sudah terlalu bosan ke sekolah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Adi Putra yang berada di sebelah ibunya ketika disoal pemberita memberitahu, dia lebih berminat untuk belajar di Sekolah Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur, mengikuti kursus bahasa Cina, Inggeris, Jepun, Arab dan Perancis serta belajar tahfiz al Quran berbanding belajar di dalam Tahun Satu seperti sekarang.

Adi Putra yang hanya ke sekolah antara dua hingga tiga kali seminggu berkata, dia hanya berminat ke sekolah apabila terdapat aktiviti pendidikan jasmani.

Bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahab, 48, merayu Kementerian Pelajaran supaya memberi pelepasan kepada Adi Putra untuk bersekolah di Sekolah Islam Antarabangsa atau sekolah pintar swasta bagi memberinya peluang mengikuti pembelajaran secara lebih fleksibel seperti yang dicadangkan oleh tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN