|
KUALA LUMPUR 21 Mac - Cadangan Kementerian Pelajaran bagi mengurangkan mata pelajaran dalam peperiksaan awam mampu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negara ini.
Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Malaysia (PKPPM) melihat langkah tersebut membolehkan pelajar dan guru menumpukan kepada mata pelajaran yang mampu membangunkan modal insan.
Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng berkata, sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan bersama dengan satu lagi cadangan iaitu tumpuan kepada mata pelajaran kemahiran maka hasrat untuk membangunkan modal insan di negara ini akan tercapai.
``Sudah sampai masa untuk sistem pendidikan negara dikaji semula agar ia lebih tertumpu kepada pembangunan sahsiah diri bagi membekalkan modal insan yang diperlukan negara.
``Cadangan Kementerian Pelajaran adalah baik dan NUTP menganggapnya sebagai sesuatu yang positif,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, sistem pendidikan yang ada sekarang dipenuhi lambakan mata pelajaran yang membebankan guru dan pelajar.
Malah katanya, ibu bapa turut meletakkan harapan yang tinggi kepada anak-anak mereka untuk mengambil mata pelajaran yang banyak.
Sederhana
``Kalau itu dilakukan kepada kumpulan pelajar cemerlang tidak apa tetapi kalau ia melibatkan pelajar sederhana dan lemah sudah pasti ramai yang tercicir,'' ujarnya.
Bagaimanapun katanya, penggantian sistem penggal kepada semester walaupun dianggap positif tetapi masih memerlukan kajian lanjut.
Menurutnya, semester persekolahan perlu diselaraskan dengan semua institusi pengajian tinggi dan ia perlu dipastikan agar tidak menjejaskan musim peperiksaan pelajar.
``Sebelum ini sudah ada pihak yang mencadangkan agar sekolah menggunakan sistem semester kerana faedah segera yang boleh ditunjukkan ialah lebih ramai keluarga boleh luangkan masa bersama,'' jelasnya.
Namun katanya, NUTP tetap mahukan satu kajian menyeluruh dilakukan terhadap penggantian sistem cuti berkenaan.
Kementerian Pelajaran sebelum ini bercadang untuk mengkaji semula sistem penilaian yang dilaksana oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebagai langkah awal bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak lagi terlalu berorientasikan peperiksaan.
Kajian di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan itu turut mencadangkan agar sistem penggal digantikan dengan sistem semesta di samping mengurangkan mata pelajaran yang perlu diambil dalam peperiksaan awam.
Sementara itu, Yang Dipertua PKPPM, Azam Atan berkata, cadangan pengurangan mata pelajaran peperiksaan sudah lama dilaksanakan di beberapa negara maju dan ia terbukti berkesan.
Sistem tersebut katanya, mampu mengimbangi antara pencapaian ilmiah, jati diri serta kemahiran lain dalam diri pelajar itu sendiri.
``Memang pelajar yang pencapaiannya seimbang dalam semua aspek yang kita mahu bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan,'' katanya.
IKLAN@UTUSAN
|