|
KUALA LUMPUR 14 Mac - `Belum kak! Demi Allah'. Demikian jawapan ringkas daripada pihak Siti Nurhaliza mengenai gosip terbarunya yang dikatakan telah bernikah dengan ahli korporat, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh kakak ipar penyanyi tersohor itu, Rozi Abdul Razak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Malah Siti Nurhaliza yang ditemui selepas sidang akhbar Minggu Setiausaha Hotel Quality di sini agak terkejut apabila diajukan soalan mengenai gosip terbarunya itu.
``Siti nampak macam dah kahwin ke? Orang yang buat cerita tu, orang tak betul. Tak benar sama sekali,'' katanya.
Siti Nurhaliza berkata, sejak timbul pelbagai gosip mengenai dirinya dengan Datuk K, dia merasa tertekan.
``Jangan ambil kesempatan... Dan jangan paksa Siti mengulas atau membuat kenyataan tentang perkara yang belum tiba masanya.
``Seperti yang Siti beritahu berkali-kali sebelum ini, apabila tiba waktunya, Siti akan umumkan kepada semua,'' jelasnya.
Pernikahan Siti Nurhaliza-Datuk K merupakan gosip terkini yang hangat diperkatakan apabila penyanyi nombor satu negara itu membuat kenyataan terbuka baru-baru ini mengenai hatinya sudah dimiliki.
Biarpun tidak menyatakan identiti lelaki pilihannya tetapi banyak pihak mengaitkannya dengan Datuk K.
Siti Nurhaliza bagaimanapun tidak pernah menganggap gosip hangat yang melanda dirinya kini mengganggu kerjayanya.
Malah baginya, gosip adalah satu perkara biasa yang perlu ditempuh setiap insan bergelar artis.
``Siti profesional... Bagi Siti kerjaya dan gosip tidak perlu dicampuradukkan. Gosip itu adalah sebahagian asam garam kehidupan artis.
``Erra dan Ziana sendiri pernah melalui pengalaman seperti ini sebelum mereka berumah tangga.
``Malah Siti sendiri tidak merasakan gosip yang melanda, akan membuat peminat Siti lari kerana Siti percaya mereka tetap memandang bakat seorang penyanyi,'' jelasnya.
Ditanya reaksi keluarganya yang dikatakan tidak merestui hubungannya dengan Datuk K, Siti tenang memberitahu: ``Orang boleh cakap apa saja tapi yang betul (apa yang berlaku), hanya Siti dan keluarga sahaja yang tahu.
``Sehingga hari ini mereka masih menyokong Siti dan Siti pun setiap minggu masih pulang ke kampung,'' ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|