|
KUALA LUMPUR 9 Mac - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat pekerja swasta patut diberi elaun kos sara hidup (Cola) berikutan peningkatan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi MTUC, Shafie BP Mammal berkata, tuntutan itu juga selaras dengan pemberian elaun yang sama kepada kakitangan awam sejak Januari lalu.
``Kenaikan harga petrol dan gas cecair memberi impak besar kepada perbelanjaan harian pekerja berpendapatan rendah terutama di bandar-bandar besar,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, inilah masa paling sesuai majikan syarikat swasta tampil ke hadapan untuk membantu pekerja.
``Cola bukan tuntutan gaji, pekerja swasta berhak menikmati elaun yang sama seperti kakitangan awam,'' ujarnya lagi.
Shafie berkata, cadangan agar pekerja swasta turut diberikan Cola dibuat melalui mesyuarat MTUC minggu lalu.
Sehubungan itu, MTUC telah mengarahkan ahlinya mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen seluruh negara untuk menandatangani memorandum yang bakal diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat ini.
Kakitangan awam Gred 1 hingga Gred 54 mula menikmati Cola antara RM50 dan RM150 sebulan sejak 1 Januari lalu mengikut kawasan tempat berkhidmat setelah diumumkan Perdana Menteri melalui Bajet 2006.
Cola pernah dibayar kepada kakitangan awam sekitar tahun 1970-an untuk menampung kos saraan hidup bekerja di kawasan bandar.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|