VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Ogos 2014 / 3 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 05/03/2006

Susu dan pemakanan bayi

SOALAN: Saya tidak mempunyai masalah dalam menyusukan anak, cuma anak saya hanya cenderung untuk menyusu sebelah payu dara sahaja, iaitu kiri. Apabila saya menyusuinya di sebelah kanan, anak saya sering menangis seakan-akan tidak selesa. Akibatnya payu dara saya sebelah kanan lebih kecil daripada sebelah kiri.

Jawapan: Lazimnya, bayi akan menyusu daripada kedua-dua belah payu dara. Tetapi ada juga bayi yang hanya memilih untuk menyusu daripada satu payu dara sahaja. Ini mungkin disebabkan oleh rasa tidak selesa apabila menyusu daripada payu dara sebelah kanan anda.

Mungkin pada permulaan penyusuan bayi rasa sakit berpunca daripada kelahiran vakum atau kecederaan di bahagian kanan kepala. Tetapi anda harus meyakini bahawa pengeluaran susu daripada satu payu dara sahaja sudah mencukupi untuk tumbesarannya.

Ini dapat dipastikan daripada berat badannya yang meningkat seperti biasa di rajah tumbesaran. Anda harus memerah susu daripada payu dara belah kanan supaya pengalirannya tidak menurun dan susu yang diperah boleh diberi kepada bayi dengan cara cup-feeding (menggunakan cawan).

Seorang pakar laktasi boleh membantu anda untuk memastikan kedudukan bayi yang selesa di bahagian kiri dan kanan dan menentukan kedudukan dan dakapan yang baik. Jika anda masih ragu, sila berjumpa dengan pakar pediatrik ataupun pakar laktasi untuk keterangan lanjut.

Soalan dijawab oleh Dr. Musa Mohd. Nordin, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Laktasi, Persatuan Pediatrik Malaysia

Pilih sayur-sayuran dan buah-buahan

S: Saya mempunyai seorang anak perempuan berumur 2 tahun 10 bulan. Saya memberinya susu tepung untuk kanak-kanak berumur 1 hingga 3 tahun, namun saya dapati dia sering mengalami sakit perut tetapi tidak pula membuang air besar.

Najisnya kelihatan gelap serta sedikit keras dan ada kalanya keras sehinggakan dia menangis apabila ingin membuang air besar. Dia juga mengambil masa sehingga sejam untuk membuang air besar.

Adakah ini bermakna dia tidak sesuai dengan susu tersebut? Apakah cara lain bagi saya menggantikan susu tersebut jika tidak sesuai kerana dia tidak berminat dengan susu tepung berperisa biasa? Adakah sesuai jika saya memberinya minum susu pekat manis dicampurkan dengan minuman malt coklat? Jika boleh, apakah sukatan yang sesuai?

J: Menurut apa yang anda ceritakan, nampaknya anak anda sedang mengalami sembelit. Sekiranya ini memang merupakan masalah anda, punca masalah tersebut mungkin bukan susu yang anak anda minum, tetapi dia tidak cukup memakan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Suapkan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran pada waktu makan dan semasa memakan snek. Jadikan buah-buahan dan sayur-sayuran tersebut menarik dan senang dimakan dengan memotongnya kepada kepingan-kepingan kecil yang berbentuk istimewa, lalu menyusun kepingan tersebut supaya kelihatan menarik.

Dari umur satu tahun ke atas, anak boleh diberi susu lembu biasa (penuh krim). Susu biasa tidak semestinya diminum asing daripada bahan-bahan lain. Anda boleh menggunakan alat pengisar untuk mencampurkan susu dengan buah-buahan yang telah disimpan dalam peti beku misalnya anggur, pisang dan mangga untuk mendapat minuman smoothie yang sedap.

Susu biasa juga boleh dicampur dengan minuman malt coklat. Susu pekat manis tidak disyorkan untuk minuman seharian kerana kandungan gulanya yang amat tinggi.

Adalah lebih baik jika anak anda tidak dibiasakan dengan rasa manis yang diperoleh daripada penambahan gula. Dia boleh mendapat khasiat dan tenaga yang mencukupi daripada makanan semula jadi tanpa gula tambahan.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia

Awasi garam dalam makanan bayi

S: Mengapakah garam tidak sesuai ditambah pada makanan bayi dan sampai umur berapakah makanan yang ditambah garam seperti sup sesuai untuk diberi kepada bayi? Ini kerana, ramai kawan-kawan saya yang mempunyai anak, menjadi kemestian meletakkan garam pada menu harian bayi mereka.

Adakah garam memudaratkan tumbesaran bayi atau terdapat kesan sampingan lain? Harap pihak tuan/puan dapat menjelaskan kepada saya dengan lebih terperinci.

J: Buah pinggang bayi dan anak kecil belum cukup matang lagi untuk memproses garam yang berlebihan daripada makanan. Jika anak memakan garam yang berlebihan, dalam jangka panjang, buah pinggang anak mungkin mengalami kerosakan yang tidak boleh dibaiki.

Walaupun garam merupakan nutrien penting dan diperlukan oleh badan manusia, ia terdapat dalam jumlah yang mencukupi dalam susu ibu, nasi dan kebanyakan makanan yang biasa diberi kepada bayi. Oleh itu, jangan tambah garam atau bahan perisa buatan yang lain kepada makanan bayi.

Kemestian untuk menambah garam bergantung pada kesukaan peribadi seseorang. Untuk anak-anak yang melebihi umur setahun, makanan mereka boleh ditambah garam, tetapi dalam jumlah yang sedikit sahaja.

Cuba kurangkan kandungan garam dalam makanan anak-anak (dan ahli-ahli keluarga yang lain) secara beransur-ansur, dan selepas lebih kurang seminggu, anda akan mendapati bahawa kebanyakan makanan sudah cukup sedap tanpa ditambah garam.

Jika didapati makanan tidak cukup berasa, gunakan perisa semula jadi seperti jus limau dan rempah untuk mempelbagaikan rasa makanan tersebut. Ingat! Jangan sekali-kali menambah garam kepada makanan bayi. Penambahan garam pada makanan bayi akan membahayakan kesihatan bayi.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon

Pilih susu formula bayi

S: Saya baru sahaja melahirkan anak lelaki pada bulan November tahun lepas. Saya tidak pernah menyusukan anak saya, sebaliknya saya hanya memberinya susu formula bayi. Kini, anak saya berumur tiga bulan. Saya mula menghantar anak saya ke rumah pengasuh sejak dia berumur dua bulan.

Adakah anak saya (tiga bulan) boleh disuapkan dengan air nasi bubur? Patutkah saya mengejutkannya di tengah malam untuk meminum susu, padahal anak saya masih tidur dan tidak menangis?

J: Bayi di bawah umur enam bulan seharusnya diberikan susu ibu sahaja. Jika anda tidak mampu menyusukan anak kerana sebarang sebab yang tidak dapat dielakkan, pastikan bahawa si bayi diberi hanya susu formula bayi yang sesuai untuk umur si bayi.

Susu tersebut mesti dicampurkan dengan air masak suam mengikut arahan pada tin susu dengan teliti. Sebelum bulan keenam, elakkan daripada memberi sebarang minuman yang lain kepada bayi asalkan mengikut nasihat doktor.

Bayi anda tidak perlu dikejutkan untuk meminum susu pada waktu malam, asalkan dia menyusu dengan cukup pada waktu-waktu yang lain dan berat serta panjang badannya adalah normal untuk umurnya.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon

Bayi membesar pada kadar berbeza

S: Saya mempunyai seorang bayi berusia tujuh bulan yang menghisap susu tepung sepenuhnya sejak berusia dua bulan memandangkan saya tidak mempunyai banyak susu.

Saya telah mula memberikan makanan bijirin kepadanya sebagai makanan harian di samping susu tepung. Namun berat badannya tidak terlalu berat di mana beratnya hanya 6.5 kilogram pada usia mencecah tujuh bulan. Tolong beri nasihat.

J: Bayi selalunya akan mencapai dua kali berat lahir pada umur lima hingga enam bulan. Sekiranya berat lahir anak anda adalah 2.5 kg, 6.5 kg adalah sesuai dengan kadar pertumbuhan anak yang berumur tujuh bulan.

Ingat, setiap bayi membesar pada kadar yang berbeza-beza dan jika anak anda kecil, ini tidak semestinya bermakna dia tidak sihat. Dapatkan nasihat daripada pakar pediatrik mengenai kadar pertumbuhan anak anda.

Mulai umur enam bulan, bayi harus mendapatkan makanan lain selain daripada susu ibu atau formula. Mulakan dengan bijirin bayi yang berasaskan bijirin beras dan puri buah-buahan atau sayur tunggal.

Pada umur tujuh bulan, bayi sudah boleh disuap bubur nasi yang dimasak bersama sayuran seperti lobak merah ataupun bayam yang dicincang halus. Pada umur lapan bulan, makanan bayi boleh ditambah dengan cebisan ikan. Untuk maklumat lanjut, anda boleh dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan, pakar diet atau pakar pediatrik.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon

Sila hantar soalan anda yang berhubungan dengan kesihatan anak, pemakanan dan penjagaan kesihatan semasa hamil kepada Sekretariat Positive Parenting, c/o VersaComm Sdn Bhd 12-A, Jalan PJS 8/4, Mentari Plaza, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya, Selangor atau e-mel info@mypositiveparenting.org

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.