VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 26/02/2006

Sindrom bayi biru

DOKTOR,
SAYA merupakan seorang ibu muda yang baru melahirkan anak sulung pada 27 Disember 2005. Sewaktu dilahirkan, bayi perempuan saya berada dalam keadaan sihat walafiat dan disahkan normal.

Akan tetapi setelah 20 hari, keadaan bayi saya berubah. Bibirnya bertukar kehitaman, muka menjadi pucat dan sukar bernafas.

Setelah melakukan pemeriksaan lanjut di sebuah hospital, doktor pakar kanak-kanak di hospital berkenaan telah mengesahkan bahawa bayi saya menghidap sejenis penyakit kronik yang dikenali sebagai Complex Cyanostic Heart Disease dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Harapan untuk hidup amat tipis. Saya amat terkejut dan berasa sungguh sedih dengan berita ini kerana sepanjang mengandungkannya, saya tidak menghadapi sebarang masalah.

Namun Allah lebih sayangkan bayi saya itu. Pada 25 Januari 2006, bayi saya meninggal dunia. Saya mempunyai beberapa kemusykilan dan memohon jasa baik doktor untuk menjelaskan tentang beberapa perkara.

Boleh doktor jelaskan mengenai penyakit tersebut, apakah faktor penyebab serta rawatan yang akan diberikan terhadap para pesakit ini? Adakah ia mempunyai kaitan dengan jenis darah ataupun bersifat keturunan?

Kenapakah semasa pemeriksaan bulanan untuk ibu mengandung, pegawai perubatan tidak dapat mengesan apa-apa yang tidak normal pada kandungan saya?

Semoga, melalui ruangan ini, saya akan mendapat gambaran yang jelas mengenai penyakit ini hasil daripada penerangan yang akan diberikan nanti selain dapat memberikan informasi berguna kepada para pembaca lain, khususnya ibu-ibu muda seperti saya.

Serasakan tidak sabar saya membaca ruangan Tanya Dr. Salam@Kesihatan yang akan datang. Semoga rindu saya terhadap arwah anak saya, Nur Rasyiqa Aqila terubat jua. Bagaikan baru semalam melahirkan anak ibu, dan secepat itu dia meninggalkan saya.

Rasa terkilan yang amat sangat kerana saya lambat mengesan dan menyedari penyakit tersebut. Mungkin kerana kurang membaca dan mengambil tahu informasi berkaitan penyakit tersebut.

Jangan biarkan pembaca lain mengalami nasib yang sama seperti saya. Bukakanlah minda mereka dengan maklumat-maklumat kesihatan yang berguna dalam kehidupan mereka.

Kepada doktor berkenaan khasnya, saya ucapkan setinggi terima kasih kerana meluangkan masa dan berkongsi kepakaran beliau. - RINDU RASYIQA, Senawang.

Apakah dia kecacatan jantung kongenital?

Congenital heart defect atau kecacatan jantung kongenital adalah masalah yang berkaitan dengan pembentukan jantung bayi. Kongenital bermakna masalah jantung yang terjadi sebelum atau pada masa kelahiran.

Kebanyakan kecacatan jantung kongenital melibatkan pengaliran darah melalui jantung yang tidak normal, struktur jantung yang tidak normal atau melibatkan saluran-saluran darah utama berhampiran jantung seperti aorta, arteri pulmonari dan vena pulmonari.

Terdapat berbagai-bagai jenis kecacatan jantung kongenital. Ada di antaranya yang mudah seperti lubang pada dinding jantung ataupun injap jantung yang tidak terbentuk dengan biasa. Ada juga yang lebih kritikal dan kompleks seperti injap jantung yang langsung tidak terhasil atau sebahagian jantung yang tidak terbentuk.

Penyakit jantung sianotik

Penyakit jantung sianotik berlaku apabila terhasil percampuran darah yang kaya dengan oksigen dengan yang tidak beroksigen.

Bayi-bayi yang mengalami masalah ini lazimnya kelihatan biru pada bahagian kuku dan bibir disebabkan oleh kekurangan darah yang beroksigen di dalam sistem atau juga dikenali sebagai sindrom bayi biru.

Dalam keadaan normal, darah dari bahagian kanan jantung yang kurang oksigen dibawa ke paru-paru melalui arteri pulmonari di mana proses pengoksigenan darah berlaku, dan kemudiannya kembali ke bahagian kiri jantung melalui vena pulmonari. Dari sana, ia dipam ke seluruh badan melalui arteri utama, aorta.

Dalam kes penyakit jantung sianotik, terdapat laluan lain (pintasan) yang membawa darah yang kurang oksigen dari bahagian kanan jantung, terus ke bahagian lain badan.

Percampuran darah yang kurang oksigen di bahagian kanan jantung dan yang kaya dengan oksigen di bahagian kiri boleh berlaku dalam beberapa cara.

* Jika terdapat lubang pada dinding jantung

* Masalah pada saluran darah utama jantung iaitu arteri pulmonari, vena pulmonari dan aorta dari segi posisi mereka di jantung atau dari segi pembentukan dan fungsi saluran-saluran tersebut

* Bahagian bahagian jantung yang tidak berfungsi atau terbentuk dengan tidak normal.

Penyakit jantung sianotik yang kompleks lazimnya mempunyai beberapa kombinasi di atas.

Penyebab/punca

Dalam kebanyakan kes, puncanya tidak diketahui. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko.

* Jika ibu bapa dan ahli keluarga mempunyai masalah jantung

* Jika ibu mengandung mengambil minuman beralkohol, ubat-ubatan tertentu (over the counter drugs) atau terlibat di dalam penyalahgunaan dadah

* Jika bayi dilahirkan pramatang atau mempunyai keadaan sindrom genetik seperti sindrom down

* Jika ibu mengandung mengalami masalah diabetes/kencing manis atau terdedah kepada virus seperti rubela.

Bagaimana dikesan/diagnosis

Kecacatan kebanyakannya dikesan selepas lahir atau dalam bulan-bulan pertama bayi.

Bayi mungkin mengalami masalah penyusuan, tumbesaran dengan baik, cepat letih atau sukar bernafas. Semasa pemeriksaan, mungkin terdengar denyutan atau bunyi daripada jantung yang tidak normal.

Tanda-tanda pertama yang mungkin kelihatan adalah kebiru-biruan pada bibir dan kuku.

Kajian ultrasound secara berkala semasa mengandung boleh menunjukkan jika terdapat masalah dengan struktur jantung.

Bagaimanapun, ada juga masalah jantung lain yang tidak dapat dikesan dan ini hanya boleh dikenal pasti melalui ujian ultrasound yang lebih spesifik iaitu dengan menjalani imbasan anomali fetal.

Rawatan

Rawatan bergantung kepada jenis kecacatan. Ubat-ubatan mungkin diberikan bagi membolehkan jantung berfungsi dengan lebih baik di samping bertujuan mengawal simptom, sementara kecacatan diperbaiki.

Bayi yang mengalami penyakit jantung sianotik kompleks mungkin memerlukan beberapa pembedahan jantung terbuka. Ini mungkin dilakukan dengan segera ataupun berperingkat-peringkat bergantung jenis kecacatan.

Ia mungkin ditangguhkan sehingga bayi lebih stabil atau kuat untuk menahan tekanan pembedahan. Dalam sesetengah kes, bayi tersebut mungkin memerlukan beberapa pembedahan yang berbeza dalam tempoh tumbesarannya.

Soalan dijawab oleh Pakar Runding Pediatrik, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.