|
KISAH lirik lagu Gemilang belum lagi habis diperkatakan. Minggu lepas penulis lirik, Loloq secara berterus terang mencurahkan rasa kurang senangnya kepada lirik lagu yang diangkat sebagai Juara Lagu baru-baru ini.
Kata Loloq kepada Pancaindera, lirik lagu yang dihasilkan oleh Asmin Mudin itu tidak mencapai piawaian.
Penulis lirik yang bersubang di telinga itu juga hairan dan mempersoalkan, bagaimana lagu berkenaan boleh muncul sebagai juara di acara anugerah paling berprestij itu. Saya bertemu dengan Asmin Mudin sendiri untuk mendengar komennya pula mengenai kenyataan Loloq itu. Malangnya ketika temu bual kami, Asmin belum pun membaca komen yang dikeluarkan oleh Loloq.
Komposer dan penulis lirik lagu Kau Ilhamku dan Anggapanmu ini bagaimanapun menegaskan dia mempunyai hak untuk berkreatif dengan caranya yang tersendiri. “Saya tidak akan mengikut atau meniru cara orang lain,” katanya kepada saya dalam pertemuan hampir satu jam ini.
Banyak lagu dan lirik ciptaan Asmin sebelum ini mengecap populariti termasuklah Kau Ilhamku (Man Bai), Anggapanmu (Ziana Zain) dan Ratu (Sheila Majid).
Bekas guru yang sedang mendalami bidang Persembahan Pentas di Universiti Malaya ini bagaimanapun tetap berbangga dengan pencapaian Gemilang yang dikatakan mampu membangkitkan rasa patriotik dalam diri seseorang. Itu pandangan peribadinya.
Adakah ini lirik pertama yang menang tahap setinggi ini?
Ya, yang pertama. Dulu Kau Ilhamku ada juga masuk Juara Lagu, tapi tak menang macam ini. Gemilang bawa makna tersendiri kepada saya.
Tetapi Gemilang diberikan komen negatif selepas muncul Juara Lagu? Ada yang kata lirik tak kuat, lirik tidak puitis?
Kalau persoalkan soal puitis skopnya sangat sempit. Saya lebih suka bercakap soal yang lebih besar.
Tetapi itulah yang diperkatakan tentang Gemilang, sebuah lagu yang baik, tetapi liriknya teruk. Sebagai penulis lirik apa yang saudara rasa?
Kepada saya, saya bukan orang yang buat kerja seni untuk seni. Saya terlibat dalam muzik industri, pop dan komersial kerana menganggap ia adalah satu komoditi.
Maksudnya?
Karya seni adalah barang yang diterima dalam pasaran. Ia disukai oleh masyarakat dan diterima kepada hidup mereka. Macam Gemilang, dua minggu lepas saya balik kampung ia digunakan di sekolah, dimainkan dalam majlis ilmu. Ada sekolah sampai ubah nama kelas kepada Gemilang. Impaknya sampai jadi macam itu. Dan ada juga se-
orang kawan saya, kaunselor dia gunakan lagu ini dalam sesi motivasinya. Maknanya masyarakat boleh faham apa yang disampaikan dalam Gemilang. Cukuplah bagi saya.
Komen yang mengatakan ia tidak puitis, bahasanya tidak baik?
Yang hendak cakap dari segi bahasa, estetika puitis dan sebagainya, itu adalah persoalan lama. Atau dalam lain bahasa persoalan yang sangat sempit. Semasa Aubrey menulis lagu ini, dia membayangkan kegemilangan. Ia akan dinyanyikan oleh Jack dan Dina untuk konsert akhir Malaysian Idol pertama. Kami buat khusus untuk acara itu. Tetapi saya kena hasilkan lirik yang bukan hanya segar di majlis itu sahaja. Ia perlu merentasi masa dan memainkan fungsi kepada masyarakat.
Saudara kata karya adalah komoditi, apakah faktor duit menjadi soal utama saudara berkarya?
Bila bahan komoditi, ia adalah bahan untuk dagangan. Selebihnya juga lirik perlu punya tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Itu pun faktor yang penting juga. Memang muzik satu komoditi. Tetapi tidak bermakna semuanya untuk wang. Kita kena bagi sesuatu kepada masyarakat juga.
Bagaimana anda menerima kritikan mengatakan lirik lagu ini teruk, kabur dan tidak indah?
Orang itu komen sebab dia punya alasan sendiri. Apa alasan dia itu hak dialah. Juara Lagu sudah lepas, keputusan sudah dibuat. Walaupun ada pihak yang mengatakan ia adalah anugerah untuk menghargai komposer, penulis lirik dan penyanyi, hakikatnya penulis lirik diberikan tempat tercorot. Kalau duduk di tempat tercorot kita tak bolehlah letakkan diri di atas. Kalau bising-bising pun kita tetap tercorot. Apa gunanya bising? Orang letakkan lirik dalam soal paling akhir. Untuk saya lirik bukan sekadar kata-kata. Lirik bukan sekadar estetika atau mainan bahasa. Bukan juga permainan ‘sahiba'. Lirik lebih daripada itu. Apa yang mustahak ialah biarkan lirik difahami dan beri fungsi kepada masyarakat. Kalau kecoh lebih pun, kita hanya di tempat tercorot buat apa?
Setiap penulis lirik ada karakter masing-masing dalam persembahan gaya bahasa. Saudara macam mana?
Memang betul setiap penulis lirik punya karakter sendiri. Kalau seorang penulis lirik hendak penulis lirik lain bawa gaya yang sama dengannya, saya tak boleh terima. Engkau, engkaulah. Aku, akulah.
Ada orang anggap lirik yang sukar difahami itu lirik yang puitis. Adakah saudara bersetuju?
Kalau kerjaya kita membuat sesuatu karya yang sampai tak difahami oleh orang ramai, saya beranggapan orang itu sangat suka hati. Kenapa? Sebab dia berjaya membuat satu perkara yang orang tak faham dan orang akan letakkan dia di tahap yang hebat. Memanglah dia hebat sebab orang lain tak faham hanya dia yang faham (ketawa).
Pada saya mudah saja. Macam kita buat satu perkara yang orang tak faham atau difahami oleh segelintir orang itu maknanya anda telah mengelirukan. Kasihan masyarakat lain sebab anda telah meletakkan mereka dalam keadaan yang keliru. Selepas orang beli karya anda, anda dapat royalti daripadanya anda biarkan mereka terus dalam kekeliruan. Adilkah?
Dan anda memilih untuk tidak terus membiarkan peminat keliru dengan bahasa yang bombastik atau puitis yang sukar difahami?
Ya, biarlah saya buat satu perkara yang difahami orang. Mereka bayar saya untuk buat karya. Jadi selepas itu barulah kita dapat rasa kita sudah lakukan sesuatu untuk masyarakat.
Jadi saudara tidak menerima skeptikal kepada Gemilang itu?
Bukan saya tidak terima, tetapi ia sudah lepas. Dulu lagi kita sepatutnya kena fikirkan. Sekarang kita sudah jauh ke depan. Gemilang lahir dari kekuatan yang diangkat oleh masyarakat. Gemilang lahir dari sebuah rancangan televisyen realiti, Malaysian Idol. Ia kemudian menjadi juara di Juara Lagu. Maknanya perjalanan Gemilang dikongsi dengan masyarakat sedari awal lagi. Kalau kita terlibat dalam sesuatu lagu, kita kena faham kita disokong oleh lagu itu. Jadi kalau anda ambil jalan sendiri, kata macam-macam maknanya anda tidak mempedulikan pandangan masyarakat yang menyokong Gemilang selama ini.
Betulkah saudara hanya menterjemahkan semula lirik dari bahasa Inggeris yang ditulis oleh Aubrey sendiri?
Saya memang terjemahkan semula. Tetapi dengan bahasa dan perkataan sendiri. Semangat lirik Aubrey itu masih ada, tetapi pilihan perkataan saya sendiri tanpa lari dari maksud asal. Saya pun hendak lari dari apa yang telah dicurahkan oleh Aubrey.
Adakah saudara anggap kritikan terhadap Gemilang adalah serangan peribadi terhadap saudara atau Aubrey sendiri?
Saya tak boleh komen. Orang yang komen itu ada alasan sendiri. Itu hak dia untuk bercakap. Saya tidak terguris. Ini berkaitan dengan gaya penulisan. Juga prinsip saya buat karya sebagai komoditi. Apa orang lain cakap, saya tak terguris langsung. Dia punya gaya, prinsip atau fahaman dia sendiri buatlah. Saya ada fahaman saya sendiri. Cakap hal bahasa soal kecil, kita kena fikir apa yang hendak buat selepas sesuatu karya diterbitkan.
IKLAN@UTUSAN
|