Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 23/02/2006
`Kami sanggup buktikan tidak dera anak'

`Kami sanggup buktikan tidak dera anak'

KULIM 22 Feb. - Pasangan suami isteri, Mohd. Jasni Abidin dan Siti Rufina Alias yang kematian anak mereka semalam dipercayai didera menegaskan, mereka sanggup ke muka pengadilan bagi membuktikan mereka tidak melakukan penderaan itu.

Mereka menyifatkan dakwaan bahawa Puteri Alia, 2, meninggal dunia akibat didera benar-benar melukakan hati mereka dan ahli keluarga.

Bagi Siti Rufina, 26, dakwaan tersebut adalah satu penghinaan kepada seluruh ahli keluarganya yang selama ini mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi kepada anaknya itu.

``Ia (dakwaan) seolah-olah menuduh saya membunuh anak saya, hati ibu mana yang sanggup terima apabila dituduh membunuh anak sendiri.

``Saya mungkin tidak menjaganya dengan sempurna tapi tidak adil untuk mengatakan saya menderanya sehingga dia mati, itu anak saya dan saya menyayanginya.

``Kami sekeluarga tidak mahu maruah kami dicemari dengan tuduhan sebegini, ia keterlaluan dan kami sanggup buat apa saja untuk buktikan kami tidak sekejam itu,'' katanya ketika ditemui selepas pengkebumian anaknya di sini semalam.

Puteri Alia, yang juga kanak-kanak sindrom Down meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP) sembilan hari selepas dimasukkan ke hospital itu dipercayai akibat didera.

Pakar Patologi HPP, Dr. Bhupinder Singh berkata, berdasarkan kecederaan pada kepala mangsa, beliau berpendapat kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa dera dan bukan disebabkan terjatuh dari sofa dan terhentak ke lantai seperti didakwa keluarganya.

Siti Rufina berkata, pada 12 Februari lalu, anaknya itu menggigil dengan kuat sebaik sahaja terjatuh dari sofa di rumahnya sehingga memaksanya memegang dengan kuat tubuh kecil anaknya itu.

Katanya, dia mula panik apabila Puteri Alia tidak berhenti menggigil selama 10 minit sebelum pengsan.

Beliau kemudiannya bergegas meminta pertolongan jiran untuk menghantar anaknya itu ke hospital.

``Selepas kira-kira empat jam diberi rawatan di Hospital Kulim, anak saya dibawa ke HPP dan saya terkejut dan kecewa bila diberitahu anak saya mati kerana didera,'' jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Jasni, 35, berkata, beliau dan ahli keluarganya yang lain sedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya itu.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN