VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 05/02/2006

Kebaikan vaksin mengatasi kesan sampingan

SOALAN: Saya difahamkan sesetengah vaksin seperti vaksin untuk polio boleh menyebabkan penyakit tersebut dan bukan mencegahnya. Bagaimanakah boleh saya mengetahui jika anak saya berisiko untuk mendapat penyakit tersebut? Adakah lebih selamat jika anak saya langsung tidak mendapat sebarang vaksin?

J: Hampir semua kanak-kanak di negara ini telah menerima vaksinasi terhadap beberapa penyakit yang berbahaya. Dahulu, sebelum terdapatnya vaksin, beribu-ribu kanak-kanak telah menjadi lumpuh setiap tahun akibat polio.

Rubela pula menjadi punca kecacatan kelahiran pada bayi baru lahir dan akhirnya menyebabkan kecacatan mental pada kanak-kanak tersebut. Di samping itu, dahulu difteria merupakan punca utama kematian kanak-kanak sekolah.

Sebelum pengenalan imunisasi Haemophilus influenzae B (Hib) pada tahun 2002, kuman Hib merupakan punca utama penyakit meningitis (jangkitan pada selaput otak) yang telah menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami kecederaan otak yang kekal.

Batuk kokol yang juga dikenali sebagai `penyakit batuk 100 hari' pula telah membunuh ramai kanak-kanak, paling banyak sekali yang berumur di bawah satu tahun.

Sememangnya, kanak-kanak telah mendapat lebih banyak kebaikan daripada vaksinasi berbanding dengan program pencegahan penyakit lain yang terdapat dalam sejarah perubatan.

Kini, oleh sebab vaksinasi begitu berkesan dan sudah hampir membasmi kebanyakan penyakit yang serius, ada sebilangan ibu bapa yang mula bertanya dan memikirkan semula jika ia benar-benar bermanfaat.

Adakah vaksin masih diperlukan? Adakah kebaikannya masih melebihi segala risiko yang dibawanya? Jawapan kepada kedua-dua soalan ini ialah ya.

Sebenarnya, penyakit yang berpunca daripada virus serta bakteria dan boleh dicegah dengan vaksin masih lagi menjangkiti ramai kanak-kanak di negara kita atau dengan mudah boleh menjadi suatu wabak yang berbahaya.

Kita tidak boleh hanya duduk diam dan berpeluk tubuh serta berpuas hati dengan kejayaan menangani penyakit-penyakit berbahaya ini. Sebaliknya, kita perlu sentiasa berwaspada.

George Santayana telah menulis pada tahun 1905: ``Mereka yang tidak ingat akan kesilapan masa silam akan bakal mengulanginya semula'' (Those who cannot remember the past are condemned to repeat it).

Sebenarnya, kita mengambil risiko dalam apa jua yang dilakukan, termasuklah aktiviti-aktiviti yang lazim. Contohnya, kita memakan sarapan pagi walaupun setiap tahun, kira-kira 200 orang mati kerana makanan tersekat dalam trakea (tenggorok). Kita masih lagi melakukannya kerana kebaikannya mengatasi akibat buruknya.

Oleh itu, persoalan yang sebenarnya perlu ditanya mengenai vaksin: Adakah kebaikan vaksin dapat mengatasi segala risiko kesan sampingannya? Cara yang terbaik untuk menjelaskannya adalah dengan menggunakan contoh vaksin yang mempunyai paling banyak kesan sampingan, iaitu vaksin pertusis atau batuk kokol.

Vaksin pertusis yang lama kerap dikaitkan dengan kesan sampingan. Ini mengakibatkan sesetengah ibu bapa enggan memberikan vaksin tersebut kepada anak mereka.

Oleh kerana publisiti negatif tentang vaksin ini, negara Jepun telah berhenti menggunakannya pada tahun 1975. Akibatnya, terdapat 13,000 kes batuk kokol serta 113 kematian. Sebelum tahun 1975, hanya terdapat 400 kes dan tiada seorang pun kanak-kanak yang mati akibat vaksin pertusis!

Ini jelas membuktikan bahawa kebaikan menerima vaksin sememangnya dapat mengatasi segala kesan sampingannya. Kini, ibu bapa tidak perlu runsing memikirkan vaksin yang perlu diberikan kepada anak-anak mereka.

Ini kerana vaksin pertusis yang baru kurang mempunyai kesan sampingan dan boleh diberikan kepada semua kanak-kanak.

Mengenai polio pula, terdapat dua jenis vaksin. Yang pertama adalah vaksin poliovirus di mana virusnya hidup tetapi lemah. Ia biasanya dititiskan ke dalam mulut kanak-kanak (vaksin polio oral atau OPV). Jenis yang kedua pula adalah vaksin poliovirus yang telah mati dan jenis ini biasanya diberikan dalam bentuk suntikan (vaksin polio tidak aktif atau IPV).

Imunisasi lazim secara OPV telah dilakukan di Malaysia sejak tahun 1972. Program ini amat berkesan dan kini tiada sebarang kes polio di Malaysia sejak kes yang terakhir, pada tahun 1985.

OPV telah dipilih untuk digunakan kerana ia amat berkesan, senang diberi, murah dan menyebabkan imuniti seumur hidup. Walaupun demikian, OPV dikaitkan dengan satu kesan sampingan yang amat jarang berlaku tetapi berbahaya.

Lebih kurang satu dalam sejuta kanak-kanak yang diberikan dos pertama mungkin mendapat penyakit tersebut. Ini bermakna kanak-kanak tersebut akan menjadi lumpuh akibat polio. Ini dikenali sebagai Kelumpuhan Poliomielitis Akibat Vaksin (VAPP).

IPV memberikan manfaat yang sama dengan OPV, iaitu keberkesanan serta imunisasi seumur hidup. Tambahan pula, IPV adalah lebih selamat kerana ia tidak menyebabkan VAPP.

Oleh kerana kemajuan dalam teknologi serta cara pengeluaran vaksin, IPV kini boleh diberikan dalam suntikan yang sama dengan vaksin-vaksin lain yang lazim diberikan. Kini satu kombinasi vaksin gabungan IPV dengan vaksin difteria, pertusis, tetanus dan Hib (vaksin lima dalam satu) dapat diberikan dalam satu suntikan sahaja.

S: Saya pernah terdengar bahawa sesetengah vaksin, misalnya vaksin gabungan untuk demam campak/beguk/rubela (MMR) boleh menyebabkan kecederaan otak atau autisme. Bagaimana boleh saya memastikan jika doktor memberi vaksin yang selamat kepada anak-anak saya?

J: Sehingga kini, tiada satu pun bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin kanak-kanak dengan penyakit autisme, kecederaan otak ataupun gangguan perilaku.

Kaitan antara vaksin MMR dengan autisme mula diramal pada tahun 1998 apabila Dr. Wakefield serta rakan sekerja beliau telah menerbitkan satu kertas kerja dalam jurnal perubatan Lancet.

Menurut fakta yang mereka dapati dari hanya 12 orang pesakit, mereka telah membuat hipotesis bahawa MMR merupakan punca kepada masalah usus yang menyebabkan kekurangan penyerapan vitamin serta khasiat-khasiat penting dan seterusnya menyebabkan autisme.

Pada hakikatnya, terdapat banyak kesilapan dalam kajian Wakefield. Antaranya ialah fakta klinikal beliau sendiri tidak menyokong dakwaan beliau mengenai autisme. Sekurang-kurangnya empat orang pesakit mempunyai masalah perilaku atau autisme sebelum mendapat simptom-simptom penyakit radang usus.

Sepuluh daripada 12 penulis asal kertas kerja yang penuh kontroversi tersebut telah menarik balik dakwaan mereka. Pengarang jurnal Lancet pula telah mengeluarkan kenyataan untuk meminta maaf kerana menerbitkan kertas kerja tersebut. Wakefield kini sedang disiasat oleh Majlis Perubatan Am United Kingdom atas hal amalan perubatan yang tidak beretika.

Malangnya, banyak kesan buruk telah timbul daripada penulisan yang tidak berfakta dan bertanggungjawab ini. Ia telah menyebabkan ramai ibu bapa menentang pemberian vaksinasi MMR kepada anak-anak mereka.

Kebanyakan daripada orang awam, termasuk ibu bapa, tidak lagi ingat akan wabak campak yang telah membunuh ramai kanak-kanak; bayi yang dilahirkan cacat akibat daripada rubela serta kanak-kanak yang menjadi cacat pendengaran setelah menghidap beguk. Kita sebenarnya telah menjadi mangsa kepada kejayaan vaksin-vaksin kita.

Pada tahun 1990, seramai 45 juta kanak-kanak menghidap campak dan penyakit ini menyebabkan sejuta kematian. Sebelum adanya vaksin MMR, beguk merupakan sebab utama jangkitan virus di selaput otak (meningitis) dan cacat pendengaran pada kanak-kanak.

Sebelum vaksin rubela diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS), setiap tahun seramai 20,000 kanak-kanak telah dilahirkan dengan Sindrom Kongenital Rubela yang menyebabkan kecacatan jantung, cacat pendengaran dan kecacatan mental pada bayi yang baru dilahirkan.

Kini terdapat banyak fakta sains yang menunjukkan bahawa tiada kaitan antara MMR (atau sebarang vaksin yang lain) dengan autisme. Malah, penyelidikan terbaru dari Denmark yang melibatkan kajian ke atas 500,000 orang kanak-kanak telah berjaya membuktikan bahawa sememangnya tiada sebarang hubungan antara vaksin MMR dengan autisme.

Satu lagi masalah yang terdapat pada hipotesis bahawa MMR berkaitan dengan autisme ialah bahawa sebenarnya, campak dalam bentuk semula jadi tidak pernah dikaitkan dengan autisme. Oleh itu, memanglah menghairankan jika vaksin yang merupakan bentuk virus campak yang telah dijadikan lemah dikatakan boleh menyebabkan autisme.

Satu lagi kesilapan yang ditemui dalam hipotesis tersebut ialah vaksin campak yang lemah ini telah dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang berisiko tinggi seperti autisme berbanding dengan campak dari jenis liar yang lebih virulen.

Vaksin untuk MMR sudah digunakan lebih daripada 30 tahun dan ia mempunyai kesan yang amat baik pada kesihatan kanak-kanak. AS dan Finland yang mengamalkan dua dos suntikan MMR kini telah bebas daripada penyakit demam campak.

Demam campak merupakan penyakit yang mengancam nyawa kanak-kanak yang bakal dapat dibasmi berikutan pembasmian penyakit cacar dan polio. Vaksin MMR mempunyai profil keselamatan yang sangat baik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan bahawa MMR merupakan vaksin yang sangat berkesan serta mempunyai rekod keselamatan yang amat membanggakan setelah digunakan selama 30 tahun serta lebih daripada 500 juta dos yang telah diberikan.

Malaysia telah mula memberikan vaksinasi untuk demam campak pada tahun 1982 dan budak-budak perempuan yang bersekolah pula diberi suntikan vaksin rubela sejak tahun 1986.

Pada tahun 2002, polisi imunisasi ini telah dipertingkatkan lagi dengan pengenalan vaksin MMR. Ini merupakan strategi yang paling berkesan untuk melindungi anak-anak kita daripada tiga penyakit berbahaya ini.

Saya ingin menasihatkan setiap ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka mendapat dua dos vaksin MMR yang lazimnya diberikan pada usia satu dan enam tahun. Saya juga berharap ibu bapa tidak akan percaya serta terikut-ikut dengan apa yang diperkatakan di ruang siber oleh mereka yang membantah penggunaan vaksin.

Soalan dijawab oleh Pakar Perunding Pediatrik, Dr. Musa Nordin.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.