VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 02/02/2006

Penjagaan kaki untuk penghidap diabetes

Penjagaan kaki amat penting bagi penghidap diabetes. Ini kerana, diabetes akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi lebih tinggi daripada normal. Lama-kelamaan, paras gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saluran darah dan saraf dalam badan. Kerosakan saraf boleh menyebabkan kesakitan atau kehilangan deria rasa pada bahagian-bahagian badan dan boleh menyebabkan kaki tidak mendapat bekalan darah yang baik.

Doris Foong, seorang Pendidik Diabetes Roche Diagnostics berkata, aliran darah yang lebih perlahan ke kaki kadangkala menjadikan penghidap diabetes tidak dapat merasai kesakitan atau mengesan kecederaan pada kaki mereka.

“Ini boleh menjadi amat berbahaya kepada kesejahteraan dan kesihatan fizikal mereka kerana ada kalanya ia boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Menurut Foong, pengetahuan mengenai kepentingan penjagaan kaki, petua-petua berhubung penjagaan kaki dan pemilihan kasut yang sesuai perlu bagi penghidap diabetes.

Beliau berkata demikian dalam program Accu-Chek Clean & Check anjuran Roche Diagnostics di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Sister Inon Mahwi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, tumpuan terhadap penjagaan kaki penghidap diabetes adalah sejajar dengan sokongan dan penekanan yang diberikan oleh International Diabetes Federation berhubung penjagaan kaki penghidap diabetes.

“Program dan bengkel Clean & Check adalah sebahagian daripada usaha Accu-Chek untuk menyediakan khidmat pelanggan yang berkualiti dan menyediakan pengetahuan dan maklumat yang berguna untuk para pelanggan.

“Program-program yang sama juga diadakan pada setiap tahun di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu,” katanya.

Petua-petua penjagaan kaki

* Periksa seluruh kaki anda setiap hari dengan mencari atau merasai antara celah-celah jari kaki dan kawasan tumit. Pastikan sama ada terdapat luka, rasa sakit, melecet dan kalus (belulang).

* Gunakan cermin atau minta pertolongan orang lain jika anda tidak dapat melihat kaki anda.

* Basuh kaki anda setiap hari dengan air suam (bukan air panas) dan sabun yang lembut. Jangan rendam kaki anda kerana ia akan menjadikan kulit kaki terlalu lembut dan rapuh; jangan gunakan sarung tangan yang kasar atau berus dan jangan membasuh kaki anda terlalu lama.

* Keringkan kaki anda sebaik mungkin menggunakan tuala lembut dengan menepuk secara perlahan, jangan gosok. Pastikan anda turut mengeringkan bahagian antara jari kaki kerana kulit yang lembab boleh membawa jangkitan. Anda juga boleh menggunakan bedak talkum pada kaki anda kerana ia boleh mengekalkan kekeringan kaki.

* Jika kaki kering, anda boleh gunakan pelembap untuk mencegah keretakan. Bagaimanapun, jangan gunakan pelembap di antara jari kaki kerana ini boleh membawa jangkitan.

* Potong kuku kaki. Potong dengan menggunakan pemotong kuku selepas membasuh dan mengeringkan kaki anda. Potong kuku mengikut bentuk kuku dan jangan terlalu pendek. Ingat, jangan potong di bahagian sudut kuku. Ini boleh menyebabkan cekam atau kuku kaki tumbuh ke dalam kulit. Kemudian, kikis kuku kaki dengan pengikis kuku untuk meratakannya.

* Alat-alat yang digunakan untuk rawatan kaki seperti pengikis untuk menghilangkan kalus, pisau cukur, gunting hujung tajam dan plaster kematu tidak boleh digunakan sama sekali bagi orang yang menghidap diabetes kerana peralatan ini dengan mudah boleh menyebabkan kecederaan atau merosakkan kulit. Gunakan batu lahar untuk menanggalkan kalus selepas membasuh kaki. Gosok batu tersebut dengan lembut di atas kalus pada satu arah sahaja. Teruskan melakukannya selama lima minit setiap hari sehingga kalus tersebut ditanggalkan.

* Sentiasa memakai sandal apabila ke kolam renang.

* Jangan ke mana-mana dengan berkaki ayam, walaupun di dalam rumah.

* Jangan biarkan kaki anda terdedah kepada suhu yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

* Lakukan senaman dan urutan kaki setiap hari untuk merangsang peredaran darah. Jangan pergi ke rumah urut untuk berurut kerana ia boleh mencederakan kaki anda.

* Jika kaki anda luka atau melecet, bersihkan luka tersebut dengan serta-merta menggunakan salina. Sapukan krim antiseptik dan balut bahagian tersebut dengan pembalut steril. Terus membalutnya sehingga luka tersebut sembuh. Dapatkan rawatan perubatan jika luka berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda sembuh selepas dua hari.

Petua-petua berhubung jenis kasut yang sesuai

- Kasut benar-benar berpadanan dengan ukuran kaki hendaklah menjadi keutamaan apabila anda membeli kasut.

- Pakai kasut untuk berjalan atau kasut sukan yang lembut pada tapak bahagian dalam. Ia sepatutnya mempunyai bahagian atas yang diperbuat daripada kulit atau kanvas yang membenarkan pengaliran udara untuk mengelakkan kaki anda berpeluh.

- Jangan memakai kasut yang terbuka di bahagian hujung atau sandal yang mempunyai tali antara ibu jari dan jari kaki kerana ia boleh mencederakan jari kaki anda.

- Kasut anda hendaklah memuatkan ukuran panjang dan lebar kaki dengan ruang yang mencukupi bagi jari-jari kaki.

- Elak daripada memakai kasut yang terlalu ketat, bertumit tinggi dan bahagian depan yang tirus kerana ia boleh meninggikan tekanan dan boleh menyebabkan kaki anda melecet.

- Masa terbaik untuk membeli kasut adalah pada waktu petang apabila kaki anda berada dalam keadaan yang sedikit bengkak/besar. Jika kasut yang dipakai sewaktu kaki anda membengkak berasa selesa, ia pasti akan dapat memberi keselesaan pada sepanjang hari.

- Lembutkan kasut baru secara beransur-ansur dengan memakainya tidak lebih daripada sejam sehari selama beberapa hari.

- Sentiasa memakai kasut dengan sarung kaki atau stoking untuk membantu mengelakkan kemelecetan atau kesakitan. Pilihlah sarung kaki yang lembut dan diperbuat daripada kapas atau campuran kapas dan gentian tiruan yang akan membantu mengekalkan kekeringan kaki. Elak daripada memakai sarung kaki yang terlalu ketat di pergelangan kaki kerana ia boleh menyekat aliran darah ke kaki anda. Tukar sarung kaki atau stoking setiap hari.

- Sentiasa periksa bahagian dalam kasut anda sama ada terdapat benda-benda asing di dalamnya. Benda-benda asing ini boleh bergesel dengan kaki dan menyebabkan kemelecetan atau kesakitan.

Doris Foong menjelaskan, walaupun senarai yang diberi agak panjang, namun ia mudah dilakukan dan hendaklah sentiasa dipatuhi. Petua-petua tersebut boleh membantu mengekalkan kesihatan kaki dan mengelakkan anda menderita dan sukar untuk berjalan akibat pemotongan bahagian kaki atau lebih buruk lagi, kematian.

Roche Diagnostics adalah peneraju dalam penjagaan diabetes di Malaysia. Syarikat tersebut memasarkan alat pengawasan glukos dalam darah, iaitu Accu-Chek. Accu-Chek adalah jenama dan nama singkatan bagi pemeriksaan tepat dalam penjagaan diabetes.

Pada masa ini alat tersebut boleh didapati di bawah jenama Accu-Chek termasuk Accu-Chek Active, Accu-Chek Go dan Accu-Chek Advantage III. Semua alat tersebut ditawarkan dengan jaminan seumur hidup yang boleh diwariskan kepada saudara terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Vicky Yong di talian 03-7967 2297 atau Jayavani di 03-7967 2298.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.