VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 22/01/2006

Hepatitis kesan melalui ujian darah

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Mohd. Ismail Marican baru-baru ini menyarankan agar penerima darah pada tahun 1995 menjalani ujian darah semula bagi mengesan virus hepatitis C yang boleh mengakibatkan barah hati.

Bagaimanapun sejak tahun tersebut, pihak hospital di negara ini telah pun mengambil tindakan memeriksa semua darah sebelum pemindahan darah dilakukan.

Biarpun peratus mendapatkan kanser hati itu adalah kecil namun perlu diingat hepatitis tidak mengira A, B atau C itu merupakan penyerang senyap.

Hepatitis merupakan istilah umum merujuk inflamasi hati disebabkan oleh pengambilan alkohol secara berlebihan, bahan kimia bertoksik, pemakanan tidak sihat, sesetengah jenis dadah, penyakit autoimun, penyakit sistem biliari dan jangkitan infeksi virus.

Penyakit hepatitis yang paling lazim berlaku ialah hepatitis A, B dan C.

Apa itu hepatitis C

Virus Hepatitis C (HCV) merupakan penyebab utama hepatitis yang disebarkan melalui pemindahan darah.

Pakar Perubatan Am dan Respiratori, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr. Fazilah Ahmad berkata, oleh sebab tiada tanda-tanda klinikal yang jelas pada tahap awal jangkitan, kebanyakan orang tidak menyedari mereka telah dijangkiti virus ini.

``Selepas tiga hingga enam bulan dijangkiti, virus akan berganda dengan cepat dan sistem pertahanan akan menghasilkan antibodi untuk melawannya.

``Walau bagaimanapun, virus ini tidak dapat disingkirkan sepenuhnya dan menjadi penghuni jangka panjang dalam badan,'' katanya.

Dianggarkan, 75 hingga 85 peratus penghidap HCV boleh mendapat jangkitan yang kronik manakala 70 peratus daripada mereka akan mengalami penyakit hati yang kronik. Sebanyak 10 hingga 20 peratus penghidap hepatitis kronik boleh mendapat sirosis atau bengkak hati.

Menurutnya, sirosis lazimnya berlaku dalam tempoh 20 tahun atau lebih. Satu hingga lima peratus penghidapnya maut akibat penyakit hati kronik yang berkaitan

dengan HCV.

Hepatitis C, mungkin serius bagi sesetengah orang tetapi tidak pada yang lain. Kebanyakan pembawa penyakit ini akan membawanya hingga ke akhir hayat.

``Penghidap akan berasa letih lesu dan segeralah mendapatkan ujian darah untuk rawatan selanjutnya. Walaupun anda tidak ada tanda-tanda letih lesu, anda juga digalakkan melakukan ujian darah.

``Mereka perlu berjumpa doktor secara berkala, tidak mengambil alkohol, tidak memulakan sebarang ubat-ubatan termasuk herba tanpa mendapat kelulusan doktor dan mendapat suntikan vaksin hepatitis A sebagai satu langkah pencegahan agar pesakit tidak dijangkiti virus Hepatitis A untuk mengurangkan risiko kerosakan hati,'' katanya lagi.

Terdapat ubat-ubatan yang diluluskan untuk mereka yang menghidap hepatitis C ini. Dua hingga tiga orang daripada sepuluh pesakit hepatitis dapat disembuhkan.

Berisiko tinggi

Hepatitis C disebarkan melalui pemindahan darah atau produk darah yang lain seperti penerima transfusi darah, penerima organ yang menerima organ yang dijangkiti oleh virus hepatitis C, pesakit haemodialisis dan penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan yang dijangkiti. Transmisi melalui seksual dan daripada ibu mengandung kepada bayi kurang berbanding dengan hepatitis B.

Selain daripada transfusi darah dan produk darah, terdapat 40 hingga 50 peratus pesakit hepatitis C yang tidak diketahui punca jangkitan. Mereka dipanggil sebagai jangkitan sporadik.

Pesakit hepatitis C boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka boleh berkahwin dan mengandung .

Kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini kelihatan sihat untuk tempoh beberapa tahun. Kajian perlu dilakukan untuk memerhati keadaan kanak-kanak ini pada masa akan datang.

``Hepatitis C tidak disebarkan melalui penyusuan ibu, bersin, sentuhan kasual, berkongsi minuman atau makanan, berpelukan dan batuk. Tidak ada vaksin untuk hepatitis C,'' jelas Dr. Fazilah.

Hepatitis B

Penyakit ini merupakan yang paling biasa berbanding A dan C, berpunca daripada jangkitan virus hepatitis B. Kadangkala ia boleh membawa kepada kerosakan hati kekal dan mempunyai kadar kematian tertinggi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 300 juta penduduk dunia menghidap penyakit ini. Di Malaysia terdapat 1.3 juta rakyatnya menghidap hepatitis B.

Gejala-gejalanya; demam, tiada selera makan, termasuk tidak selera merokok, letih lesu, kulit menjadi kuning, air kencing kuning serta najis nampak pucat.

``Keadaan ini dikenali sebagai jangkitan hepatitis akut. Dua peratus daripada pesakit hepatitis akut boleh mendapat hepatitis akut teruk hingga membawa kegagalan hati teruk.

``Seperti hepatitis C, sebahagian besar pesakit yang dijangkiti viral hepatitis B tidak mengalami apa-apa tanda,'' jelas Dr. Fazilah.

Didapati 90 peratus bayi yang dijangkiti penyakit ini akan menjadi penghidap hepatitis B kronik manakala 50 peratus kanak-kanak juga akan menjadi pesakit hepatitis B kronik sementara lima hingga 10 peratus dewasa akan menghidap hepatitis kronik.

Bagaimana ia merebak?

Virus hepatitis B boleh dijangkiti dengan pelbagai cara. Antaranya sentuhan darah ke darah seperti tercucuk jarum, suntikan mahupun berkongsi jarum, hubungan seks, berkongsi berus gigi, sikat, percikan darah ke muka dan diwarisi daripada ibu ke anak.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dijangkiti hanya dengan bersin, batuk, berkongsi pinggan mangkuk dan berpelukan.

Tambah Dr. Fazilah, ia boleh dielakkan dengan mengelak tabiat seks rambang dan tidak berkongsi jarum.

``Jika suasana bekerja terdedah dengan darah, cecair badan, amalkan sikap berhati-hati dan dapatkan imunisasi,'' jelas beliau.

Menurutnya, jika seseorang disahkan menghidap masalah jangkitan hepatitis B kronik dinasihatkan menjalani ujian darah berkala untuk fungsi hati, ujian serum alpha tetaprotein dan ujian ultrasound hati, sekurang-kurangnya dua kali setahun.



Siapa yang patut menjalani ujian darah?

* Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit hati

* Mereka yang datang dari China di mana berlakunya wabak jangkitan HBV

* Penagih dadah atau mereka yang terlibat dengan seks rambang

* Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa penghidap penyakit ini

* Kakitangan kesihatan

* Pesakit yang menjalani rawatan dialisis.

Rawatan

Dr. Fazilah menegaskan, terdapat kes-kes hepatitis di mana pesakit akhirnya bebas daripada penyakit itu selepas satu tempoh yang agak lama kerana antibodi pesakit itu berjaya melindungi diri daripada penyakit tersebut.

Sebab itu pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan. Jagalah hati dengan baik.

Hepatitis A

``Penyakit kuning atau hepatitis A juga adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira umur, usia dan jantina.

``Penyakit ini senang berlaku di kawasan yang kotor di mana para penduduknya tidak mengamalkan kebersihan diri, makanan, tempat tinggal dan persekitaran,'' ujar beliau.

Bagaimana ia merebak?

Dr. Fazilah berkata, virus boleh didapati dalam najis dan darah pesakit atau pembawa penyakit ini. Virus boleh memasuki tubuh badan melalui minuman dan makanan tercemar.

``Makanan boleh tercemar jika tidak mencuci tangan dengan sabun dan air yang bersih setiap kali selepas membuang air besar, sebelum makan atau sebelum menyediakan makanan.

``Begitu juga jika memakan makanan yang dihinggapi lalat dan memakan buah-buahan yang tidak dicuci terlebih dahulu serta keadaan di luar dan dalam rumah yang kotor, di mana lalat dan tikus boleh membiak serta meminum air yang tercemar.''

Serangan virus ke atas hati boleh menyebabkan penyakit akut dengan simptom-simptom seperti demam, rasa loya atau mahu muntah, hilang selera makan, letih lesu dan tidak bermaya dan, mata serta kulit menjadi kuning. Penyakit berlarutan selama beberapa minggu.

Pemindahan virus boleh dielakkan melalui amalan penjagaan kebersihan yang baik terutamanya ketika penyediaan makanan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.