Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 13/01/2006
Isu `perempuan sundal': Polis panggil Teresa

Isu `perempuan sundal': Polis panggil Teresa

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes seorang ibu tunggal, Wan Nurizan Shaikh Mohamad, 49, yang mendakwa dia dan anaknya dituduh berpakaian seperti `perempuan sundal' oleh seorang anggota polis wanita di Jalan Petaling di sini pada 23 Disember lalu.

Teresa yang datang seorang diri tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang dan memberi keterangan kepada seorang pegawai penyiasat wanita berpangkat Inspektor selama satu jam.

Sementara itu, Wan Nurizan, seorang setiausaha sebuah firma guaman, tiba di IPK Kuala Lumpur sejurus Teresa selesai memberi keterangan.

Bercakap kepada pemberita di luar IPK Kuala Lumpur, Teresa berkata, beliau dipanggil untuk memberi penjelasan terperinci mengenai tujuan sidang akhbar bersama mangsa di pejabatnya sebelum ini.

``Ini adalah kes pertama saya dipanggil polis untuk memberi keterangan walaupun sebelum ini saya banyak membantu mangsa yang meminta bantuan saya.

``Saya selaku Wakil Rakyat perlu membantu mangsa kerana mereka meminta pertolongan dan kebanyakan kes itu berlaku di kawasan saya.

``Jadi, tidak timbul kenyataan bahawa saya cuba mencari kesilapan yang boleh menjatuhkan imej polis dan saya langsung tidak mempunyai sebarang agenda atau kepentingan,'' katanya.

Pada 6 Januari lalu, Wan Nurizan mendakwa dia bersama dua anaknya, telah singgah di sebuah kedai menjual jam di Jalan Petaling sebelum didatangi seorang lelaki berpakaian awam dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

Lelaki berkenaan telah meminta kad pengenalan mangsa untuk diperiksa sebelum memanggil tiga anggota polis wanita untuk tujuan melakukan pemeriksaan.

Mangsa mendakwa, dia telah memberikan kerjasama ketika pemeriksaan sehinggalah salah seorang daripada anggota polis wanita berkenaan bertindak meraba punggung Farina atas alasan hendak menjalankan pemeriksaan sebelum berkata mereka berpakaian seperti `perempuan sundal'.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mustafa Abdullah ketika dihubungi menjelaskan kehadiran Teresa memberi keterangan adalah proses biasa sebagai saksi.

Katanya, semua yang terlibat dalam kes tersebut perlu dipanggil untuk memberi gambaran jelas bagi menentukan sama ada dakwaan itu berasas.

``Bersalah atau tidak anggota polis terbabit akan ditentukan oleh mahkamah,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN