VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 12/01/2006

Ketua 69 Komando pakar letupan, treker, skuba dan payung terjun


MUHAMAD Sahid Mohd. Noh bergambar bersama lambang 69 Komando, pasukan elit PDRM.


“Sahid... kamu ada tetamu... kamu boleh keluar sekarang untuk jumpa tetamu itu,” kata jurulatih berkenaan kepada pelatih konstabel Muhamad Sahid Mohd. Noh.

Dalam fikiran Sahid, tidak ada tetamu lain sanggup datang berjumpa dengannya melainkan neneknya.

Sudah empat kali, nenek Sahid datang ke pusat latihan polis untuk berjumpa dengannya. Neneknya itu seolah-olah tidak pernah patah semangat. Setiap kali datang ke pusat latihan itu, neneknya akan membawa selonggok wang yang banyak.

“Nenek mahu Sahid berhenti jadi polis. Jadi polis gaji bukan besar. Nenek bawa duit ini tiga kali ganda gaji Sahid.

“Nenek sanggup bayar gaji tiga kali ganda setiap bulan, asalkan Sahid duduk rumah dah cukup,” kata wanita tua itu pada Sahid.

Beliau hanya mampu tersenyum. Sahid memang memahami neneknya itu. Sejak kecil lagi beliau telah dibesarkan oleh neneknya berbanding adik-beradik lain. Sahid juga merupakan cucu kesayangan neneknya.

“Tak apalah nenek, biarlah Sahid jadi polis, walaupun gaji tidak seberapa tapi Sahid mahu bantu orang ramai... mahu tangkap penjenayah... mahu hapus pengganas komunis... mahu berbakti pada negara,” kata Sahid ringkas tetapi penuh dengan lemah-lembut supaya neneknya tidak kecil hati.

Dilahirkan di Bukit Badong, Batang Berjuntai, Selangor, Sahid kini bergelar Pegawai Pemerintah (CO) 69 Komando berpangkalan di Ulu Kinta, Perak, sebuah pasukan elit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Supritendan.

Beliau merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik dan memilih kerjaya polis antara lain disebabkan sukarnya mencari pekerjaan.

Malah, kerjaya polis dipilih disebabkan semangat beliau yang tinggi mahu menentang habis-habisan pengganas komunis.

“Ayah saya hanya bekerja kampung manakala ibu saya seorang suri rumah. Lepas tingkatan lima, saya berjaya dalam temu duga polis dan mula menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Ogos 1969.

“Ayah dan ibu saya tidak menentang saya sertai polis tetapi nenek saya seboleh-bolehnya mahu saya kerja lain dan sanggup menggadaikan harta bendanya jika saya terus tinggal dengannya.

“Semuanya kerana nenek sayangkan saya dan sejak kecil lagi saya dibela oleh nenek. Nenek juga mempunyai harta benda yang banyak seperti tanah dan sawah. Arwah (nenek) sanggup gadaikan harta jika saya berhenti polis,” katanya memulakan perbualan di pejabatnya di Ulu Kinta, Perak baru-baru ini.

Menurut Sahid, ketika menjalani latihan di Pulapol, Kuala Lumpur, neneknya kerap datang melawatnya sambil membawa wang yang banyak untuk ditawarkan kepadanya jika dia sanggup berhenti jadi polis.

“Itulah kenangan manis ketika di pusat latihan. Memang nenek seorang yang baik hati. Tapi setiap kali nenek membuat pelawaan tersebut, saya tolak dengan baik,” katanya.

Menurut Sahid, neneknya juga akan sedih setelah mendapati beliau tidur di atas papan beralaskan kain ketika menjalani latihan di Pulapol.

Kerana memahami sikap neneknya itu, ketika temu duga konstabel, Sahid terpaksa merahsiakannya daripada neneknya itu.

“Bila nak pergi menjalani latihan, barulah saya beritahu nenek. Memang dia sedih dan kecil hati. Tapi apa boleh buat, semangat saya berkobar-kobar untuk berjuang untuk negara,” katanya.

Selepas tamat menjalani latihan, Sahid ditukarkan ke Pasukan Polis Hutan (PPH) yang kini dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketika dalam PPH, beliau beberapa kali pulang ke kampungnya untuk menziarah nenek serta keluarga.

Pernah satu ketika, semasa pulang ke kampung menaiki kereta api, Sahid bertemu dengan rakan-rakan sekampung. Namun, hati kerdilnya cuba menyembunyikan bahawa beliau adalah seorang anggota polis.

“Saya berasa agak malu kerana ramai rakan lain mempunyai pekerjaan lebih baik dan bergaji besar. Sebab itu saya cuba sembunyikan bahawa saya seorang konstabel polis.

“Namun, seorang rakan saya yang ketika itu sedang menuntut di sebuah universiti menasihatkan supaya jangan malu. Ini kerana katanya pekerjaan polis amat mulia dan dihormati oleh masyarakat.

“Kawan itu juga menasihatkan supaya saya terus belajar meningkatkan pengetahuan melalui pembacaan buku-buku. Dia juga sanggup meminjamkan buku-bukunya,” katanya.

Atas nasihat itu kawannya itu, Sahid mula mengikuti kelas malam dan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Semangat Sahid tidak pernah kenal erti putus asa apabila beliau sanggup mengambil STPM sebanyak dua kali.

Usahanya itu tidak sia-sia apabila beliau berjaya meningkatkan diri dan menempatkan dirinya sebagai inspektor polis.

Sebelum itu, pada tahun 1977 beliau berjaya meletakkan dirinya dalam unit 69 Komando.

Pada 1999, beliau berjaya pula menjawat jawatan inspektor dan ditukarkan ke unit lain dalam PPH.

Kerana dirinya sudah sinonim dengan 69 Komando, beliau sekali lagi memohon menyertai unit elit itu ketika dalam PPH. Usahanya berjaya.

Kejayaan itu meletakkan Sahid sebagai satu-satunya anggota dan pegawai yang menyertai dan menjalani pemilihan serta latihan 69 Komando sebanyak dua kali.

“Permohonan pertama menyertai 69 Komando ketika saya masih konstabel. Apabila menjawat jawatan inspektor, saya sekali lagi memohon dan menjalani pemilihan 69 Komando,” katanya.

Ketika mula-mula menyertai 69 Komando, Sahid ditugaskan sebagai pakar letupan.

Ini diikuti tugasan sebagai treker.

Beliau juga banyak menyertai beberapa gerakan memburu komunis seperti Gerakan Catfish di Perak yang membawa kepada penawanan sekumpulan pengganas komunis termasuk ketuanya.

“Tugasan dalam 69 Komando bukan sesuatu yang mudah tambahan pula apabila ditugaskan sebagai treker.

“Sebagai treker seseorang anggota itu merupakan orang di barisan hadapan. Semua pancainderanya kena berfungsi dan peka,” katanya tanpa mengulas lebih terperinci setiap pengalaman dilaluinya.

Ini kerana, banyak perkara ketika dalam 69 Komando perlu dirahsiakan terutama dari segi taktik serangan dimiliki oleh unit elit itu.

Selain memiliki pengalaman sebagai treker dan pakar letupan, Sahid juga mempunyai kemahiran dalam skuba dan payung terjun.

Beliau telah melakukan lebih 400 kali lompatan payung terjun sepanjang karier dalam pasukan polis

Apabila ditanya perasaannya kerana menjadi anggota 69 Komando, Sahid berkata: “Daripada ribuan anggota yang memohon, saya turut terpilih. Ini sesuatu yang membanggakan,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.