|
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Seorang ibu tunggal mendakwa ditahan hanya kerana menegur perbuatan seorang anggota polis wanita yang menuduh dia dan dua anak perempuannya berpakaian seperti `perempuan sundal' di Jalan Petaling di sini baru-baru ini.
Wan Nurizan Shaikh Mohamad, 49, berkata, pada malam 23 Disember lepas, beliau dan dua anaknya, Farina Hidayah, 20, dan Lily Soraya, 15, telah singgah di sebuah kedai menjual jam di situ.
Dia yang juga seorang setiausaha sebuah firma guaman berkata, mereka kemudiannya didatangi oleh seorang lelaki India berpakaian awam dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum meminta kad pengenalan untuk diperiksa.
Tambahnya, lelaki itu kemudian memanggil tiga anggota polis wanita untuk tujuan melakukan pemeriksaan tersebut.
Wan Nurizan berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok dan peguam, S. N Nair di Jalan Kelang Lama di sini hari ini.
Menurut Wan Nurizan, mereka memberikan kerjasama ketika pemeriksaan dilakukan sehinggalah salah seorang daripada anggota polis wanita berkenaan bertindak meraba punggung Farina atas alasan hendak menjalankan pemeriksaan.
Katanya, dia menegur anggota polis tersebut dengan cara baik kerana berpendapat ia tidak patut dilakukan apatah lagi di tempat tumpuan ramai.
``Apa yang mengejutkan, sebaik sahaja selesai pemeriksaan, anggota polis wanita tadi menoleh sambil berkata kami berpakaian seperti `perempuan sundal'.
``Saya yang tidak puas hati kemudian mengadu kepada pegawai polis yang mula-mula menahan kami dan meminta agar anggota polis tersebut memohon maaf.
``Namun, apa yang berlaku kami bukan sahaja ditolak, malah kami bertiga kemudiannya ditangkap sebelum saya dan Farina Hidayah dimasukkan ke dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur,'' ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, anak bongsunya, Lily Soraya tidak ditahan di lokap kerana masih di bawah umur.
Wan Nurizan memberitahu, dia kemudiannya dihadapkan ke mahkamah semalam kerana dituduh mengeluarkan perkataan kurang sopan tetapi tidak mengaku salah.
``Sampai hati mereka menahan dan menggelar kami dengan pelbagai perkataan hina hanya berdasarkan cara kami berpakaian.
``Kehidupan kami bertiga sudah tidak seperti dulu lagi, kami sentiasa dibayangi pengalaman `ngeri' sewaktu berada di dalam lokap,'' tegasnya.
Kata Wan Nurizan, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 28 Disember lalu dan meminta agar siasatan dilakukan bagi menjamin keadilan.
IKLAN@UTUSAN
|